Khamis, 12 Ogos 2010

Nasihat di puncak istiqbal


Sya’ban kian berlabuh. Ramadhan sudah melambai-lambai menyambut kedatangan bagi orang yang menanti kehadirannya tanpa jemu. Segala doa dipanjat tanpa kecewa. Sejuta mengharap tanpa lelah. Hanya dengan makna sebuah pertemuan. Pecinta dengan yang dicintainya.

“ Allahumma bariklana fisyh sya’ban wa ballighna Ramadhan”

Bagi kami, meraikan Ramadhan adalah salah satu bentuk kecintaan terhadapnya. Baginda ditunggu-tunggu dan diraikan ketibaannya di Yastrib, sebagai tanda cinta terhadap baginda. Begitu juga kami terhadap Ramadhan. Dipalukan kompang, dinyanyikan dengan gurindam ditebarkan dengan emas-emas berupa nasihat. Kesemuanya itu adalah syiar terhadap sajian cinta.

Hari Jumaat, malamnya Malam Istiqbal Ramadhan disambut meriah di zawiyah syaziliyyah Tenggaroh. Bermula dengan bacaan Dalailul Khairat, meraih sebuah kesempurnaan syafaat dari kehormatan diri baginda rasul. Kemudian berlanjutan kepada pembacaan Maulid Dhiya’ul Lami’. Selawat-selawat bersipongang memenuhi. Bait-bait puisi rangkuman dengan sebuah hati para pecinta bersatu memuji keharuman zat baginda tanpa bersisa.

Mereka melaungkan dengan kalimah yang sama . Menjawab dengan kalimah itu juga. Ia saling tingkah meningkah. Mencetuskan kedamaian bagi hati yang gusar. Bila segala kebongkakan terpusar.Kerana tunduk pada Cahaya di atas cahaya yang memijar.

Majlis dipenuhi dengan hati yang ghairah terhadap Ramadhan dengan ucapan tazkirah dari En Hairul. Sudah lima tahun aku memujuknya untuk menyampaikan sebarang tazkirah. Akhirnya, kemudi cintanya pada Ramadhan melabuhkan sauh pada malam itu, dan berhaklah ia bertausiyah.

Oleh kerana, beliau seorang yang dikenali sebagai jurulatih sukan. Maka, tausiyahnya bersangkut dengan puasa dan kesihatan. Garapannya baik sekali. Namun, kadang-kadang ke laut. Membenarkan puasa dengan realiti kehidupan, itu agak membinggungkan, kerana amalan puasa itu menjenuhkan. Tiada siapa yang menyukai amalan puasa walau dihimpun beratus dalil yang muqni’ ia baik untuk kesihatan. Kerana dunia telah melanggarinya.

Rokok tetap dihisap walau ramai yang mati kerananya. Walau terpampang gambar jantung dan peparu, kesan darinya. Gula tetap kehabisan dan sering kekurangan stok, walau banyak kaki –kaki yang telah dipotong. Sakit jantung dan darah tinggi, tetap menjuarai senarai pendek penyakit berbahaya dalam kalangan masyarakat kita, hasil dari cara pemakanan yang tidak sihat. Apalah lagi puasa. Ia tidak mengurangi sedikit pun, nafsu yang menggila dan merakus. Kesihatan tetap tertindas di atas nama serakah nafsu.

Rasul bersabda : (( Kamu berpuasa, kamu sihat )).

Namun, ada sebuah nasihat di malam puncak Istiqbal, apabila En Hairul mengkisahkan tentang ibunya. Berapa banyak hati yang terguris. Banyak ingatan telah kembali mengenang ibu masing-masing. Bagi diriku, ada satu yang menarik minat dan terpendam dalam lubuk ingatan.

En Hairul mengatakan, jika ibunya difitnah sebagai janda gatal sejak kematian suaminya. Maka, ibunya akan membuat kuih walaupun bahan-bahannya kala itu, susah sekali di cari. Kemudian beliau akan menghantar kuih tersebut kepada pembuat fitnah, penyampai fitnah dan pengganda fitnah tersebut. Jesteru, perbuatan tersebut mengundang rasa kekesalan atas tingkah laku baik ibunya.

Aduh! Manis sekali akhlak itu. Moga ibunya diberi kekuatan di atas istiqamah bermahmudah dalam berakhlak. Bukan senang untuk menjadi pemaaf di atas kata nista orang lain. Bukan senang untuk memaafkan atas taburan fitnah yang merudung kegelisahan. Bahkan jika tidak ditangani, pasti ia membarah dan menghasilkan tindakan membalas dendam. Mungkin dengan cara yang nampak atau tidak nampak. Kalau kemaafan pun begitu susah apatah lagi dengan memberi balasan baik kepada pemfitnah dan pengumpat.

Hati yang baik, tidak akan mentunaskan perasaan dendam. Hati yang baik tidak akan mentunaskan perasaan iri hati. Dendam kesumat dan iri hati adalah penyakit hati, berpunca dari kekotoran. Di tambah dengan rasukan syaitan, mendorong kuat jiwa-jiwa lemah menjadi lebih hina dari binatang di atas tindakan mereka.

Bukan setakat dosa yang mereka lakukan, bahkan kesyirikan akan memasung kehidupan mereka seharian. Iman akan terhakis. Amalan mula ronggak. Yang tinggal ia kesukaan kepada kemaksiatan dan berbangga dengannya.

…..

Engkau bukan lelaki itu.

Setelah kewafatan baginda. Saidina Abu Bakar telah memegang tampuk pemerintahan umat Islam dengan menjawat jawatan khalifah. Kesemua tugas yang telah dilaksanakan oleh Saidina Rasul, dilaksanakan oleh Saidina Abu Bakar dengan sebaik-baiknya. Dalam kesibukan itu, Saidina Abu Bakar masih menjadi seorang ayah dan suami yang baik.

Beliau sentiasa menziarahi anaknya iaitu Saidatina Aisyah. Menjenguk-jenguknya dan sentiasa menasihatinya agar anaknya tidak sentiasa dirundung sedih di atas pemergian suaminya , baginda rasul.

Suatu pagi, Saidatina Abu Bakar telah pergi menziarahi anaknya. Kemudian mereka berbual-bual tanda kemesraan keluarga.

“ Wahai anakku! Semua tugas Rasulullah yang telah di tinggalkan, telah pun aku laksanakannya dengan baik. Namun, masih adakah tugas lain yang dibuat oleh Saidina rasul yang belum lagi aku perbuat ? “ soal Saidina Abu Bakar.

“ Wahai ayahku! Kesemunya telah engkau jalankan dengan dedikasi kecuali satu perkara yang engkau belum laksanakannya.” Jawab saidatina Aisyah.

“ Apakah dia wahai anakku? “

“ Saidina Rasul, di awal paginya akan pergi ke sebuah rumah yang didiami oleh seorang tua. Orang tua itu buta matanya. Dia adalah seorang yahudi. Kerjanya Cuma mencerca baginda setiap pagi dan petang .”

“ Jadi, apakah yang dibuat baginda di sana?”

“ Baginda memberinya makan!”

“ Aduh! Cantik sekali akhlakmu wahai rasulullah.”

“ Wahai anakku! Siapkanlah makanan, aku ingin memberi orang tua itu makan. Aku tidak mahu ketinggalan satu pun tugas baginda “ teriak Saidina Abu Bakar.

“ Baiklah, ayahku.” Ujar Saidatina Aisyah.

Setelah makanan telah disiapkan, Saidina Abu Bakar pun bersegera menuju ke rumah orang tua yahudi seperti yang telah ditunjuki oleh Saidatina Aisyah. Saidina Abu Bakar segera memasuki ruang rumah orang tua tersebut.Mengejutkan orang tua tersebut, lantas menyuapkan makanan kepada orang tua tersebut.

Orang yahudi tua itu tersentak. Dia memberontak.

“ Hei! Siapa kau? “ sergah orang tua itu.

“ Errr…aku orang biasa yang memberi engkau makan! “ balas Saidina Abu Bakar.
Saidina Abu Bakar merasa khilaf atas tindakannya menerjah.

“ Bukan! Bukan! Kau bukan orang biasa memberi aku makan.” Jerit orang tua itu.

“ Bukan! Bukan ! Pergi! Pergi kau dari sini! “ teriaknya lagi.

“ Sabar! Sabar! Macam mana engkau tahu yang aku bukan orang biasa yang memberi engkau makan.” Saidina Abu Bakar mencabar.

Orang yahudi tua itu membisu. Kelihatan dadanya membuak. Turun naik nafasnya kedengaran. Mungkin dia tengah menahan kemarahan.

“ Orang biasa yang datang setiap hari, memberi aku makan, dia tidak sepertimu” jawab orang tua itu dengan menurunkan kadar intonasi suaranya.

“ maksudmu apa?” Saidina Abu Bakar memohon penjelasan.

“ Orang yang datang setiap hari itu, akan mengejutkan aku dengan cara yang paling lembut. Seumpama seorang anak mengejutkan ayahnya.”

“ Kemudian, dia akan mandikan aku dengan membasahkan anggota badanku. Dia akan lapkan seluruh tubuhku dengan cara yang paling lembut. Dia tidak langsung mengasariku.”

“ Selepas itu, dia akan menyalinkan aku pakaian. Menyikat rambutku agar rambutku tersisip rapi. Sebelum dia menyuapkan makanan ke dalam mulutku, dia terlebih dahulu mengunyahkan makanan tersebut agar senang aku mengunyahnya.”

“ Sebab itulah aku tahu, engkau bukan orang biasa yang datang memberikan aku makan. “

Benak hati Saidina Abu Bakar membuak-buak rasa kesedihan. Air mata sudah tidak tertakung lagi. Ia mula mengalir deras membasahi pipi-pipi yang sembab. Mata yang keputihan memerah. Ia terhasil dari sebuah perasaan kenaifan yang membeku, akhirnya mencair.

“ manusia apakah ini? Tingginya akhlakmu wahai Rasul. Tidak tergambar olehku kehebatanmu. Wajarlah engkau bernama rasul.”

“ Orang tua ini memakimu saban hari. Tanpa jemu dan letih. Siang dan malamnya sama. Mulut tanpa lekang menyumpah dirimu. Tetapi engkau balas dengan ihsanmu. Kasih sayangmu.! Manusia apakah engkau ini, wahai nabi ?” Saidina Abu Bakar melirih.

“ Siapakah orang yang biasa itu nak? Dimanakah dia sekarang?” Orang tua itu bertubi menyoal.

Saidina Abu Bakar masih membatu. Lirih hatinya masih belum reda. Takut orang tua itu menyedari sedihnya.

“ Ermmm…orang itu sudah tiada lagi! Dia sudah pergi buat selama-lamanya! “ beritahu Saidina Abu Bakar. Ingin sahaja dia bertempik kerana perasaannya yang tidak tertanggung.

“ Siapakah orang itu nak ?” soal orang tua itu lagi. Jelas dia tidak sabar.

“ Orang itu ialah Nabi Muhammad s.a.w! “ Saidina Abu Bakar menyahut jawapan itu dengan meragut segala kekuatan dirinya.

Orang tua itu terkesima. Dahinya mula mengeluarkan air halus yang jernih. Kekesalan menempat diwajahnya.

“ Jika benar orang itu ialah ……………………..”

Senyap.

“ Jika benar orang itu Muhammad.”

“ Aku naik saksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah ! “ orang tua itu bersyahadat.

“Allahu akbar! Allahu akbar! “ jerit Saidina Abu Bakar.

……………..

Ayah saya tidak benarkan !

Malam itu seperti malam yang lain. Malam yang dipenuhi dengan kelas pengajian. Pelajar yang datang ke surau untuk menghadiri pengajian pun adalah pelajar yang sama.

Suasana di Tenggaroh ketika itu, masih belum boleh menerima kehadiran aku yang membuka kelas pengajian saban malam yang bermethodkan pengajian kitab turath atau lebih mudah dikenali pengajian kitab kuning.

Maka, bersipongganglah mulut-mulut tempayan berbau kebusukan dari umpatan dan fitnah beberapa orang kampung, yang aku mencampakkan ajaran sesat di dalam komuniti mereka. Tetapi, kesemua itu aku simpan dengan baik dan membalasnya dengan senyuman.

Jika nak diikutkan, kehadiran aku jika dianggap sebagai penyebar ajaran sesat, maka bukanlah aku orang yang pertama mempasaknya. Ini adalah kerana, amalan kesesatan sudah membumi di Tenggaroh. Perzinaan, perjudian, arak dan mabuk, curi, rompak dan yang lain-lain adalah perkara melalikan. Kesemua ini adalah amalan kesesatan. Hairannya tiada siapa yang melarang, sedangkan diamalkan dengan secara terang-terangan.

Tiada ketua kampung yang melarang. Tiada pegawai felda yang menempelak. Tiada pegawai agama yang siponggang. Tiada polis yang menahan. Semuanya sudah tidak dianggap salah lagi. Kesesatan sudah biasa disini. Bila aku menjulang al Quran. Mengajak untuk bersolat. Berpuasa. Meleburkan nafsu. Berinfaq. Kesemua ini mereka mengganggap wacana yang sesat.

“ Ustaz, saya ada masalah la! “ anak muridku berbicara setelah pengajian.

Sudah menjadi kebiasaan, jika ada masalah, anak-anak muridku segera mendapatkan aku untuk berkongsi masalah. Mungkin aku boleh merungkaikan masalah mereka. Jika tidak pun, segala kemelut sudah dapat diluahkan.

“ Apa dia ? “ nadaku mendatar.

“ Ayah saya tak bagi datang ke surau. Dia tak bagi belajar dengan ustaz. Dia cakap, kalau datang surau, ustaz boleh bagi duit ke? “

Tersentak aku mendengar kenyataan tersebut. Semacam kulit disiat-siat. Kemudian pedihnya ditambah dengan air perahan limau. Aduh, sememangnya bisa.

Tapi aku mesti tabah. Pendakwah tidak boleh luntur dengan suasana. Ia mesti keras dengan prinsip, jika tidak dakwah boleh dirobek dan menjadi lunyai. Kekuatan itu aku dasarkan kepada perjuangan rasul. Ketabahan rasul tiada pula tandingnya. Ujian yang menimpaka hanya palitan lumpur yang tidak dapat dibezakan dengan kulit. Hanya sedikit.

Rasul pula, ramai yang mempertikainya. Bila rasul mengatakan Islam membawa keamanan, sedangkan ramai sahabat yang terkorban dan syahid. Mereka mempertikaikan keamanan apa yang dibawa rasul sehingga ahli keluarga mereka terkorban. Imanlah yang menguatkan Rasul. Iman jugalah yang menguatkan sahabat yang lain. Aku juga memerlukan iman begitu, jika ingin menelusuri jalan rasul.

“ Tak apalah begitu. Menghormati ayah dan ibu adalah lebih dari segala-galanya. Termasuk Ustaz. Jadi, tak perlulah kamu datang ke surau buat masa ini. Demi kehendak ayah kamu.”

“ Tapi ustaz…”

“ Tak apalah. Ada rezeki kamu boleh belajar lagi.

Tapi apalah yang aku boleh desak kepada sebuah keterujaan. Kepada sebuah iman yang pasti akan diuji. Anak muridku tetap datang ke surau malam berikutnya.

“ Kenapa kamu masih datang? Kan ustaz suruh kamu berhenti datang buat seketika! “

“ Tak mengapalah Ustaz.”

Anak muridku tetap menghadirkan diri di kelas pengajian. Belajar aqidah. Belajar feqah. Belajar tasawwuf dan belajar al Quran.

Suatu malam, ketika anak muridku menghadap aku untuk belajar al Quran secara musyafahah. Rehal yang menampung mushaf bertemu antara satu sama lain. Anak muridku membacanya dengan merangkak-rangkak. Aku mengajarnya dari mengenal huruf. Kini ia boleh membaca, walaupun agak perlahan. Tetapi, bagiku ia adalah satu kemajuan.

Sedang aku mengajarnya, mataku tertumpu pada pintu surau. Seperti ada kelibat di belakang pintu. Aku mula mengesyaki sesuatu. Tiba-tiba, muncul sesusuk tubuh besar , bapa kepada anak muridku. Wajahnya mencuka. Masam. Dia tidak berganjak dari tempatnya.

Sementara aku, buat tidak tahu. Aku biarkan keadaan iti beberapa detik. Bila aku mengangkat wajahku. Aku lemparkan senyuman buatnya. Tetapi dia masih kaku. Aku cuba memerhatikan wajahnya dengan lebih dalam. Aku lihat, matanya berkaca-kaca. Hatiku tertanya-tanya. Adakah dia hendak menangis.

“ Assalamualaikum, pak cik. Apa yang saya boleh tolong? “ segera aku menyapa.

Anak muridku segera menoleh dan melihat bapanya.

“ ish… tak ada apa-apa Ustaz ! “ Kemudia dia segera beredar. Mungkin tidak mahu dilihat oleh anaknya, matanya berkaca-kaca itu.

“ Baik kamu balik sahaja. Entah apa yang ayah kamu mahukan ?” aku memerintahkan anak muridku bersegera pulang. Dan dia pun pulang.

Malam esoknya, anak muridku datang kembali. Kali ini, dia datang bersama ayahnya. Aku lihat ditangan ayahnya memikul 2 beg plastik yang dipenuhi dengan buah-buahan.

“ Ustaz, ambillah buah ni. Makanlah dengan anak-anak murid semuanya.” Pelawanya sambil tersenyu. Aku sekadar membalas senyumannya.

“ Terima kasih. Buat susah sahaja.”ujar aku.

Setelah bersalaman, kemudian ia terus pergi. Katanya mempunyai urusan.

“ Ustaz, kali ini saya boleh terus belajar dengan ustaz.” Anak muridku berkata.

“ Mengapa? “ aku terpinga.

“ Semalam ayah saya datang sebenarnya nak marah. Tapi, setelah dia mendengar ustaz mengajar saya di balik pintu. Dia sedar apa yang sebenarnya ustaz buat. “

Aku hanya mengulum senyum dan berbisik tahmid di dalam hati.

“ Walaupun orang kampung asyik memfitnah ustaz, ustaz tetap mengajarkami kebaikan.”

“ Terima kasih ustaz.”

Aduh! Berbunga-bunga hatiku mendengarnya.

Guruku ada berkata : Beza antara Nabi Muhammad dan Nabi Isa ialah, Nabi Isa jika ditampar dipipi kanannya. Maka beliau memberi pipi kirinya untuk ditampar. Nabi Muhammad, jika ditampar pipi kanan, diberi pipi kiri untuk ditampar dan diberi hadiah pula kepada penampar tersebut.

Alangkah indahnya akhlak ini! Alangkah indahnya sunnah ini, tetapi aku masih tidak mampu memilikinya. Ya Allah! Kurniakanlah akhlak ini kepada diriku. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan