Isnin, 26 Julai 2010

Perbahasan Hadis Nisfu Sya’ban



Allahumma barik lana fisyh Sya’ban wa Ballighna Ramadhan…


Alhamdulillah, malam ini ialah malam Nisfu Syaban. Marilah kita beramal dengan sebanyak-banyaknya kerana ia telah diamalkan oleh Saidina Rasul dan juga salafus soleh minal ummah. Untuk menyakinkan gerak amal kita tanpa keraguan, maka artikel ini mungkin dapat membantu dengan sandaran hadis-hadis.

Moga kita semua beroleh keberkatan dan rahmat Allah disebalik anjuran beramal pada malam ini. Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan dosa ummat Islam keseluruhannya .

1. Diriwayatkan oleh Darqutnie, Ibnu Syahin, Ibnu Majah daripada Saidina Ali Karramallahu Wajhah, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

(( Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban maka bangunlah pada malamnya ( memperbanyakkan amal ) dan berpuasalah pada siang harinya, sesungguhnya Allah turun ( pada malam Nisfu Sya’ban ) ketika waktu maghrib ke langit dunia, lalu berkata, apakah tidak ada orang yang ingin meminta ampun kepada Ku ( jika mereka memohon ampun )maka Aku akan mengampuni mereka, siapa yang memohon rezeki , Aku akan memberikan rezeki kepadanya. Barang siapa yang memohon agar terhindar daripada bala, maka aku akan berikan kesihatan kepada mereka, dan begitulah seterusnya ( daripada apa yang diinginkan oleh hamba Allah yang ingin berdoa), sampai waktu fajar tiba.))

Ada diriwayatkan oleh al Hafiz Ismail at Taimi di dalam kitab at Targhib ( 2 : 751 ), Ibnu Majah di dalam sunannya ( 1 : 444 )dan lain-lain. Berkata al Iraqie, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab al Ittihaf ( 3 : 425 ), sanadnya dhaif. Yang seumpama itu juga ada diriwayatkan oleh al Bushairie dalam kitab al Zawaid ( 1 : 247 ), al Hafiz al Dumyatie di dalam kitab al Mutajir al Rabih ( m/s 276 ), al Hafiz Ibnu Rejab di dalam kitab Lathaif al Maarif ( m/s 261 ), juga terdapat di halaman 262.

Ada diriwayatkan daripada Nauf al Bakalie :

(( Sesungguhnya Imam Ali r.a keluar dari rumahnya pada malam Nisfu Sya’ban, dan beliau sangat sering melakukan seperti itu sambil melihat ke langit, lalu beliau berkata, jika Nabi Daud a.s keluar pada malam Nisfu Sya’ban , seperti waktu sekarang ini , maka beliau pun melihat ke langit. Lalu beliau berkata , pada waktu seperti ini, siapa sahaja yang memohon doa kepada Allah akan dikabulkan. Bila seseorang memohon keampunan , Allah akan ampuni dosa-dosanya. Doa-doanya akan terkabul selama mana ia bukan seorang penyair ( penyair yang sesat ), bomoh, peramal, orang-orang yang dikeramatkan sebagai bomoh, Jabian ( orang yang memelihara benda-benda keramat ), pemain gendang dan alat muzik.))

Berkata Nauf al Bakalie : al Kubah adalah gendang dan arthibah adalah alat muzik. Semoga apa yang diharapkan dengan mengikiut Nabi Daud a.s, akan diampunilah dosa orang-orang yang mahu memohon keampunan pada malam tersebut.

Berkata Muhammad Habibullah, hadis ini dianggap mauquf secara zahir dan dinilai marfu’ secara hukum jika dilihat pada matan hadis. Nauf al Bakalie adalah anak perempuan Kaab al Ahbar al Syamie. Hadis ini ada disebut oleh Ibnu Hibban di dalam al Thiqat. Adapun ucapan Rasulullah terhadap seorang penyair, di dalam hadis tersebut tidak diketahui hakikat makna yang sebenarnya. Tapi yang dimaksudkan dengan penyair itu adalah penyair-penyair yang berkata kebaikan tetapi dia tidak melakukannya atau seorang penyair yang sesat kerana syair-syairnya dan bukan dimaksudkan dengan penyair yang baik.

Menurut tuan guru kami, al fadhil Sayyid Hasan bin Ali al Saqqaf, hadis ini tertolak sama sekali. Ini adalah kerana terdapat dalil yang membuktikan Nauf al Bakalie ialah seorang penipu, seperti yang sabit di dalam sahih al Bukharie pada m/s 122 di dalam kitab al Ilmi yang mengisahkan cerita Saidina Khidir a.s : (( Daripada Said bin Jubair berkata : Aku berkata kepada Ibn Abbas : Sesungguhnya Nauf al Bakalie menyangka sesungguhnya Musa bukannya Musa Bani Israel, bahkan dia adalah Musa yang lain. Berkata Ibn Abbas : Penipu, musuh Allah…))

Berkata al Hafiz Ibn Hajar di dalam syarahnya ( 1 : 219 ) : Aku berkata : Harus boleh jadi Ibn Abbas menuduh Nauf tentang keislamannya.

Jesteru, jika memandang hadis tersebut dengan teliti, mengapa pula Saidina Ali ingin meriwayatkan kisah Nabi Daud a.s melainkan inilah yang dipanggil israiliyyat. Memasukkan jarum fahaman yahudi di dalam kebanyakkan hadis. Maka berhati-hatilah.

2. Diriwayatkan oleh al Thabranie daripada Muaz bin Jabal beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

(( Allah s.w.t menurunkan malam Nisfu Sya’ban kepada hambanya bermaksud untuk mengampuni seluruh makhluknya kecuali terhadap orang yang berbuat syirik atau orang yang selalu berbuat jahat. Dalam satu riwayat ada menyebutkan di dalam hadis tersebut kalimat tambahan “ orang yang membunuh dirinya sendiri “ ))

Hadis sahih yang dikeluarkan oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya ( Mawari al Zhom’an, m/s 486 ). Juga al Thobrani di dalam al Kabir ( 20 : 108 ), Ibnu al Dabitsie di dalam kitabnya “ Zikr Lailah Nisfu min Sya’ban wa Fadluha, m/s 275. Beliau mengatakan hadith tersebut diriwayatkan oleh al Thobranie, Ibnu Hibba dan diriwayatkan oleh Ahmad daripada hadis Abdullah bin Amru.

Selanjutnya beliau ada menyebutkan teksnya, semoga diampuni bagi hamba-hambanya melainkan orang-orang yang selalu berbuat jahat dan orang yang membunuh diri. Hadis ini disepakati oleh al Hafiz al Dumyatie sebagaimana istilah yang disebutkannya di dalam muqaddimah kitabnya. Begitu juga ada disebutkan oleh Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya yang mengatakan hadis ini adalah hadis yang tidak perlu diragukan lagi.

3. Diriwayatkan oleh al Tarmizie di dalam ( al Nawadir ), al Thobranie, Ibnu Syahin daripada hadis Saidatina Aisyah, beliau berkata : Baginda bersabda :

((Pada malam Nisfu Sya’ban ini, Allah mengampuni bagi orang-orang yang memohon keampunan kepadaNya. Akan dicintai Nya bagi orang-orang yang mencintaiNya. Dan akan dikemudiankan ( diakhirkan ) bagi orang-orang yang bersifat dengki yang tidak mahu berubah daripada sifat dengki yang mereka miliki.))

Diriwayatkan oleh Baihaqie juga ada terdapat di dalam Sya’bul Iman ( 3 : 383 ), begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah dengan jalan yang sama. Beliau berkata, hadis ini dianggap hadis mursal yang baik. Berkata Ibnu Rejab di dalam Lathaif al Maarif, m/s 261 contoh yang disebutkannya seperti hadis Saidatina Aisyah tersebut membawa pendekatan dhaif yang boleh digunakan.

4. Dikeluarkan oleh Baihaqie di dalam kitab al Da’awatul Kabir daripada Aisyah bahawa Nabi s.a.w berdiri melakukan solat pada malam Nisfu Sya’ban, lalu baginda bersabda :

(( Pada malam ini akan dicatat seluruh manusia yang dilahirkan dan celakalah seluruh manusia, dan pada malam ini diangkatlah seluruh amal-amal mereka dan diturunkan rezeki- rezeki mereka.))

Terdapat juga di dalam kitab Fadhoilul auqat, m/s 126-127, Kitab Sya’bul Iman ( 3 : 383 ). Hadis ini panjang dan dapat dilihat di dalam kitab Takhrij hadith-hadith al Kashsyaf oleh al Zailai’e ( 3 : 62-266 ).

5. Diriwayatkan oleh Abi al Dunya daripada A’tho, Rasulullah bersabda :

(( Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban diberilah kepada malaikat maut-catatan-catatan, lalu berkata, “Peganglah catatan ini.” Maka sesungguhnya bagi seorang hamba siapa yang menanam sesuatu dia akan memperoleh apa yang ia tanam. Ia menikah akan memperoleh daripada wanita yang ia nikahi . Apabila ia membangunkan sesuatu ia akan memperoleh daripada apa yang ia bangun. Dan sesungguhnya nama seorang hamba sudah tercatat di Lauhul Mahfuz tentang kematiannya.))

Hadis ini juga dikeluarkan oleh al Dainuri daripada Rasyid bin Sa’ad dan dikeluarkan juga oleh Marduyah, Ibn Asakir daripada Saidatina Aisyah.

6. Diriwayatkan oleh al Khatib di dalam kitab Tarikhnya, bersumber daripada Amir al Yamami dan mengutip daripada Aisyah, Rasulullah bersabda :

(( Seseorang tidaklah meninggal dunia di dalam tahun itu kecuali memang sudah tercatat ketentuan ajalnya pada bulan Sya’ban . Dan aku menyukai bila dicatat tentang amal diriku sedangkan aku di dalam beribadah kepada tuhanku.))

Sanad hadis tersebut daripada Abu Ya’la ( 8 : 312 ). Ada juga riwayat yang menerangkan hampir sama iaitu pada bulan Sya’ban adanya ketentuan bagi seorang hamba akan ajalnya pada tahun itu. Ia diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Atho’ bin Yasar.

7. Diriwayatkan oleh al Khatib, yang diriwayatkan oleh Malik daripada Aisyah, beliau berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

(( Allah s.w.t membuka pintu kebaikan pada empat malam: iaitu malam I’dul Adha, I’dul fitrie, malam nisfu Sya’ban. Telah ditetapkannya pada malam Nisfu Sya’ban dengan ketentuan rezeki dan dituliskannya dengan ketentuan bagi seorang hamba dapat menunaikan ibadah haji dan pada malam A’rafah sampai menjelang azan.))

8. Diriwayatkan oleh al Dailamie daripada Ibnu Janzuyah daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah s.a.w bersabda :

(( Ditentukan ajal seseorang itu dari bulan Sya’ban ke Sya’ban berikutnya hingga seorang lelaki menikah hingga lahirlah di dunia dan telah ditentukan namanya di dalam ajal kematiannya.))

Di sebut juga di dalam kitab Firdaus al Akhbar oleh al Dailamie ( 2 : 115 ), Kitab Sya’bul Iman ( 3 ; 386 ), Syarah al Mawahib lid Dainah oleh al Zarqanie ( 8 : 126 ).

9. Diriwayatkan oleh al Baihaqie, daripada Saidatina Aisyah berkata, Rasulullah s.a.w bersabda :

(( Rasulullah bersabda : Jibril a.s mendatangiku, lalu ia berkata, ia adalah malam Nisfu Sya’ban hanya kepada Allah memohon keselamatan dari api neraka. Dan mengharapkan ganjaran seperti mengharap harta ghanimah Bani Kilab iaitu sebuah kabilah besar Arab. Iaitu bagi orang –orang yang tidak dilihat oleh Allah sebagai orang-orang yang berbuat syirik. Mereka tidak melakukan perbuatan maksiat. Bukan orang yang enggan ke jalan yang benar. Orang-orang yang bukan menderhaka kepada kedua orang tuanya, dan bukan orang yang suka meminum khamar. Lalu Saidatina Aisyah berkata : “ Maka Rasulullah melakukan sujud sepanjang malam.” Dan aku mendengar Rasulullah ketika sujud membaca, “Aku berlindung dengan keampunanMu daripada seksaanMu, dan aku berlindung dengan keredaanMu daripada kesalahan-kesalahan kepadaMu,aku berlindung daripadaMu, Engkau yang maha tinggi yang tidak terhitung daripada segala pujian untukMu. Engkaulah yang maha terpuji daripada segala pujian .” Lalu Aisyah berkata setelah selesai zikir tersebut diucapkan, lalu Rasulullah berkata : “ Ya Aisyah, tahukah dan mengertikah kamu apa yang diajarkan itu. Sesungguhnya Malaikat jibril telah mengajarkan amalan tersebut dan mneyuruhku untuk mewiridkannya setiap kali sujud.” ))

Dikeluarkan oleh al Baihaqie di dalam kitab Sya’bul Iman ( 3 : 383-386 ).
10. Daripada Aisyah berkata :

(( Malam Nisfu Sya’ban adalah malamku, ketika itu Rasulullah bersamaku. Ketika tengah malam, aku lihat Rasulullah sudah pergi meninggalkanku, lalu aku mencari baginda, ketika aku melihatnya seolah-olah bagaikan baju yang terhampar, kudengar baginda bermunajat di dalam sujudnya dengan membaca : “ Ya Allah aku bersujud kepadaMu dengan rasa semangat dan penuh harapan. Hatiku sentiasa beriman kepadaMu, kedua tanganku ini, dan daripada hasil yang kuperolehi daripada diriku sendiri. Wahai tuhan yang Maha Agung, Allah yang menciptakan makhluk dengan sebaik-baik bentuk.” Kemudian Rasulullah mengangkat kepalanya, lalu sujud kembali dengan mengucapkan ,” aku berlindung terhadap keredhaanMu daripada kesalahan dan aku berlindung dengan keampunanMu daripada seksaanMu, dan aku berlindung kepadaMu yang memiliki segala pujian dan Engkau Maha Terpuji.” Kemudian beliau mengangkat kepalanya, dan membaca , “ Ya Allah anugerahilah aku rezeki hati yang terjaga dan bersihkanlah daripada segala perbuatan syirik dan hindarilah daripada kesengsaraan hidup. Lalu baginda Rasulullah berpaling.

Dikeluarkan di dalam kitab Fadhailul Auqat ( m/s : 127-132 ), Sya’bul Iman ( 3:382-386 ). Kedua-dua kitab ini dikarang oleh Imam al Baihaqie.

11. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dengan sanadnya di dalam kitab sahihnya, daripada Mua’z bin Jabal daripada Nabi s.a.w bersabda :

(( Allah s.w.t mengutuskan kepada seluruh makhluk Nya, pada malam Nisfu Sya’ban, lalu Allah s.w.t mengampuni seluruh makhluknya kecuali terhadap orang-orang yang musyhrik atau orang yang selalu berbuat maksiat.))

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban dan al Hafiz al Haithamie di dalam Majmak al Zawaid yang diriwayatkan oleh Imam al Thabranie di dalam dua mu’jamnya . Al Hafiz Syarifuddin al Dimyatie Syeikh al Muhaddis yang diriwayatkan oleh al Thabranie dan Ibnu Hibban di dalam kitab al Mutajir al Rabih.

Hadis ini juga terdapat di dalam kitab Risalah Iqamah al Burhan, juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al Asyha’rie menurut Ibnu Majah di dalam sunannya. Di dalam Mawariduz Zam’an pada hadis yang bernombor 1980 dan di dalam Hulyatul awliya’, karangan abu Nuaim al Asfahanie ( 5 : 191).

12. Berkata al Hafiz Syarifuddin al Dimyatie di dlam kitabnya al Mutajir al Rabih dan dikeluarkan oleh Abu Ya’la dengan sanadnya, berkata Saidatina Aisyah :

(( Bahawasanya Rasulullah berpuasa pada bulan Sya’ban seluruhnya . Siti Aisyah berkata : Ya Rasulullah , saya menyukaimu jika kamu berpuasa pada bulan Syaban ini. Baginda berkata : sesungguhnya Allah mencatat segala ajal kematian umat manusia pada tahun itu, maka aku menyukai ia datang ( Malaikat maut ) kepadaku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa.))

Hadis-hadis lain yang menyokong Nisfu Syaban.

1. Diriwayatkan bahawa Aisyah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah bersabda :

(( Allah melimpahkan kebaikan pada empat malam dan keempat-empat malam tersebut, baginda menyebut malam Nisfu Sya’ban.))

2. Diriwayatkan daripada Uthman bin Muhammad al Mughirah ibn al Afkhash berkata :

(( Diputuskan semua ajal daripada satu Sya’ban kepada Sya’ban berikut. Sesungguhnya seseorang itu bernikah sedangkan namanya telah dikeluarkan daripada Dewan orang mati.))

3. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a berkata :

(( Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha hambaNya pada malam Nisfu Sya’ban dan diserahkan kepada tuan-tuannya pada malam Lailatul Qadar.))

4. Diriwayatkan bahawa Saidatina Aisyah r.a berkata :

(( Rasulullah berpuasa sehingga kami berkata baginda tidak berbuka, dan baginda berbuka sehingga kami kami berkata dia tidak berpuasa dan kebanyakkan puasa baginda ialah bulan Sya’ban. Maka aku berkata : Wahai Rasulullah! Aku melihat kebanyakkan puasamu ialah pada bulan Sya’ban. Maka jawab baginda : Wahai Aisyah ! Sesungguhnya ia adalah bulan penyerahan kepada malaikat maut nama-nama yang akan dicabut nyawanya dan aku suka namaku tidak ditulis melainkan ketika aku sedang berpuasa.))

5. Di dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a berkata :

(( Tidaklah baginda berpuasa pada suatu bulan daripada bulan-bulan selepas Ramadhan yang lebih banyak puasanya daripada bulan Sya’ban.))

6. Diriwayatkan di dalam Sunan al Nasaie daripada hadis Umamah :

(( Aku berkata : Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kamu banyak puasa dalam satu bulan dari bulan-bulan lain sebagaimana kamu berpuasa pada bulan Sya’ban. Jawab baginda : Itu adalah bulan yang dialpakan oleh manusia di antara rejab dan ramadhan, dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amalan-amalan hamba kepada Tuhan semesta alam. Aku suka amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.))

7. Di dalam sohihain, daripada Saidatina Aisyah r.a berkata :

(( Aku tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadhan. Aku tidak pernah melihat baginda dalam sebulan lebih banyak puasanya daripada bulan Sya’ban. ))

8. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a berkata :

(( Lima malam yang tidak ditolak doa pada malam tersebut ialah : Malam Jumaat, awal malam Rejab, malam Nisfu Sya’ban dan dua malam hari Raya ( aidul fitri dan aidul adha ).))

Dikeluarkan oleh Abdul Razzaq di dalam Musannafnya dan al Baihaqie di dalam Sya’bul Iman. Malah ada hadis yang hampir sama yang dikeluarkan oleh al Dailamie, daripada Abu Umamah. Malah Imam al Syafie turut mengeluarkan perkara yang sama di dalam kitab al Umm.

9. Terdapat di dalam Tarikh al Munzirie, Rasulullah bersabda :

(( Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari Raya dan malam Nisfu Syaban, tidak akan mati hatinya pada hari Allah mematikan hati-hati.))

10. Diriwayatkan oleh Ishak bin Rohuyah dengan sanadnya daripada Wahab bin Munabbih berkata : Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, tidak akan mati seseorang di antara maghrib dan Isya’ kerana pada ketika itu malaikat maut sedang sibuk mengambil suratan daripada Tuhan semesta alam.

Menurut Tuan Guru kami, Syaikh Sayyid Hasan bin Ali al Saqqaf, apa sahaja hadis yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih perlulah disaring dengan berhati-hati. Ini adalah kerana, Wahab bin Munabbih ialah orang yang paling berjasa dalam mengembangkan pemikiran israiliyyat dalam hadis. Dialah orang yang mengumpulkan ilmu antara Kaab al Ahbar dengan Abdullah bin Salam. Antara contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Wahab bin Munabbih dengan katanya : Sesungguhnya di langit-langit dan laut itu ada haikal. Dan setiap haikal mempunyai kursi. Dan sesungguhnya kaki Allah itu berada di atas kursi. Dan kembali kursi seperti kasut yang terdapat pada kedua kakiNya.

11. Daripada Saidatina Aisyah r.a , bahawa ketika Nabi s.a.w sedang duduk pada malam itu, maka turun Jibril kapada baginda lalu berkata : Sesungguhnya Allah Taala telah memerdekakan setengah daripada umatmu dari api neraka.

Hal ini telah dijelaskan iaitu pada waktu malam tersebut, termakbulnya kesempurnaan syafaat Rasulullah kerana baginda memohon syafaat untuk umatnya pada malam ke 13 Sya’ban. Maka Allah mengurniakan kepada baginda memberi syafaat kepada 1/3 daripada umatnya. Malam yang ke 14 diberikan kepada 2/3 daripada umatnya dan pada malam yang ke 15, Rasulullah diizinkan memberi syafaat kepada seluruh umatnya melainkan orang yang melarikan diri daripada Allah seperti seekor unta yang lari daripada tuannya iaitu orang yang berterusan melakukan maksiat. Lihat al Tafsir al Kabir karangan Fakhruddin al Razie yang menaqalkannya dari Zamakhsyarie ( 2 : 238 ).

12. Diriwayatkan oleh al Darqutnie di dalam kitab Sunannya dengan sanad daripada Abi Ta’labah r.a berkata : Sabda Rasulullah :

(( Sesungguhnya Allah menilik ke atas hamba-hambaNya pada malam Nisfu Sya’ban, maka diampunkan bagi orang-orang mukmin, dilambat-lambatkan azab bagi orang kafir dan Allah membiarkan orang-orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkan kedengkian tersebut.))

13. Dari hadis Abdul Rahman ibn Salam dengan sanadnya daripada Usman ibn al A’s r.a berkata : Sabda Rasulullah :

(( Apabila tiba malam Nisfu Syaban dan telah berlalu sepertiga malam, maka Allah turun ke langit dunia lalu berfirman : Adakah terdapat orang yang berdoa maka Aku akan memakbulkan doanya. Adakah terdapat orang yang meminta keampunan, maka Aku akan mengampunkannya. Adakah ada orang yang memohon taubat, maka Aku akan menerima taubatnya. Maka diampunkan dosa orang yang beriman melainkan perempuan yang berzina yang mendapatkan rezeki dangan kemaluannya, atau pun orang yang mengambil U’syur ( cukai ) dengan jalan yang tidak hak atau orang yang bermusuhan dengan saudaranya.))

14. Diriwayatkan oleh Muhammad bin Isa bin Hibban dengan sanadnya bahawa Abu Sai’d al Khudrie r.a masuk ke rumah Saidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah berkata :

Wahai Abu Sa’id, ceritakanlah kepadaku suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah. Maka aku akan menceritakan kepadamu apa yang pernah aku lihat dilakukan oleh baginda . Berkata Abu Sai’d : Apabila Rasulullah s.a.w keluar bersembahyang subuh, maka baginda akan membaca : Ya Allah ! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya….Maka Aisyah r.a berkata : Telah masuk kepadaku Rasulullah, maka baginda menanggalkan kedua-dua helai pakaiannya. Kemudian baginda bangun dan memakai semula kedua-dua helai pakaiannya. Maka aku berasa amat cemburu kerana aku menyangka baginda hendak pergi ke rumah maduku yang lain. Lalu aku pun keluar dan mengekori baginda. Aku menemui baginda berada di Baqi’ al Gharqad memohon keampunan untuk mukminin dan mukminat serta syuhada. Aku berkata : Demi ibu dan ayahku! Kamu berada di dalam hajat tuhanmu, manakala aku berada di dalam hajat dunia. Lalu aku pun beredar dan aku masuk ke dalam bilikku dalam keadaan tercungap-cungap. Maka rasulullah menyusuli dan berkata : Apakah yang telah berlaku wahai Aisyah? Maka aku berkata : Demi ibu dan bapamu! Setelah engkau datang kepadaku, engkau menanggalkan kedua-dua helai bajumu. Tidak lama kemudian, engkau pun bangun dan memakai nya semula. Lalu aku berasa sangat cemburu kerana aku menyangka kamu hendak mendatangi maduku yang lain sehinggalah aku melihatmu berada di Baqi’ melakukan apa yang telah kamu lakukan. Rasulullah bersabda : Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasulnya akan menzalimi kamu? Aisyah berkata : Aku berkata : Bukan begitu wahai rasulullah. Kata baginda : Telah datang kepadaku Jibrail a.s, maka dia berkata : Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Sya’ban. Pada malam ini, bagi Allah Taala, orang-orang yang dibebaskan dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Allah tidak melihat pada malam tersebut kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang memutuskan silaturrahim , orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang berterusan meminum arak.

Aisyah berkata: kemudian baginda menanggalkan kedua-dua helai bajunya dan kemudian berkata : Wahai Aisyah! Adakah kamu mengizinkankan aku bangun pada malam ini? Maka aku berkata : Ya , demi bapa dan ibumu. Maka rasulullah pun bangun dan bersujud dengan sujud yang lama sehingga aku menyangka nyawa baginda telah dicabut. Lalu aku bangun menyentuhnya dan aku meletakkan tanganku di atas dua belah telapak kakinya. Maka baginda bergerak dan aku rasa gembira. Aku mendengar baginda membaca di dalam sujudnya : Aku memohon perlindungan dengan keampunanMu dari balasan azabMu dan aku memohon perlindungan dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku memohon perlindungan denganMu daripada azabMu. Sungguh besar zatMu yang tidak terhitung pujian ke atasMu, Engkau adalah sebagaimana pujianMu ke atas ZatMu.

Apabila subuh, aku menyebut kepada baginda akan kalimah yang dibacanya, maka baginda berkata : Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya? Aku berkata : Ya. Baginda berkata : Pelajarilah dan ajarilah ia keranaJibril telah mengajarnya kepadaku dan menyuruh aku mengulang-ulangnya di dalam sujud.

15. Diriwayatkan oleh Ibrahim ibn Ishaq al Ghasilie dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a berkata :

(( Nabi telah mengutusku ke rumah Aisyah r.a untuk suatu hajat. Maka aku berkata kepadanya : Bersegeralah kerana tadi aku meninggalkan Nabi yang sedang bercerita kepada mereka tentang malam Nisfu Sya’ban. Maka Aisyah r.a berkata : Wahai Anas ! Duduklah sehingga aku menceritakan kepadamusebuah hadis berkenaan malam Nisfu Sya’ban. Malam itu adalah malam giliranku bersama Rasulullah. Baginda telah mendatangiku bdan tidur bersamaku di dalam satu selimut. Tiba-tiba aku terjaga di tengah malam dan aku mendapati rasulullah tiada disisiku. Lalu aku pun bangun dan mencarinya di rumah isteri-isterinya yang lain tetapi aku tidak menemui baginda, lalu aku berkata : Mungkin baginda pergo ke rumah jariahnya al Qibtiyyah ( Mariah ). Maka aku pun keluar dan aku melintasi masjid dan kakiku tersentuh kakinya sedangkan baginda membaca : Telah sujud kepadaMu diri dan wajahku dan telah beriman kalbuku dengan Mu dan inilah tangan yang telah malakukan maksiat padaMu. Wahai Tuhan yang Maha Besar! Tidakkah yang akan mengampunkan dosa-dosa besar melainkan Tuhan yang Maha Besar? Aisyah berkata : Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan membaca : Ya Allah ! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertaqwa dan suci, terlepas daripada kesyirikan , tidak kufur dan tidak celaka. Kemudian baginda sujud dan berkata : Aku berkata sebagaimana yang dikatakan oleh saudaraku Daud a.s. Aku menyembamkan mukaku ke tanah kerana Allah dan berhaklah ia sujud dan menyembam kepadaMu wahai Tuhanku. Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan berkata : Demi bapamu dan ibuku, engkau berada di satu lurah ( mencari kenikmatan dunia ). Maka baginda berkata : Wahai Humaira ! Apakah engkau tahu bahawa malam ini ialah malam Nisfu Sya’ban? Sesungguhnya pada malam ini, bagi Allah hamba-hambaNya yang dibebaskan dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Aku berkata : Wahai Rasulullah ! Apakah dia bulu kambing bani Kilab? Jawab baginda : Tidak terdapat dalam masyarakat Arab suatu kabilah yang mempunyai kambing yang lebih banyak daripada kambing-kambing mereka- melainkan ( Golongan yang terkecuali dari dibebaskan dari api neraka ialah ) enam golongan : Orang yang berterusan meminum arak, orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya, orang yang berterusan melakukan zina, peniaga yang melakukan penipuan, orang yang melakukan sumpahan dusta untuk melariskan barang perniagaannya dan orang yang mengadu domba.

16. Daripada al Qasim ibn Muhammad daripada bapanya daripada bapa saudaranya daripada datuknya daripada Nabi bersabda :

(( Allah turun pada malam Nisfu Sya’ban ke langit dunia, maka diampunkan bagi setiap sesuatu melainkan orang kafir atau orang yang mempunyai sifat dengki di dalam hatinya.))

Dikeluarkan oleh al Baihaqie di dalam Syabul Iman ( 3: 380 ).

17. Diriwayatkan oleh al Hafiz Abu Nuaim dengan sanadnya daripada Anas ibn Malik r.a, bahawa Rasulullah bersabda :

(( Empat malam, malamnya sama seperti siangnya dan siangnya sama seperti malamnya. Pada malamnya tersebut, Allah memperelokkan pembahagianNya, dibebaskan mekhluk dari api neraka dan diberikan balasan anugerah pada malam tersebut iaitu : lailatul qadar dan siangnya, malam Arafah dan siangnya, malam Jumaat dan siangnya.))

18. Diriwayatkan oleh al Hafiz Abu Nuaim dengan sanadnya daripada Aisyah r.a berkata : Sabda Rasulullah :

(( Sesungguhnya Allah melihat kapada Kaabah pada setiap tahun seketika dan ketika itulah Kaabah amat dirindui oleh hati-hati orang mukmin .))

Maka Aisyah r.a berkata : Kami berpendapat bahawa saat itu ialah pada bulan Sya’ban .

19. Diriwayatkan oleh al Asbahanie di dalam al Targhib daripada Muaz bin Jabal r.a berkata : Sabda Rasulullah :

(( Sesiapa yang menghidupkan lima malam, maka wajib baginya syurga, di antaranya malam tarwiyyah ( malam 8 Zulhijjah ) dan malam Nisfu Sya’ban.))

20. Diriwayatkan daripada hadis Umar bin Uthman bin Kathir bin Ziyad dengan sanadnya bahawa Rasulullah bersabda :

(( Sesiapa yang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dan dua malam raya, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari dimatikan hati-hati.))



Masalah solat Raghaib

Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad ...sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).

Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).

Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.

Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”

Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”

Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisf...u Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al- Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”

Menurut Tuan Guru kita, solat ini adalah bid’ah munkarah. Hadisnya yang menjadi dalilnya adalah hadis palsu. Bahkan perawinya sendiri mengaku yang ia telah pun mencipta hadis tersebut untuk mengajak orang lain beramal soleh. Ternyata ianya bertentangan dengan syarak. Begitulah yang termaktub di dalam al targhib wa al Tarhib.

• Ada banyak lagi hadis yang aku tak masukkan kerana ia mempunyai maksud yang sama. Dan banyak hadis juga yang tak sempat aku nak takhrij. Inilah hasil dari hamba yang dhoif.

Selamat beramal……

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam