Selasa, 3 Ogos 2010

Karamah


31 Julai 2010. Petang itu cerah. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Makcik-makcik telah lama siap dan berkumpul dihadapan rumah mak ayah aku. Kami akan bertolak ke Pondok Jenderam. Malam ini akan diadakan Majlis Peringatan atau Haul Saidatina Khadijah Kubro.

Sudah lama aku bercita-cita untuk membawa ibu dan ayahku ke sana. Namun, ada sahaja yang membantutkan usaha aku. Kali ini, dengan sedikit perancangan, berjaya juga aku memujuk mereka untuk mengikutku ke sana.

Aku membawa kereta mak cik Milah. Dia yang memperkenankan untuk aku membawa keretanya, kerana ingin membawa lebih ramai pergi . Avanza. Perjalanan kami lancar. Kami tiba diperkarangan Pondok Jenderam sekira-kira pukul 7 malam.

Walaupun sepatutnya dipanggil senja tapi langit masih cerah. Suram belum tiba. Perkarangan pondok sudah mula dibanjiri manusia berpakaian putih. Bas-bas tersusun menunjukkan begitu ramai warga yang turut serta dalam program peringatan tersebut.

Aku mencuri pandang wajah bondaku. Beliau tersenyum. Aku gembira kerana mengembirakannya. Dalam usia bondaku, sewajarnya beliau lebih terarah dengan suasana seperti di pondok Jenderam. Dengan harapan anaknya juga suatu hari akan memiliki pondok seperti itu juga. Bolehlah bondaku menetap dan mengambil ruang menyertai proses ilmu nanti.

Dari jauh sudah tersebar suara al Habib Tohir al Haddad menyampaikan kuliahnya. Aku mendengar setiap titip bicaranya sepanjang aku memasuki ruang pondok. Kadang-kadang aku mengambil peluang menceritakan serba sedikit mengenai pondok pada makcik-makcik yang bersama denganku.

Aku tunjukkan kegunaan setiap bangunan yang wujud terpapar dimata mereka persis pemandu pelancong. Ini zawiyah kaum ibu atau warga emas. Ini zawiyah kelamin. Ini pondok-pondok batu milik pelajar. Macam-macamlah yang aku terangkan kepada mereka. Jelasnya mereka cukup terhibur.

Kemudian kami terpisah. Mak cik-mak cik dan ibuku duduk diruang yang disediakan untuk nisa’. Aku dan ayahku masuk ke dalam masjid. Aku duduk diruang depan. Berdekatan juga dengan masyayikh yang ada.

Sebelum masuknya waktu solat maghrib, kami semua bertasbih dan beristighfar dibawah pimpinan habib Thohir al Haddad. Beratus-ratus kami menyebut namaNya tanpa jemu. Malah menambah rasa bersedia kami untuk menemuiNya.

Beduk warisan Jenderami dibunyikan menandakan waktu maghrib sudah pun tiba. Aduh, manisnya bunyi beduk itu. Bunyi itu mengkakukan diriku. Bunyi itu menambah getaran tiada terperi di dalam kalbu yang ghairah meronta ini.Bunyi itu mendatangkan syahdu.

Aku pernah mendengar bunyi beduk sewaktu usia kecilku, tetapi tidak lagi sekarang. Sistem bunyi yang moden telah meluputkan fungsi beduk. Kecanggihan telah merobohkan sistem hidup yang dulu.

Azan berkumandang , dialunkan oleh anak jenderami. Merdu suaranya. Suara kanak-kanak yang bersih fitrahnya. Disucikan lagi dengan jirusan air jenderami di dalam kota kalbu mereka. Makin halusnya sifat rasanya. Makin sucinya rasa tawadhuk, kerana memikir mereka bertuah bertemu dengan jalan ini dalam usia semuda ini.

Bersolat maghrib berjemaah dengan berimamkan Habib Hasan al Attas dari Singapura, mencetuskan rasa tazallul yang merekah biji-biji ke’aku’an yang baru bertunas. Setiap titip gema wahyu yang dibaca menjadikan aku begitu khudu’ dan izlal dihadapanNYa. Aku cuba untuk mengarap rasa cintaku melalui kalam-kalam berdoa dihadapan mihrab jenderami. Aku dapati di situ.

Setelah nawafil aku kerjakan. Aku kembali berhimpun. Tuan Guru Hafiz Selamat memulakan dengan maulid simthut duror. Setiap rawi dibaca berselang qasidah, menjadikan aku menjadi-jadi merintih. Kerana kerap juga membaca simtut duror, maka mulut ini tidak canggung untuk membacanya walaupun tiada kitab menerajui bacaanku.

Mahal qiyam diserikan dengan belasan bayi-bayi yang ingin ditahnik. Aduh! Ibu dan bapa mereka telah memulakan kehidupan anak-anak mereka dengan jalan yang benar. Bertuahnya anak-anak itu.

Majlis diteruskan dengan tausiyah yang disampaikan oleh Habib Hasan al Attas. Imam besar Masjid Ba’alawie Singapura. Aku mendengar dengan teliti buah kata nasihat yang disampaikan oleh habib. Saidatina Khadijah mencetuskan motivasi buat kami .

Tapi sebanyak kata-kata habib, ada satu nasihatnya yang betul-betul membungkam jiwa ragaku. Membeku segala keegoanku. Mematahkan sangkaan yang rapuh. Membinasakan amal yang berselut lumpur kesyirikan.

“ Tiada orang yang seperti Saidatina Khadijah “

“ Menghabiskan hartanya untuk Rasulullah”

“ Dari seorang berharta menjadi orang yang tak punya apa-apa”

“ Ini cukup luar biasa. Siapakah yang sanggup menghabiskan hartanya kerana Rasulullah ?”

“ Tiada apa-apa! Tiada apa-apa!” Habib menegasnya dengan nada meyakinkan.

“ Dalam satu riwayat menceritakan. Rasulullah terpaksa meminjam wang untuk membeli kain, buat mengafani jasad Saidatina Khadijah”

“ Beliau menjadi benar-benar miskin. Segala hartanya diserahkan untuk diinfaqkan. Ada sahaja diberi. Ada sahaja diberi. Sehingga beliau tidak memiliki!”

“ Siapakah yang sanggup menjadi seperti itu? “

Seruan itu, benar-benar memukulku.Memukau benak tumpul amal taqsirku.

………………………………..

Surat arahan untuk menghadiri kursus di Batu Pahat, aku belek beberapa kali.

“ Aduh “ getus hati kecilku.

Aku mendesah beberapa kali. Aku benar-benar kaget. Bagaimana aku perlu mencari jalan keluar untuk masalah ini. Masalah untuk pergi ke Batu Pahat.

Bukan kerana aku tidak gemar ke sana, tapi masalah yang mengundang resah ialah masalah kewangan. Semalam aku baru sahaja menghabiskan sejumlah wang yang besar untuk membeli makanan.

Dirumah aku, duduknya dua orang pelajar yang belajar secara khususi. Jadi makanan di dalam peti sejuk mestilah dipenuhi buat mereka. Tambahan pula, sememangnya rumahku sering dikunjungi oleh para pelajar aku yang bermasalah dalam keluarga mereka. Mereka akan mendapatkan ketenangan dan perlindungan dirumahku. Makan minum mereka akulah tanggung.Biarlah mereka makan yang sedap-sedap. Merasai nikmat dari rumah ini. Sejajar dengan namanya Rauhatul Qulub.

Rumah yang menenangkan . Penyejuk jiwa. Datang disitu berasa ketenangan dan berasa nikmat. Biar hati mereka senang. Dan diberi kekuatan untuk beramal.Tambah pula ada dalam kalangan anak muridku yang yatim malah yang piatu. Aku dan anak muridku bersuhbah.

Oleh kerana, mereka mendapat kesempurnaan dalam rumah aku, jadi keraplah mereka berkunjung. Mereka tidak pernah menyoal, dari mana datangnya makanan tersebut? Siapakah yang menanggungnya? Tidak pernah mereka soal.

Aku pula, pasti takkan akan beritahu. Malah, itulah nilai perjuanganku seperti nabi. Rumah nabi sentiasa dikunjungi orang. Yang miskin dan yang kaya. Memohon dengan pelbagai perkara . Yang miskin memohon sesuap makanan. Nabi memberinya tanpa putus. Mereka tak pernah menyoal, adakah nabi sudah makan? Dari manakah datangnya sumber tersebut? Adakah makanan dirumah nabi mampu menampung keluarga nabi?

Demi Allah dan rasul, tidak pernah! Tidak pernah mereka menyoalnya. Tetapi, nabi tetap memberi. Memberi dengan apa yang ia miliki. Memberi walau ia pun mengingininya. Memberi walaupun ia hanya satu-satunya. Memberi, kerana tahu mereka lebih memerlukannya.

Jesteru, rumah nabi tidak pernah putus dengan kunjungan manusia. Rumah nabi meriah dengan orang yang meminta. Rumah aku pun begitu. Dan aku inginkan ia begitu. Begitu seperti nabi. Biarkan mereka keluar masuk. Menghabiskan makanan dan menggembirakan mereka. Dan aku berkongsi kegembiraan bersama mereka, walaupun sesudah itu aku tidak memiliki apa-apa.

Susahnya untuk menjadi seperti nabi. Tapi aku berusaha untuk mencontohinya. Meneladaninya. Namun, risikonya cukup tinggi. Mampukah hati ini bertahan? Bertahan bila diuji?Bertahan untuk tidak mengharap balasan?Itulah yang aku alami sekarang.
Kewangan. Ujian terhadap diriku.

Namun, aku tekad untuk pergi. Biarlah dengan wang RM 40 itu menjadi kekuatan iman jika ia sebuah ujian. Aku pernah diuji lebih teruk daripada ini. Aku pernah diuji untuk tidak bergantung kepada makhluk. Pergi bersafar tanpa sebarang pergantungan kecuali pergantungan kepada Allah.

Nekad. Akhirnya aku pergi. Aku membayar duit minyak sebanyak RM 30 dan berbaki RM 10. RM 10 itulah yang bakal aku gunakan untuk makan selama 3 hari di sana.

Bila menyertai kursus tersebut, kepalaku sentiasa memandang sekeliling. Jika terserempak dengan rakan seperjuangan dari daerah Mersing. Tiba-tiba, bahuku disapa. Aku menoleh dan rupanya ustaz Abdul Rahim.

Kami bertegur siapa dan bertanya serba sedikit hal ehwal diri masing-masing. Sudah beberapa ruang waktu telah menjarakkan kami. Perbualan kami tidaklah panjang tetapi ia memuaskan hati kami.

“ Ehhh…Syeikh. Ana baru teringat. Ini ada RM 50. Ana hutang enta hari tu.” Bisik Ustaz Abdul Rahim sambil menghulurkan wang bernot RM 50.

Aku terpinga. Pegun. Bukan kerana jumlahnya tetapi kerana bantuan Allah sudah menjelma. RM 50, boleh membantu aku sebanyaknya. Terima kasih Allah. Terima kasih Allah. Allahu Allah.

Yang lebih memeranjatkan aku ialah apabila aku sengaja mencucuk kad atm aku pada mesin atm. Dengan penuh harap pada Allah, jumlah wang yang kurang dari RM 10 itu telah menjadi RM 200. Aduh! Sekali lagi aku terjelepuk di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Aku hamparkan seribu kesyukuran. Aku bentangkan jutaan kalimah pujian. Aku taburkan wangian misk dari haruman bunga tari kehambaan. Aku sembah dalam rangkulan ketuhanan. Rembesan nafas ketuhanan. Aku dalam pelukanmu, tuhan!

Engkau tidak pernah memungkiri janji. JanjiMu pasti. Engkau akan membantu dengan rezeki yang tidak diketahui jika kita beriman dan bertaqwa. Aku sudah memberi keranaMu , tuhan! Sekarang Engkau membantu dan memberi kepadaku. Alhamdulillah wasyukru lillah….

-----------------------------

“ Shuhrur Rijal! Jalan kita tidak memandang kepada karamah atau kita melihatnya dari sudut yang berbeza.” Jelas tuan guruku sewaktu aku menanyakannya soal karamah para auliya.

“ Maksud tuan guru ? “ aku mohon huraian.

“ Begini, ramai yang menyangka bahwa berjalan di atas angin, di atas air dan lain-lain perkara luar biasa yang mencarik adat dianggap karamah para auliya”

“ Tidak! Tidak sama sekali pada jalan kita! Tuan guru kita memiliki dua karamah yang tiada pada ahli sufi yang lain.”

“ Apakah dia tuan guru?” aku menyoal kembali.

“ Ilmu dan akhlak “

Tuan guru kami menghimpunkan ilmu dan berakhlak mulia sebagai bentuk karamah. Tiada manusia hari ini yang mampu berakhlak mulia seperti nabi. Dan kemuncak keluarbiasaan bagi manusia hari ini dan dianggap mencarik adat ialah berakhlak mulia seperti nabi dan ahli keluarganya.

“ kamu pasti akan mengganggap gila jika seseorang hari ini bercakap benar sepanjang hidupnya, bukan?”

“ Kamu pasti akan mengganggap gila jika seseorang itu mengungkapkan salam pada semua orang yang dikenali dan juga yang tidak dikenalinya sesama muslim, bukan?”

“ Nah! Itulah karamah yang paling tinggi sekali pada hari ini ! “

“ Shuhrur Rijal ! Janganlah engkau mengganggap orang yang memiliki karamah itu ialah dengan kemampuannya mengeluarkan emas dari tanah, bahkah karamah itu ialah dapat mengeluarkan emas dan harta miliknya untuk diberikan ( diinfaqkan) sehingga ia tidak memiliki apa-apa! “

Aduh! Aku masih memiliki sesuatu. Benarlah dan benarlah Saidatina Khadijah amat disayangi Rasul. Kerana ia memberi sehingga ia tidak lagi memiliki. Dia beroleh karamah!

2 ulasan:

  1. Allahu Rabbi, Anta Maqsudi, waridhaKa Matlubi, 'a'tini mahabbataka

    BalasPadam
  2. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam