Khamis, 15 Julai 2010

Benarkah berkuasa ?


“ Apabila datang yang haq, maka hacurlah kebatilan” - al ayat
………………………………….
“ Siapakah dalam kalangan kamu yang mengatakan muktazilah itu salah, sila angkat tangan kamu “ salah seorang tuan guruku memberi perintah.

Ramailah yang mengangkat tangan mereka, menyatakan persetujuan dengan penyataan “ muktazilah itu sesat “. Tetapi aku tidak mengangkat tangan. Cuma beberapa individu sahaja yang bertindak sepertiku.

“ Masih ada lagi yang beranggapan bahawa muktazilah itu masih benar ! “ tukas tuan guruku sambil tersenyum, apabila beliau melihat tindakan beberapa orang muridnya.

“ Wahai malizie ! Mengapa kamu menganggap muktazilah itu betul “ soal guruku.

“ Erm…erm….” Terkial-kial juga aku memulakan jawaban kerana aku tidak menyangka, tuan guru akan menyoal atas tindakanku yang tidak selari dengan jawaban anak muridnya yang lain.

“ Saya tidak mengangkat tangan, bukan bererti saya mengatakan muktazilah itu benar “ aku menjawab.

“ Bagaimana ? “ soalan yang sudah ku agak menerpa ke arahku.

“ Ermm…begini guru. Tuan guru telah bertanya soalan berbentuk pilihan. Maka saya membuat pilihan jawapan saya yang tidak sama dengan perilaku anak murid yang lain.

“ Boleh jadi jawapan bagi soalan tuan guru ya atau tidak. Tetapi saya memilih untuk keliru. Jesteru saya tidak mengangkat tangan.

“ Keliru ?!! “

“ Bagaimana kamu boleh keliru “

“ Bukankah kamu sudah cukup belajar dengan Sayyid Hasan al Saqqaf “ Tuan guru menyoal sambil mengeriutkan dahinya yang menjalur, tanda sebuah kekeliruan.

“ Owhhh…saya minta maaf kalau ianya menyusahkan tuan guru “

“ kekeliruan saya bukannya dalam ruang hujah, dalil yang membahaskan tekstual , tetapi lebih kepada realiti “

“ Sewaktu saya belajar dengan Dr Thorouneh di Universiti Mu’tah dalam subjek Tamadun Islam. Beliau amat menjelaskan saya dengan tahqiq yang betul dalam memahami sumber bahan sejarah”

“ Bahan sejarah, bukan hanya boleh difahami melalui nas, malah ia melibatkan realiti yang berlaku pada waktu itu, melibatkan politik, budaya, ideologi dan pelbagai lagi kerumitan “

“ Metodologi inilah yang digunakan oleh Ibnu Khaldun dalam penyelidikan beliau dalam bidang sains kemasyarakatan “

“ Masalah muktazilah bukan hanya sekadar masalah tekstual, malahan ia membabitkan kepolitikan.”

“ Maksudmu ? “ Tuan guruku meminta penjelasan.

“ Asal kewujudan muktazilah ialah konflik wasil bin Atho dengan gurunya. Jelas sekali, gurunya menempati kebanyakkan hati umat Islam termasuk pemerintah. Maka, natijahnya muktazilah tidak dianggap benar! “

“ Berbeza pula pada zaman pemerintahan Umawiyyah apabila muktazilah menempati hati pemerintah, muktazilah pula berkuasa. Sesiapa yang tidak berfahaman muktazilah dianggap sesat”

“ Jadi tuan guru, benar itu letaknya dimana? “

“ Contohnya yang lain, ketika Hijaz diperintah oleh Ahli Sunnah wal Jamaah. Sudah pasti fahaman lain dianggap tidak betul. Selepas wahabi menyerang Hijaz dan menawannya. Mereka menukar nama dengan nama Saudi Arabia. Wahabi sudah menjadi benar di Hijaz. Ahli Sunnah wal Jamaah pula yang dianggap sesat! Bagaimana tuan guru ?

“ Adakah kebenaran itu terletak kepada penguasa atau yang berkuasa. Jika tidak berkuasa, maka ia dianggap tidak benar. Bila berkuasa dianggap benar pula.”

“ Ermmm…dari satu sudut, begitulah “ guruku menyampuk.

“ Oleh kerana itulah tuan guru, guru kami Syaikh Hasan al Saqqaf menyatakan berapa banyak hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Fatimah dan Saidina Ali dibuang pada zaman Umawiyyah. Paling ringan pun, hadis itu dimursalkan ! “

“ Ilmu jarah wa ta’dil juga tidak terlepas dari fitnah kebenaran ini. Sesiapa yang menyokong Saidina Ali lantas dituduh syiah. Maka hadis riwayatnya tertolak.”

“ Semacam satu sifir, semua syiah jahat , sama dengan , hadis di tolak??!! Malah penyokong Saidina Muawiyah pula diterima dengan bulat walaupun dia mencerca Saidina Ali“

“ Kesemuanya berlaku pada zaman Umawiyyah berkuasa dan kuasa syiah pula menyusut.”

“ Adakah kebenaran terletak pada yang berkuasa ?”

“ Di saudi yang benar adalah wahabi yang lain salah. Di Iran pula, yang benar adalah syiah yang lain adalah salah. Kalau ada sebuah negara yang diperintah oleh Ibadhi, nescaya Ibadhi benar dan yang lain salah. Di tempat kami Malaysia, ahli sunnah adalah benar yang lain adalah salah “

“ Kecuali di Perlis! “ aku tersenyum.

“ Semuanya “ kebenaran “ itu adalah mereka yang menguasai sesuatu tempat “

“ kekeliruan saya ialah antara benar dan kuasa, tuan guru “ jelasku panjang.
Kisah ini berlaku di Syiria.
…………………………………………..

Aku cermat mendengar berita dari siaran berita Asrto Awani pada awal subuh pagi itu. Selalunya aku akan sibuk dengan pengurusan diri. Namun, tajuk utama yang berkumandang sedikit kuat telah menyorot aku berteleku dihadapan televisyen.

“ Mufti Wilayah telah mengeluarkan hukum fatwa haram pada sebuah syarikat perunding motivasi ESQ “

Lebih kurang begitulah yang aku dengar. Entahlah mana silapnya pula syarikat perunding dan motivasi itu. Bila aku mendengar penjelasan dengan lebih mendetil, barulah aku faham hukum tersebut adalah berkaitan dengan fahaman liberal yang sudah menyerap di Malaysia kini.

Aku mula tersenyum. Polemik fatwa ini mengundang beberapa persoalan yang berputar secara spontan dalam kosmik pemikiran aku.

Persoalan yang pertama ialah, ada sebuah badan yang cukup terkenal dengan agenda pembaharuannya berlandaskan fahaman liberal yang mereka bawa, iaitu SIS. Kenapa berita berkaitan SIS, tidak begitu melonjak jika SIS difatwa haram? Kenapa orang surat kabar dan wartawan yang lain menyepi diri dari mengarus perdanakan isu SIS. Kalau belum difatwakan, mengapa ya ? !! ( aku ada melihat dalam siaran wanita hari ini, mereka menjemput SIS sebagai panelis )

Adakah ancaman SIS terhadap jabatan yang berwajib dan wartawan terlalu tulah sehingga ia amat menakutkan. Yalah, sebab SIS dianggotai oleh wanita-wanita yang berkerjaya hebat dan cukup profesional. Apatah lagi ia turut dianggotai oleh isteri-isteri para pembesar negara. Kuasa ditangan mereka. Jesteru ia menggerunkan pihak-pihak berwajib dalam masalah fatwa.Jadilah yang berkuasa tiada kuasa.

Apalah sangat syarikat ESQ tu. Sudah tentu tiada kuasa. Namun, ada yang lupa, bahawa alumni ESQ ini, bukan calang-calang orang juga. Bahkan pembesar negara dan negeri terlibat juga. Inilah super power dalam negara kita. Mereka tentu boleh mempertahankan ESQ. Bagi negeri yang belum keluar fatwa, mungkin boleh membetulkan kenyataan tersebut. Yang sudah keluar fatwa, nak buat macam mana. Takkan nak tarik balik. Ibarat meludah ke langit, terkena ke muka sendiri.

Yang lebih hebat lagi, ada mufti dan timbalan mufti yang terlibat sama dalam program tersebut. Malah mempertahankannya. Mufti tersebut dan timbalannya akan dianggap menyalahi fatwa jika di Wilayah Persekutuan. Dan pastinya mereka itu tidak benar di Wilayah Persekutuan. Selain Wilayah mereka adalah benar!

Persoalan kedua pula ialah, ESQ mempunyai panel syariah mereka. Tak juga kurang hebatnya yang mengangotai panel tersebut. Yang aku nampak ialah, bekas Ketua Pengarah Jakim dan Ustaz Noh Gadut. Ada lagi yang hebat tapi tak berapa terkenal pada aku. Persoalannya ialah bagaimana panel syariah tersebut boleh kata halal dan mufti wilayah kata haram. Siapa lagi benar?!!

Adakah kerana mufti itu masih berjawatan yang mempunyai kuasa dianggap benar atau panel syariah ESQ yang terdiri dari para bekas yang sudah tidak berkuasa itu benar. Jadi siapa pulalah yang benar.

Apa-apa pun, aku hanya sekadar melontarkan buah kusut pemikiran aku dan pendapat dhaif. Selebihnya urusan tersebut adalah urusan pihak yang berwajib. Tak cukup dengan mufti, kita ada Majlis Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jakim, Ikim, Majlis Agama, Jabatan Agama, Persatuan Ulamak Malaysia dan yang lain-lain lagi.

Tetapi insan seperti aku ini, hanya terfikir, kalau bekas mufti, bekas Pengarah Jakim, mufti dan timbalan mufti boleh dianggap salah dan tidak benar. Apalagi jika manusia seperti aku. Ustaz biasa yang mengajar di kampung. Tidak keluar di dalam t.v dan corong radio. Mengajar agama untuk orang awam. Bukannya ada gelaran dr, prof, dato’ atau datuk dan lain lain lagi.

Tidak duduk dikerusi yang empuk. Tidak punya kuasa dan penguat kuasa. Jesteru mudah untuk aku diisyhtihar sesat dan salah. Di humban ke dalam penjara. Di denda sekian ribu dengan resit bayaran berjela. Tiada kawan yang berkuasa yang sudi membela. Nescaya aku akan dicerca setiap masa. Masyarakat dan semesta. Dengan penyandang gelaran sesat dan tidak benar! Kerana aku tidak berkuasa.

Teringat pula aku kepada zaman kegemilangan Islam dinusantara dahulu, ketika ilmu kerohanian merupakan tunggak utama dan paksi kenegaraan. Tariqat ialah satu kebenaran. Wahdatul wujud yang dibawa oleh Syaikh Hamzah Fansuri dan Syaikh Shamsudin Samuterai didokong oleh pembesar negara. Kemudian ia menjadi tidak benar pula bila bertukar pemerintahan, dan Syaikh ar Raniri pula menempat dihati pembesar.

Aduh, senangnya benar dan tidak benar itu bertukar-tukar. Di mana dacing bagi menimbang kebenaran??!!!

…………………….

“ Begini Shuhrur Rijal ! Biar aku beri kepastian kepada dirimu.” Guruku berkata dengan nada bersahaja, setelah aku berkata panjang. Cuma sedikit saktah sebagai pemutus bicara.

“ Tiada kuasa selain kuasa Allah ! Manusia agung manalah yang mampu mengatasi kuasa Allah “

“ Jesteru, Dialah penentu yang maha benar. Jika kita dituduh dengan tidak benar, belum tentu dihadapan Allah kita salah “

“ Di situ ada dua perkara yang menjadi kekuatanmu “

“ Yang pertama, itu adalah ujian untuk dirimu! Untuk menyaksikan kebenaranmu, maka berpeganglah apa yang kau yakini benar . Pasti engkau dikurniakan kemuliaan dan syurgaNya “

“ Orang yang menuduhmu, akan diberi pembalasan. Itulah gunanya hari akhirat.”

“ Memang benar kata-katamu. Yang berkuasalah yang akan menentukan benar. Yang Maha Berkuasa adalah Allah. Kerana itulah Allah bernama al Haq ( yang Maha Benar )”

“ Maka Allah berfiman : (( Dan Allahlah yang mengetahui siapakah yang benar pada jalanNya )).”

“ Satu lagi, dirimu berkuasa terhadap dirimu. Tiada siapa yang berkuasa terhadap dirimu. “

“ Engkaulah yang menetapkan apa yang ada di hatimu. Jika dihatimu syaitan, maka benarlah syaitan. Jika hatimu ada Allah dan hidayah, maka benarlah langkah tingkah lakumu”

“ Walaupun sejuta para pencaci, sejuta para penghina di atas jalan yang engkau bawa, nescaya ia tidak akan dapat memadamkan kebenaran yang Allah telah tetapkan.”

“ Nabi kita juga pernah dituduh dengan pelbagai tuduhan, dicaci, dihina dan dikeji. Kebenaran tetap terserlah walaupun engkau berseorangan membawa yang haq.”

“ Bersabarlah, Allah bersamamu! Kekuasaan turut bersamamu”.

Aku tunduk akur menyerah pada kata-kata tuan guruku. Padanya ada kebenaran. Benarlah benar pada yang berkuasa. Yang berkuasa, adakah engkau lebih berkuasa dari tuhanmu? Kalau tidak, engkau masih belum boleh menentukan kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan