Isnin, 12 Julai 2010

Kaki Bola vs Pecinta




Piala Dunia sudah berakhir. Ramai yang terlibat dengan upacara agung di dunia ini. Ia melibatkan warga seisi dunia. Namun, ada juga yang memilih untuk tidak bersama arus itu. Dan mereka ialah pencinta. Saksikanlah Kaki bola vs pencinta !

1. Kaki bola sanggup untuk bangun malam menyaksikan perlawanan bola yang mereka gemari untuk menyokong pasukan masing-masing. Pecinta pula sanggup bangun malam untuk bermunajat kepada Allah.

2. Kaki bola sanggup berdiri berjam-jam ketika menyaksikan perlawanan bola di stadium. Pencinta pula sanggup berdiri berlama-lamaan ketika bersolat mengadap Allah.

3. Kaki bola sanggup menghabiskan duit untuk membeli tiket, minyak untuk kenderaan dan makanan bagi menyaksikan perlawanan bola. Pencinta sanggup menghabiskan duit mereka untuk membeki tiket bas, minyak untuk kenderaan dan makanan bagi tujuan berdakwah dijalan Allah.

4. Kaki bola sanggup datang awal ke stadium untuk menempah tempat duduk yang depan bagi mendapat feel perlawanan bola. Pencinta pula sanggup datang awal ke masjid supaya dapat duduk di saf depan.

5. Kaki bola sanggup terjerit-jerit dan melolong-lolong memberi sokongan kepada kumpulan yang mereka sayangi. Pencinta pula sanggup berzikir jahar dengan amat kuat menyebut nama yang mereka sayangi.

6. Kaki bola menggunakan trumpet. Pecinta menggunakan tasbih.

7. Kaki bola menghafal nama-nama pemain bola yang terkenal. Pencinta menghafal nama-nama Allah, para anbiya, sahabat-sahabat dan auliya Allah.

8. Kaki bola tahu serba serbi biodata pemain bola yang mereka gemari. Pencinta pula tahu biodata Rasulullah serba serbi sebab sayang kepada baginda.

9. Kaki bola akan menampalkan poster pemain yang mereka gemari. Pencinta akan menampal poster ulamak yang mereka sayangi.

10. Pemain bola akan memakai jersi yang sama dan nombor yang sama dengan pemain bola yang mereka kagumi kerana ingin menjadi sepertinya. Pencinta akan memakai jubah, cara berpakaian, cara pertuturan dan kelakuan seperti Rasulullah kerana ingin menjadi sepertinya.



11. Kaki bola akan sentiasa bercakap dan berbual pasal bola. Pencinta pula sentiasa bercakap dan berbual tentang kebesaran Allah.

12. Kaki bola motto mereka : makan bola, minum bola, tidur bola dan hidup bola. Pencinta, motto mereka ialah “ Inna solati, wanusuki, wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil alamin “.

13. Kaki bola akan terloncat-loncat bergembira dan menari katika meyaksikan perlawanan bola. Pencinta pula akan bergoyang-goyang dan berhadrah ketika menyebut nama Allah seakan-akan menyaksikanNya.

14. Kaki bola akan berbondong-bondong berkumpul di stadium-stadium,dataran-dataran dan padang-padang untuk menyaksikan bola sementara pencinta berkumpul di masjid-masjid, surau-surau dan dipadang-padang untuk menyaksikan pengajian dan ceramah agama.

15. Kaki bola akan berarak beramai-ramai untuk meraikan kejayaan pasukan yang menang dalam pertandingan bola sepak dan pencinta akan berarak beramai-ramai untuk meraikan hari kelahiran Rasulullah pada maulid rasul sebagai tokoh ulung pembawa kejayaan.

16. Kaki bola akan habis duit kerana berjudi dan pencinta akan habis duit kerana infaq.

17. Kaki bola panduan mereka adalah sotong, burung, tikus dan macam-macam lagi. Pencinta pula panduan mereka ialah al Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

18. Kaki bola akan bersatu walaupun berbeza fahaman dan ideologi. Pencinta pula akan bersatu kerana cinta mereka walaupun berbeza fahaman, mazhab dan tariqat mereka.

19. Kaki bola akan bertindak ganas dan pencinta pula akan berakhlak mahmudah.

20. Kaki bola akan keji mengeji dengan pihak lawan, pencinta pula akan memuji sesama mereka.

21. Kaki bola sanggup menghabiskan duit yang banyak untuk pergi ke perlawanan bola piala dunia atau eropah dan pencinta sanggup menghabiskan duit untuk pergi ke Mekah menunaikan haji.

22. Kaki bola sanggup mati kerana bola, pencinta pula sanggup mati kerana cinta.

23. Kaki bola berada di stadium, pencinta berada di masjid.

24. Kaki bola gelanggang mereka di padang bola, pencinta gelanggang mereka di tikar sejadah.

25. Kaki bola akan menangis jika pasukan yang mereka sokong kalah, tetapi pencinta akan menangis kerana merasakan tidak beroleh rahmat dari tuhan.

Dan yang akhir sekali :

26. kaki bola boleh terjerumus ke neraka kerana kesyirikan dan pencinta akan ke syurga kerana katauhidan dan kecintaan.

Sekarang anda boleh pilih untuk menentukan jalan yang mana, yang akan kalian tentukan dalam hidup kalian. Persamaan antara kaki bola dan pencinta Cuma satu, iaitu gila! Kaki bola gila kerana bola dan pencinta, gila kerana cintanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan