Ahad, 22 Ogos 2010

Antara darjat.


Analogi

“ ustaz, hari sabtu ni saya tak dapat ikut ustaz! “ anak muridku memberitahu.

“ Kenapa ? “ aku menyoal kembali.

“ Saya kena pergi sekolah.” Jawabnya.

“ Sekolah apa pulak hari sabtu? “ balasku.

“ Sayakan sekolah agama la ustaz” dia menjawab sambil tersengih.

Johor adalah sebuah negeri yang baik dalam mempertahankan budaya kenegerian mereka. Antara budaya Johor dan keunikkannya ialah sekolah agama. Di Johor, jarang sekali ada sekolah pondok. Sekarang aku baru dengar ada dua sahaja. Kalau dahulu adalah juga beberapa. Tetapi, sejak diperkenalkan silibus sekolah agama Johor, maka permintaan terhadap penawaran pengajian kian malap. Pondok pun menjadilah seperti hidup segan mati tak mahu. Malah ada yang sudah diambil alih pengurusannya oleh kerajaan negeri dan menjadikannya sekolah agama negeri Johor.

Rata-ratanya, anak jati Johor akan dihantar bersekolah agama. Sistem ini menggantikan sistem pengajian agama yang lain. Sementara keluaran sekolah agama ini dahulunya melahirkan bukan calang-calang orang. Bahkan ada yang menjadi termasyhur dalam mempertahankan tradisi keilmuan Islam. Kalau sekarang, entahlah. Kalau dahulu silibusnya dari kitab feqh yang muktabar, malah dianggap sebagai pengajian yang tinggi. Sekarang, jika ditanya perkara yang mudah-mudah pun pelajarnya tak dapat jawab. Malah kadang-kadang aku dengar pula jawapan mereka menyalahi sangat dengan kitab yang muktabar.

Apa yang menariknya ialah sistem ini masih mengekalkan sistem tak naik kelas jika tidak berjaya dalam imtihan ( peperiksaan ). Anak murid aku adalah salah seorang yang tercicir dengan sistem ini. Akhirnya dia yang berumur 17 tahun, bersekolah dalam tingkatan 5, menjadi rakan sekelas bagi adiknya yang berumur 13 tahun, bertingkatan 1 dalam darjah khas di sekolah agama.

Sistem ini ada baik dan buruknya. Baiknya ialah sistem ini dapat membantu untuk mengekalkan standard kecemerlangan yang perlu dicapai dalam bidang keagamaan. Bukan setakat kepintaran, malah kefahaman juga adalah nadi dalam melestarikan kesucian agama itu sendiri. Keluaran yang tidak memahami agama dengan tepat akan menjadikan mereka mengambil jalan pintas untuk memakai fahamam sendiri. Cara sebegitu lebih terdedah kepada kesesatan.

Sistem ini juga akan menaikkan nilai sekolah agama dan dipandang mulia oleh masyarakat. Setempat atau masyarakat yang lain umumnya. Pengiktirafan dan penghormatan akan diberikan kepada sistem ini jika keluaran mereka sememangnya hebat. Jesteru, sistem ini telah menjadi tanda aras kepada sekolah agama kerajaan negeri yang lain untuk menerima pakai sistem seperti ini. Malah ada kerajaan negeri yang lain merujuk kepada kerajaan Johor untuk membuat semakan kokurikulum dan pengurusan yang dipakai oleh sistem sekolah agama negeri Johor.

Yang buruknya ialah, dari sudut pelajar itu sendiri. Kebanyakkan pelajar yang tercicir adalah pelajar mempunyai pelbagai masalah. Dan salah satu masalah mereka ialah kurangnya motivasi dan daya dan jati diri yang kuat. Jesteru, pelajar yang keciciran ini akan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan sesi pelajaran atau menyambung pelajaran mereka kerana malu untuk berhadapan dengan pelajar yang lebih muda dari mereka.

Apa yang aku cuba tegaskan disini, ialah jika anda melalui kawasan sekolah agama dan berjalan dikoridor kelas agama. Anda dapat perhatikan pelajar-pelajarnya kebudak-budakkan dan dalam kalangan pelajar tersebut, tiba-tiba anda terlihat susuk tubuh seorang pelajar yang besar berbanding pelajar yang lain. Mungkin sudah bermisai. Atau apa sahaja yang menunjukkan kematangan. Pasti anda akan terkejut bukan.

Jika anda tidak tahu dengan sistem itu, anda akan mengganggapnya sebagai satu misteri. Anda kan cuba untuk merungkaikan misteri tersebut. Tetapi, sebaliknya, jika anda tahu tentang sistem tersebut, apakah yang akan tergetus di dalam benak fikaran atau lulur hati kalian.

“ Bodoh! “

“ Dah besar panjang masih tak naik-naik kelas”

“ Bengap betul”

“ Anak siapalah ni?”

“ Dia makan apa sampai jadi sebodoh ini ?”

Mungkin inilah frasa-frasa yang akan terpacul dari mulut kalian atau yang tercetus di dalam hati kalian. Atau mungkin lebih teruk itu juga akan berlaku. Malah, sudah pasti akan ada yang tersengih-sengih dan ketawa sendirian atau secara berjamaah.

Apa pun, inilah sebuah analogi yang terbaik yang kita boleh belajar di dalam madrasah, sekolah atau pondok Ramadhan.

….

Darjat

Ulamak tasauf telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan. Tingkatan inilah yang membezakan nilai ibadat itu antara satu sama lain. Apa yang diberikan kepada Allah, maka sejumlah yang sesuailah Allah membalas kepadanya. Tingkatan dalam ibadah berpuasa adalah seperti berikut :

Puasa awam

Puasa awam ialah puasa yang diamalkan oleh kebanyakkan orang. Bolehlah dikatakan puasa orang awam. Puasa peringkat ini juga, boleh dinisbahkan dengan puasa golongan rendah. Mendapat ganjaran yang sedikit bagi mereka yang memilih untuk berpuasa pada takah ini. Malah, bolehlah disinonimkan dengan puasa kanak-kanak atau peringkat sekolah rendah.

Puasa ini hanya sekadar menahan dari lapar dan dahaga. Apa yang difikrkan ialah kelaparan dan kehausan. Mereka yang berada dalam golongan ini sekadar memikirkan hari-hari dalam bulan Ramadhan dan memenuhinya dengan juadah makanan. Apa yang hendak di makan ketika sahur. Apa yang hendak di makan ketika berbuka.

Orang dalam kumpulan ini akan sentiasa mencari menu dan mempelbagaikan resipi masakan setiap hari. Bahkan merekalah orang yang akan memenuhi bazaar Ramadhan, menziarahi dan mencari setiap ceruk tempat terletaknya bazaar Ramadhan kerana mencari kesempurnaan dalam makanan. Mereka menganggap bahawa Ramadhan adalah bulan syurga untuk makan-makan.

Tidak cukup dengan bazaar Ramadhan, bahkan disediakan pula rancangan-rancangan television tentang makan-makan. Siaran yang membicarakan tentang resipi-resipi makanan dengan menjemput artis-artis untuk menarik minat orang-orang kepada siaran tersebut dan menjebak kepada golongan puasa seperti ini.

Golongan puasa awam ini, adalah golongan yang akan membazir dengan membeli pelbagai juadah berpuasa. Golongan ini langsung tidak memerhatikan hikmah berpuasa iaitu untuk merasai situasi orang miskin. Bahkan sering menrobek perasaan orang miskin dengan barisan juadah yang tersedia setiap kali berbuka puasa. Malah, golongan ini tidak ambil pusing keadaan orang miskin disekelilingnya, sama ada ada rezki untuk berbuka atau pun tidak.

Golongan ini sentiasa memikirkan dan melihat jam. Mereka asyik menanti untuk berbuka puasa. Sungguh terkesan dengan kelaparan dan apa-apa yang mempengaruhi proses kelaparan tersebut, seperti hari yang panas dan sebagainya. Sentiasa mengira-ngira waktu, bilakah waktu berbuka. Dan mereka, jika berkumpul akan bertanya mahu berbuka dengan juadah apakah hari ini?

Golongan ini, ibadah bukan matlamat utama berada di dalam bulan Ramadhan. Mereka sering meninggalkan ibadah. Kurang tadarusnya, kurang solat nawafilnya, kurang qiyamulailnya, kurang doanya, kurang selawatnya, kurang infaqnya dan serba serbi kurang dalam hal ibadah. Tetapi sering berlebih-lebihan dalam hal nikamat. Berlebihan dalam berbuka puasa, berlebihan dalam berbelanja, berlebihan hendak menyambut sambutan raya seperti membeli perabot baru, pakaian baru, perhiasan baru dan banyak pula. Pakaian sebanyak 11 pasang dan mungkin lebih. Terkadang jarang sekali mereka bertarawikh kerana keletihan makan ketika berbuka puasa. Perut menjadi terlalu kenyang dengan air dan makanan, menjadikan mereka kelemasan dan membuat keputusan untuk tidur sahaja. Maka, tinggalkah ibadat yang sepatutnya yang mereka utamakan.

Di antara tanda awal untuk mengenali kumpulan ini, ada beberapa cara. Cara yang pertama ialah mereka mengeluh dengan ketibaan Ramadhan kerana merasa Ramadhan menyekat kebebasan mereka. Kebebasan untuk makan dan minum dan kebebasan untuk melakukan maksiat. Yang kedua, mereka akan mengungkapkan kalimah “ makanlah banyak-banyak besok sudah Ramadhan “. Seolah-olahnya Ramadhan telah menyebabkan mereka sudah tidak boleh makan.

Cara yang lain untuk mengetahui golongan ini ialah, mereka orang yang terlalu ghairah dengan pemergian Ramadhan. Terlalu teruja dengan sambutan Hari Raya. Malah berasa seronok dengan pemergian Ramadhan kerana mereka sudah tidak perlu
berpuasa lagi. Mereka mengganggap perintah berpuasa ada perkara yang melecehkan.

Jika kita mendapati sintom-sintom ini wujud di dalam diri kita, ketahuilah kita tergolongan dalam kelompok ini. Berusahalah untuk memperbaiki diri kita!

Rasulullah bersabda : (( Berapa banyak orang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga ))

Puasa Khusus


Puasa dari jenis kelompok ini merupa puasa yang lebih tinggi dari takah yang pertama tadi. Malah puasa ini lebih bermakna dan membawa erti. Bolehlah kita bandingkan puasa jenis ini dengan sekolah menengah. Sudah tentu ada perbezaan antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Silibus yang sudah tinggi, pemahaman yang lebih luas dan pemikiran yang lebih kritis.

Puasa khusus ini membawa maksud selain dari menahan anggotanya daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, golongan ini juga menahan anggotanya daripada melakukan maksiat, perkara yang sia-sia dan tiada manafaatnya kepada akhirat.

Rasulullah bersabda : (( Lima perkara yang membatalkan puasa ialah berdusta, mengumpat, mengadu domba, bersumpah dengan sumpah yang dusta dan memandang dengan syahwat.))

Rasul bersabda lagi : (( Bahawasanya puasa merupakan perisai. Apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah kamu melakukan sesuatu yang sia-sia, dan janganlah melakukan perbuatan orang yang jahil. Jika ada seseorang yang ingin membunuhnya atau memakinya, maka katakanlah kepadanya : Sesungguhnya aku berpuas, sesungguhnya aku berpuasa.))

Sabda Rasul : (( Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah turut berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu daripada bercakap dustadan haram, dan tinggalkan daripada menyakiti jiran. Hendaklah kamu bersikap tenteram dan tenang pada hari kamu berpuasa dan janganlah kamu menjadikan hari kamu berpuasa dan tidak berpuasa sama sahaja.))

Kelompok ini, puasa mereka bukannya lagi tertumpu kepada lapar dan dahaga. Syahwat mereka kepada makanan dan minuman serta kepada perkara-perkara nikmat, sudah dapat ditundukkan. Kesemuanya berada dibawah kaki mereka. Iaitu perkara tersebut bukanlah perkara yang besar dalam hidup mereka. Tumpuan mereka ialah beribadat kepada Allah.

Apa yang besar kepada mereka ialah bagaimana dapat mendekat diri kepada Allah. Jesteru ibadah berpuasa dapat memberi makna dan impak kepada mereka apabila mereka dapat menyekat anggota badan yang lain, daripada terjebak kepada kebobrokan nafsu dan maksiat. Mereka dapat menyekat mata mereka dari melihat yang mungkar. Mereka dapat menyekat telinga mereka dari mendengar yang mungkar. Mereka dapat menyekat hidung dari membau yang mungkar. Mereka dapat menyekat mulut mereka dari memasukkan sesuatu atau bercakap sesuatu yang mungkar. Mereka dapat menyekat tangan mereka daripada melakukan sesuatu yang mungkar. Mereka dapat menyekat kaki mereka dari pergi ke tempat yang mungkar.

Bila semua anggota zahir terjaga daripada sebarang mungkar, kesannya ialah membersihkan jiwa dan sanubari sehingga dapat menerima cahaya yang berbentuk qabad atau pun basat. Inilah yang amat dikehendaki dari tujuan berpuasa sehingga rasul bersabda : (( Bukanlah puasa itu hanya menahan diri dari makan dan minum tetapi puasa ialah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan keji.))

Untuk mengenal golongan ini ialah, mereka terlalu gembira dengan ketibaan Ramadhan, kerana Ramadhan akan menjadikan mereka benar-benar dekat dengan Allah sehingga mereka beroleh taqwa. Mereka menyambut Ramadhan sebelum tiba Ramadhan. Mereka sudah berpuasa dalam bulan syaaban lagi. Sudah membaca al Quran dengan banyaknya sebelum Ramadhan. Dengan harapan, bila masuk Ramadhan, mereka akan memecut dengan selaju-lajunya dengan amalan yang bertali arus.

Mereka menyambutnya dengan mengadakan majlis ketibaan Ramadhan, yang dipenuhi dengan tazkiran dan tausiyah. Dihangatkan dengan kata-kata peransang agar dapat membangkitkan keghairahan terhadap berpesta amal di dalam bulan Ramadhan.

Antara tanda golongan ini, mereka akan menyibukkan diri mereka dengan amalan yang mentaqarrubkan diri mereka kepada Allah. Mereka akan memperbanyakkan tadarus, qiyamulail, bersedekah dan sebagainya. Kalau sebelum ini, kerap ke kedai kopi, dalam Ramadhan kerap ke masjid. Kalau sebelum ini, kerap berbual kosong, dalam Ramadhan kerap membaca al Quran.

Golongan ini, akan terlalu rindu dan menanti-nanti akan Lailatul Qadar. Mereka sanggup mengorbankan masa mereka untuk beri’tikaf di masjid semata-mata untuk menghadapi malam Lailatul Qadar.

Untuk memastikan kita tergolong dalam kumpulan ini, ulamak menyenaraikan 7 perkara yang mesti dilakukan. Perkara-perkara itu adalah seperrti berikut :

1. Memejamkan kedua-dua mata dengan tujuan menegah dari melihat yang haram yang mengganggu hatinya dari mengingati Allah.

2. Memelihara lidah dari menyebut dan berkata yang haram. Berbual yang sia-sia dan memakan makanan yang syubhat.

3. Menjaga telinga dari mendengar yang makruh, haram dan sia-sia.

4. Menjaga tangan, kaki dan anggota yang lain dari melakukan perkara yang makruh, haram dan sia-sia.

5. Menjaga perutnya ketika berbuka puasa daripada memakan makanan yang haram dan syubhat.

6. Tidak terlalu memenuhkan perutnya dengan makanan yang halal ketika berbuka.

Rasul bersabda : (( Tidak memenuhi anak Adam suatu tempat yang lebih buruk daripada memenuhi perutnya dengan sesuatu yang halal.))
7. Sentiasa merasa khauf dan raja’ setelah berbuka puasa.

Puasa bagi golongan khawas ini, ialah puasa bagi orang-orang solih. Sesiapa yang berusaha untuk meningkat maqam puasanya kepada jenis ini, maka perlulah ia meninggalkan segala bentuk kemaksiatan dan memperbanyakkan amalan.

Puasa khawasul khawas

Ini adalah puasa, peringkat tertinggi. Malah, puasa dari kelompok ini adalah puasa bagi golongan arifin. Bolehlah juga kita bandingkan puasa kumpulan ini, adalah bagi jenis universiti. Kalau tadi sudah dijelaskan peringkat sekolah rendah dan menengah. Pastinya peringkat universiti adalah yang terbaik. Dengan kefahaman yang jelas. Ilmu yang banyak. Berfikiran kritikal dan sentiasa bermotivasi. Mempunyai lonjakan kendiri dan jati diri yang mantap.

Sudah tentulah banyak perbezaan antara sekolah rendah dengan sekolah menengah. Perbandingan antara langit dan bumi bagi sekolah rendah dengan universiti pula. Begitulah juga analoginya, puasa golongan awam sudah tentu berbeza dengan kumpulan khawasul khawas. Malah terlalu jauh perbandingannya.

Puasa khawasul khawas ialah membawa maksud golongan yang menahan hatinya dari keinginan dan keasyikan terhadap dunia. Mereka mengosongkan hati mereka dari perkara selain Allah Taala dan sentiasa syuhud ( menyaksikan ) kepada Allah Taala. Mereka mengganggap terbatal puasa mereka dengan memikirkan perkara selain Allah Taala dan akhirat.

Golongan ini sebenarnya sudah lama berpuasa. Sama ada Ramadhan atau bukan Ramadhan. Setiap hari mereka berpuasa. Mereka sentiasa lapar dan jarang merasa kenyang. Malah mereka banyak menghabiskan usia mereka dengan beribadah, bahkan mereka beristiqamah. Jesteru, sama ada Ramadhan atau tidak Ramadhan, sedikitpun tidak mengurangi apa-apa, kerana ianya sudah menjadi rutin mereka.

Oleh sebab itulah, puasa peringkat mereka ini, bukanlah memikirkan tentang lapar dan dahaga. Bukannya menjaga anggota badan dan memperbanyakkan ibadah, tetapi mereka meningkatkan nilai puasa mereka dengan keperluan hati pula.

Mereka hanya mahu hati yang tidak lagi berpaling dari mengingati Allah. Tingkat puasa takah ini bukan tekak dan anggota tetapi adalah hati. Hati mereka yang berpuasa atau menahan dari memikirkan selain dari Allah. Hati tidak terikat dengan keperluan dunia, bahkan mereka menyampaikan diri mereka kepada tauhid yang sebenar. Pada tawakkal dan pada pergantungan. Jesteru hati yang sedetiknya masih memikirkan selain Allah, maka batallah puasa mereka.

Ulamak sufi ada menyatakan : “ Sesiapa yang tergerak keinginannya pada siang harinya ( bulan Ramadhan )untuk menentukan apa yang akan dijadikan juadah berbuka puasa, nescaya ditulis baginya satu dosa.”

Orang seperti ini dikira berdosa kerana kurang kepercayaannya terhadap anugerah dan sifat Allah yang Maha Pemurah dalam memberikan rezeki serta kurang keyakinannya terhadap rezeki yang telah dijanjikan oleh Allah Taala ke atasnya.

Puasa peringkat ini merupakan puasa martabat anbiya, siddiqin, arifin dan auliya Allah. Ini adalah terhasil kerana, keinginan mereka hanyalah kepada Allah semata-mata dan hati mereka berpaling dari selain Allah.

Antara buktinya ialah kejadian Nabi Musa di Bukit Thur Sina. Nabi Musa a.s sudah berada di puncak selama 40 hari tanpa membawa bekalan makanan dan minuman pun. Selama itu jugalah Nabi Musa a.s berpuasa sehingga pengikutnya menyangka Nabi Musa sudah wafat, kerana tidak mungkin orang akan mampu bertahan tanpa makan dan minuman selama itu. Oleh kerana, orang yang berperingkat awam sentiasa memikirkan diri para nabi itu seperti mereka, maka mereka telah menafikan kebolehan dan kekuatan untuk bertahan kepada hajat duniawi.

Golongan ini juga sebenarnya termasuk dari firman Allah :

(( Katakanlah kepada mereka : Allah jualah. Kemudian biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatan.))

Sebahagian ulamak berkata : Berapa ramai di kalangan orang yang berpuasa sebenarnya tidak berpuasa dan berapa ramai dikalangan oranga yang tidak berpuasa, berpuasa sebenarnya.

Kumpulan bertakah ini, puasa mereka dari mengingati selain Allah. Maka hari raya mereka pula ialah bertemu dengan Allah.Kegembiraan dan kejayaan yang haqiqi ialah kegembiraan pertemuan dan melihat Zat Allah. Setelah mereka bermujahadah dan bersusah payah dalam puasa jenis ini maka ia dapat apa yang ia telah berikan.

Jika puasa awam kerana lapar dan dahaga, maka Allah membalasnya dengan kegembiraan makan dan minum. Jika puasa khawas kerana menjaga anggota badannya dan taat beribadat kepada Allah, maka Allah membalasnya dengan syurga dan membebaskannya dari api nereka. Manakala, puasa khawasul khawas pula berpuasa dari mengingati selain Allah kerana cintakan Allah, maka Allah membalasnya dengan pertemuan dengan mereka di dalam syurga.

“ Orang yang berpuasa dalam kalangan ahli khawas puasa mereka ialah menjaga lisan daripada berdusta “

“ Orang arif dan ahlil Uns ( orang yang berjinak dan bermesraan dengan tuhannya ), puasa mereka dengan menjaga hati dari perkara-perkara yang melalaikan, kekotoran dan sebarang hijab dari tuhannya.”

Begitulah syair yang dinyantikan oleh kumpulan bertakah ini. Bagi ahli arifin, tidak ada satu singgahsana yang dapat menggembirakannya selain melihat Allah dan tidak ada suatu sungai yang dapat menghilangkan dahaganya melainkan dapat bermusyahadah Allah. Ini adalah kerana, keinginan mereka adalah lebih besar daripada semua perkara tersebut.

Sebuah lagi syair yang menunjukkan perihal itu adalah seperti berikut :

“ Sesungguhnya aku telah berpuasa dari segala kelazatan dunia ini sepanjang hidupku.”

“ Dan hari pertemuan denganMu adalah hari raya bagi puasaku.”

Seseorang telah bermimpi bertemu dengan Bisyr al Hafi di dalam tidurnya. Maka beliau ditanya akan keadaannya, lalu beliau menjawab: “Allah mengetahui tentang keinginanku yang sedikit terhadap makanan, maka Allah mengizinkan aku melihat Zatnya.”

Allah telah berfirman :

(( Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah ( untuk menerima balasan ), maka sesungguhnya masa yang ditetapkan oleh Allah itu akan tiba ( dengan tidak syak lagi ).))

Saranan

Berapakah umur kalian sekarang ini? 20 tahun? 30 tahun?40 tahun?50 tahun atau lebih. Kalian berada di takah mana dalam amal berpuasa kalian. Ditakah awamkah? Ditakah khawaskah? Atau ditakah khawasul khawas?

Jika umur kalian 20 tahun atau lebih, apakah itu yang terbaik dalam amal puasa yang kalian boleh lakukan? Apakah ada peningkatan dalam puasa kalian saban tahun. Atau kalian hanya rasa sudah cukup untuk berteleku dinilai takah puasa kalian.

Rasulullah ada bersabda, bahawa orang mukmin itu hari ini lebih baik dari semalam. Dan esok lebih baik dari hari ini. Jika tidak, mereka termasuk dari golongan yang rugi.

Apakah kita dianggap muslim yang baik jika tiada nilai tambah setiap tahun bagi amalan berpuasa kita. Yang begitu, begitulah juga setiap tahun. Tiada niat untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Oleh kerana itulah, puasa tiada dapat membantu menjadikan kita seorang muslim yang baik.

Ada dua kumpulan yang ternyata amat rugi. Kumpulan itu ialah :

1. Puasa seorang ayah atau ibu sama nilai dengan puasa anaknya. Sang anak merengek lapar dan begitu juga sang ayah yang asyik merengek lapar dan asyik memerhatikan jam untuk menanti waktu berbuka puasa. Boleh tahan juga, apabila si ayah sama bernafsu macam anaknya apabila berjuadah makanan. Anak merengek nak makan kfc, begitu jugalah ayah, malah si ayah lebih teruk lagi kerana dialah membeli dengan banyaknya. Manakala si anak tiada kemampuan untuk membeli. Si ayah berlumba dengan si ayah siapa yang terlebih dahulu duduk di hadapan juadah dan terjelir-jelir lidah mengecur. Si ayah dan si anak sama kuat tidur di bulan Ramadhan kerana tidak tertahan-tahan dek kelaparan.

2. Puasa seorang alim sama dengan puasa seorang yang jahil. Seorang ustaz pun penuh keasyikan dengan pesta juadah. Sama kuatnya membeli makanan dengan anak muridnya. Sama kuat sedikit infaqnya. Sama kuat malasnya untuk beribadah.

Jadi apakah bezanya antara kedua-duanya sedangkan ternyata umur dan ilmu mereka berbeza. Tetapi nilai puasa mereka sama. Cukuplah analogi di awal tadi menceritakan betapa rugi, bodoh, jahilnya mereka sehingga langsung puasa tidak memberi kesan yang sepatutnya kepada diri mereka. Tunjukkanlah kematangan kita dalam beribadah dengan menambah baik nilai amal kita. Janganlah yang membezakan kita hanya dari sudut angka umur dan tinggi tingkat belajar kita tapi sama dengan anak-anak kecil dari kawalan nafsu kita. Berusahalah untuk mencapai taraf kemajuan. Puasa akan menjadikan seseorang itu maju bukannya kemunduran.

Saksikanlah dengan berjalan di atas muka bumi dengan apa yang Allah telah lakukan terhadap bangsa yang mendahulukan nafsu mereka berbanding matlamat ibadah yang Allah tetapkan.

….

“ Soalannya ialah banyak-banyak, kadang-kadang, jarang-jarang?” ahli nujum Pasai melontar soalan.

Sultan Shahrul Nizam mencebik kepada nujum negara untuk menjawab soalan. Kalau tidak pasti negara akan tergadai.

“ Jawapannya ialah…..”ahli nujum negara menjawab.

Begitulah juga kepada darjat orang berpuasa. Puasa awam, banyak-banyak. Puasa khawas, hanya terdapat kadang-kadang orang memilikinya. Puasa khawasul khawas, sungguh jarang sekali orang memilikinya.

Cubalah kita semua menjawab dengan memuhasabah diri, takah sebenar kita berada. Jika kita masih menipu maka kita termasuk dalam kumpulan orang yang nabi telah bersabda :

(( Bahawa Nabi menaiki mimbar lalu berkata : Amin! Amin! Amin! Ditanya kepada baginda : Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya kamu menaiki mimbar, maka kamu berkata : amin,amin, amin? Kata baginda : Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku , maka dia berkata : Sesiapa yang berkesempatan mendapat Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosa baginya, maka dia masuk ke dalam neraka dan Allah menjauhkannya ( dari rahmatnya ). Katakanlah wahai Muhammad : amin. Maka aku berkata : Amin….))

Berkata Sai’d daripada Qatadah :

(( Sesiapa yang tidak diampunkan pada bulan Ramadhan, maka tidak akan di ampun baginya pada bulan yang lain .)).

Wahai awan kelalaian dihati! Berlalulah. Wahai matahari ketaqwaan dan keimanan! Terbitlah. Wahai suratan amalan orang-orang yang soleh ! Terangkatlah.Wahai hati yang sedang berpuasa! Khusyuklah. Wahai kaki-kaki orang yang bermujahadah! Sujudlah. Wahai mata-mata orang yang bertahajud! Bangunlah. Wahai dosa-dosa orang yang bertaubat! Ampunkanlah. Wahai hawa nafsu yang membumi! Sekatlah air liurmu. Wahai nafsu yang melangit! Gugurlah. Wahai kilat kerinduan kepada yang dirindui! Wahai lintasan ahli arifin! Terpancarlah. Wahai Syazilie ! bergembiralah. Wahai Syazilie! Hadirlah. Wahai Syazilie! Dengarilah.

Sesungguhnya telah berpanjanganlah hari-hari hidangan nikmat bagi orang-orang yang berpuasa. Maka tidaklah kalian melainkan orang yang diseru :
(( Wahai Kaum kami ! Sahutlah ( seruan ) Rasul ( Nabi Muhammad ) yang mengajak ke jalan Allah.))

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam