Ahad, 1 Ogos 2010

Kereta pejuang.





(( Dan sediakanlah apa yang kamu mampu dari kekuatan dan kuda-kuda yang baik....)) al ayah

..........................

Kami mula cemas. Kereta aku yang dipandu oleh caca, sudah tidak boleh bergerak. Gear tidak dapat masuk ke ruangnya. Puas caca menyentak batang gear dengan keras, namun terasa ada yang menyekat.

Terbantut. Kami baru sahaja ingin memulakan kembali perjalanan setelah berhenti seketika di stesen minyak untuk bersolat asar. Sepatutnya kami tidak berhenti diKempas. Entah apa yang merasuk hati dan pemikiran anak-anak muridku dengan memilih jalan Johor Bharu berbanding jalan Kulai – Kota Tinggi.

Persembahan qasidah kami di Dewan Raya, Kulai. Sepatutnya, pulang pun mestilah jalan Kulai. Namun, pintalan taqdir yang memintal di Lauh telah menetapkan yang kami akan menerima ujian di perkarangan Kempas.

Nasib baik, Fadhil yang memandu van baru bergerak hampir 50 meter sahaja. Lantas aku menghubunginya supaya melihat kerosakan keretaku. Nasib baiklah, dalam kalangan anak muridku ada yang menjadi mekanik. Jesteru, dia banyak membantu untuk mengatasi masalah kerosakan teknikal yang melibatkan kenderaan sepanjang perjuangan dakwah kami.

Fadhil mencuba mengemudi kotak gear. Mukanya ternyata meriakkan kebingungan. Dahinya berlapis-lapis keriut, menampakkan seriusnya masalah yang aku alami sekarang ini.

“ Kenapa Fadhil? Apa masalahnya? “ soalku.

“ Klutch, ustaz. Habis” jawabnya.

Beliau keluar mendapatkan Faizal. Aku yang masih duduk memerhati gerak geri mereka di dalam kereta, hanya melihat mereka berbincang sesama mereka. Akhirnya Faizal mendatangi. Masuk ke dalam kereta dan cuba memandu. Gear masih tersangkut kerana klutch membantutkan.

Beberapa anak murid yang bertubuh gadang, menolak kereta dan Faizaln menyentap kuat gear dua. Lantas enjin kereta menderum kuat. Dorongan hasil tolakan anak muda telah menyebabkan kereta tersenguk-senguk dan bergerak lancar bila enjin mula menderum.

Aku melihat Faizal tersenyum lebar. Tapi, cabaran akan lebih rencam sepanjang perjalanan tersebut. Van mengekori kami dari belakang. Manalah tahu apa-apa yang terjadi, maka bantuan tidaklah terlalu jauh. Tambahan pula, jalan kempas ke Tenggaroh, pasti meriah dengan lampu-lampu isyarat yang berkerdip kerdip.

Jesteru kami perlu memberhentikan kereta. Disitulah masalahnya akan timbul. Jika kereta aku berhenti secara mendadak. Beberapa anak muridku akan bersegera turun dan menolak . Persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, boleh menggelakkan atau mengurangkan kadar bebanan yang ditanggung.

Kami mula bergerak secara konvoi. Kenderaan kami bergerak tidak terlalu laju dan tidak juga terlalu perlahan. Bila berhadapan dengan lampu isyarat, suasana pasti mendebarkan. Tapi, kami berjaya tangani dengan baik. Gear kereta masih boleh berfungsi dan akhirnya membawa kami pulang dan sampai di Tenggaroh.

“ Kereta nak letak mana Ustaz ? “ soalan Faizal yang memecah kesepian malam itu.

“ Berhenti sahaja di bengkel Along. Nanti, tak susah-susah nak hantar ke sana.” Jelasku.

Keretaku, kali ini lebih kuat perjuangannya berbanding diri aku ini. Aku pernah menjadi lesu, akibat usaha dakwah secara berterusan. Kelesuanku membuatku aku letih dan berhenti seketika dari perjuangan. Namun, keretaku, tidak pernah berhenti. Tidak pernah meragam. Malah sentiasa bersamaku untuk berjuang.



Kini, keretaku sedang gering menanggung derita setelah berlelah tanpa jemu membawa para pejuang berpesta ditemasya taman ilahiyyah. Suka dan duka dilalui bersama. Kereta ini lebih taatnya daripada aku.

Sudah jauh ia bergerak. Mengharungi sebarang bentuk jalan. Berapa banyak batu ia telah pijak. Berapa banyak calar dan parut yang ditinggalkan. Dia tidak pernah jemu untuk bersama kami, para pejuang.

Meternya sentiasa mendahului meter kenderaan lain. Dia seumpama ayam daging. Usianya dipaksa untuk membesar dan akhirnya mati disembelih. Usianya baru beberapa tahun tapi meternya berjumlah sama dengan kenderaan rakan guruku yang berulang alik balik ke kampung di Kelantan.

Keretaku sudah menepati ciri-ciri kenderaan pejuang. Ia amat berjasa, antaranya :

1. Ia pernah meredah jalan belukar untuk tujuan berdakwah. Jalan hutan dan tanah merah dan dipenuhi selut. Ia telah lalui. Perjalanan ke Ladang Pasir Logok tetap diredah walau pun bukit meninggi dan terkadang cukup curam.

2. Ia telah pergi kesemua tempat orang alim. Pondok-pondok dan majlis-majlis ilmu. Keretakulah yang menyampaikan kami ke sana.

3. Membawa aku untuk menyampaikan ceramah. Dimana sahaja.

4. Membawa para pejuang untuk beratib, berhizb, berqasidah dan berselawatan.

5. Ia sudah berjalan keseluruh semenanjung kecuali kedah sahaja.

6. Malah meternya sudah menjangkau ratusan ribu ( secara tepatnya melebihi 200000).

7. Membawa para ulamak untuk hadir ke majlis ilmu.

8. Sememangnya masalah kami pera pejuang yang bermukim di sisi hutan ini ialah pengangkutan. Keretakulah yang kadang-kadang menampung dengan jumlah lebih muatan membawa pejuang. Pernah 10 orang di dalamnya. Bayangkanlah!

9. Keretaku tidak pernah membebankan pemandunya. Pernah satu malam, ketika pulang dari Majlis Maulidur Rasul yang di anjurkan oleh Syaikh Afifuddin di masjid Negara, tayarnya pecah. Namun ia pecah ditempat yang selamat dan dalam keadaan yang selamat.

10. Dan terlalu banyak ia berjasa dalam mengembangkan dakwah.

Tapi kini, aku terpaksa memberhentikan pergerakanku kerana kenderaanku rosak. Kerosakannya meragut masa emas untuk meneruskan dakwah. Mungkin, wajar juga bagi kenderaanku dibaik pulih. Sudah pun ia menjadi satu ketetapan.

“ Berapa bayaran yang perlu dibayar ni? “ aku bertanya kepada Fadhil selaku mekanik bagi kereta pejuang.

“ Saya dah tanya bapa saya. Jumlah semuanya RM 930.” Jawab Fadhil.

“ Hah!” Aku betul-betul terperanjat dengan jumlah yang disuarakan. Aku betul-betul tidak menyangka sebanyak itu jumlah yang perlu dibayar kerana sebelum itu aku sudah pun memberi sebanyak RM 500 kepadanya.

“ Dah banyak yang saya dah diskaun tu Ustaz! “ Fadhil mencelah, mungkin kerana reaksi aku yang mengejutkan menyebabkan akan timbul prasangka buruk.

“ Ermmm…baiklah. Beritahu ayah kamu, bulan depanlah ustaz bayar ye.”

“ Baiklah Ustaz”

Rintihan para pejuang dalam melestarikan perjuangan para nabi ini, tidak pernah disuarakan untuk mendapat simpati. Dan tiada siapa pula yang akan bersimpati. Para pejuang akan menghabiskan harta mereka, masa mereka dan tenaga mereka demi sebuah kebenaran al Haq.

Pernah juga aku menyuarakan hasrat untuk memiliki van kepada seorang yang agak berada, namun jawapannya aku boleh baca dari riak dan raut wajahnya. Kerana mereka bukan pejuang seperti kami, jesteru jawapannya tidak terarah kepada positif.

Bayangkan jika, aku memiliki van yang bertujuan untuk dakwah. Nescaya akan aku gembling usaha dakwah dengan menghantar anak-anak muridku ke serata ceruk. Berdendang kalimah Allah di semua tempat. Memperkenalkan Islam di segenap ruang, kerana kami memiliki kuasa untuk itu.

“ Tapi ustaz, saya musykil sikit “ Fadhil merenungku tajam.

“ Apa dia dil ? “ soalku.

“ Saya dah lama jadi mekanik ni ustaz. Kes ustaz ni lain sikit “ jelas Fadhil.

“ Ermm…” aku bingung.

“ Biasanya ustaz, kalau klutch dia punah, kereta tu tak boleh jalan”

“ Bergerak pun tak boleh. Tapi, kereta ustaz boleh jalan. Sampai Tenggaroh lagi. Jauh tu!”

“ Kereta mesti kena towing punya. Tapi tak ! Ini yang menghairankan saya ni.”

“ Entahlah dil. Allah mempermudahkan urusan kita dengan berkat selawat kepada Saidina Muhammad” tegasku sambil tersenyum.

Kehairanan itu, tidaklah mengurangkan jumlah bayaran membaiki kereta tersebut. Bahkan melarat-larat jangkitan yang perlu dibaiki.

Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar untuk membaik pulih kereta pejuang ini menjangkau RM 2000. Jumlah itu bagiku cukup banyak, kerana dengan sejumlah itu, aku boleh melaksanakan beberapa program dakwah. Oleh kerana perjuangan ini tidak akan sempurna dengan kenderaan yang baik, jesteru jumlah wang itu memang di perlukan untuk mengembalikan kereta menjadi kenderaan yang baik kembali untuk berdakwah.

Aku berserah kepada Allah, tuhan yang Maha Agung. Tuhan yang mentadbir dan menentukan segala rezeki, termasuklah rezeki aku. Aku sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dan apa yang terjadi itulah yang terbaik buatku. Terima kasih Allah.

Setelah beberapa hari kereta itu tersadai. Kini ia sudah mula bergerak dan mulai bertugas untuk meneruskan kerja-kerja dakwah. Tapi, bayaran kereta itu masih tertunda. Aku yakin dengan janji Allah :

(( Sesiapa yang ber taqwa kepada Allah, nescaya Allah akan kurniakan rezeki tanpa dia ketahui sumbernya )).

Wahai Yang Kaya, bantulah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan