Ahad, 8 Ogos 2010

Rindu qatayif



“ Ba’thini kilo ya ammi !” ( bagi aku sekilo, pakcik ! ) aku memohon.

“ Kilo bas ?” ( cukup sekilo ) tanya pak cik itu sambil tersenyum.

“ Yakfi “ ( sudah memadai ) balas aku mudah.

Qatayif. Kuih yang cukup sinonim ketika Ramadhan di dunia arab umumnya dan Jordan Khususnya. Diperbuat dari tepung yang dicampur air dan gula, persis membuat apam balik. Ya! Seperti apam balik. Tiada kurangnya dari segi rupa asal. Cuma saiznya sahaja kecil.

Qatayif juga dijual dengan hanya tepung yang dipanaskan. Tidak bersama inti. Berbeza dengan apam balik yang dipenuhi inti. Sebelum aku ke Jordan, apam balik belum lagi berevolusi. Namun kini, apam balik bukan sekadar berintikan jagung bahkan terdapat dalam beberapa perisa. Antaranya kacang merah, ais krim dan pelbagai lagi.

Qatayif pula enak dimakan dengan qisyhtah. Aduh, kecur bila terkenang-kenangkan makanan yang menjadi santapan ketika Ramadhan. Ada juga yang makan kosong begitu sahaja. Ia tidaklah terlalu manis seperti apam balik. Rasanya sekucup rasa. Memang sesuai dimakan oleh pelbagai usia.

Ramadhan dalam usia kami disana, masih belum banyak menerima pembaharuan makanan. Itulah yang kami makan saban tahun malah saban hari. Cuma qatayif menjadi istimewa dengan Ramadhan. Malah, idul fitri sendiri pun, juadah mereka tidaklah sehebat Malaysia. Kuih muih pun tidak beragam. Mungkin bentuknya terdiri 2 atau 3 jenis sahaja, tetapi rasanya tetap sama.

Cuma, mungkin sedikit berbeza dengan Malaysia ialah halawiyyat, atau dipanggil dengan manisannya. Ermm…manisannya sememang tidak tertanding dengan yang ada di Malaysia. Memang lebih enak dan berlemak jika dimakan. Dan manisnya…aduh sememangnya manis sekali. Jika di amalkan di Malaysia, akan naiklah peratus kadar orang kencing manis dan kes gula tiada dikedai meningkat.

Oleh kerana kejumudan mereka dalam perihal makanan, dan kekurangan bahan untuk mengadun makanan citarasa Malaysia, menjadikan kami pelajar Malaysia begitu kreatif dan berinovatif. Kami kaum pria yang tidak berbakat dengan sensitiviti makanan, mengambil inisiatif menjadikan qatayif itu sebagai karipap.

Intinya berintikan karipap yang tidaklah susah hendak dibuat. Sekadar memotong kentang dalam bentuk dadu dan masak kari sehingga kering, menjadikan inti qatayif rasanya bak karipap. Aduh! Sekali lagi qatayif telah membantu kami menghilangkan rindu dengan makanan Malaysia.

Tambahan pula qatayif itu, amat mudah untuk dilipat bersama isinya. Ada dalam kalangan kami yang menggoreng semula qatayif berinti karipap itu, untuk menjadikan aromanya seperti karipap. Aneh bukan. Tapi, itulah biah yang kami bina.

Kekreatifan kami bukan sekadar itu, bahkan kami gulung qatayif menjadikan ia kuih ketayap. Sekadar menjadikan intinya kelapa manis dan digulung. Ada juga yang menjadikan intinya kurma dan badam. Memang enak, Cuma agak manis. Jika rindu kepada popia, nah! Masukkan sahaja inti sayur yang segar-segar di dalamnya dan buatkan sos khas untuk popia. Tapi, itu tidak digalakkan. Rasanya memang tidak sedap. Qatayif sifatnya manis dan intinya berupa sayur-sayur yang berasa kelat atau tawar. Ermmm…entahlah! Mungkin ada yang rasa sedap.

Apa-apa pun qatayif itulah yang dijamah oleh setiap warga Malaysia yang menuntut ilmu diperantauan. Aku rindu benar pada qatayif. Pada baunya. Pada rasanya. Pada lembutnya. Pada kesusahan mendapatkannya. Jika terlewat, qatayif akan habis dari pasaran.

Berbondonglah manusia mendapatkan qatayif dengan kadar segera. Aku pula, pulang dari kuliah memang segera ke kedai-kedai roti. Disanalah qatayif dibuat. Disediakan dan dijual. Berhimpit-himpit dengan pak arab. Menahan bau tengik mereka, sekadar mendapatkan sekilo qatayif.

Apabila qatayif dibawa pulang dan dijadikan makanan seadanya. Bila hampir tiba, ia pun dihidangkan. Kami menunggu bersama sehingga tiba waktu maghrib. Kami memandang qatayif dan menganggap itu biasa. Kini, bila rindu berlabuh. Kenangan yang bertahun itu diungkit kembali bila tiba Ramadhan, menjadikan aku haus kepada kenangan itu. Kalau boleh, aku ingin sekali merenung qatayif. Saban tahun menikmatinya, kini sudah tiada. Rindu itu benar-benar meragutku.

Kenangan berbuka puasa.

Kali ini giliran zakuan pula menyediakan makanan berbuka puasa. Kami telah membuat jadual menggilirkan tugas untuk menyediakan makanan untuk berbuka. Bukannya perkara baru pun, kerana setiap hari walaupun bukan bulan Ramadhan kami tetap akan bergilir untuk memasak.

Kerja memasak sudah tentu berat buat kami yang bergelar sanfour. Kali pertama memasak, aku sanggup menelefon ibuku di Malaysia untuk mengetahui cara memasak sup. Hampir sebulan resepi kami ialah sup. Kami masih bertahan. Tetapi sudah beberapa bulan ini, menjadikan kami banyak belajar dan bertanya tentang resipi yang lain untuk dipelbagaikan. Namun, sup tetap menjadi pilihan, kerana ia begitu mudah untuk disediakan.

Zakuan masih di dapur. Aku sekadar menjenguk beberapa ketika membiarkan dia mengambil feel untuk memasak. Kemudian membuat kerja masing-masing. Ramadhan sewaktu aku diJordan masih dalam musim sejuk. Aku bersyukur sangat menghadapinya dalam musim sejuk. Tidaklah siang menjadi terlalu lama. Aku cuba bayangkan jika aku berpuasa dalam musim panas. Tentu terlalu banyak mehnahnya.

“ Waktu berbuka dah dekat ni! “ Jerit zakuan.

Kami semua keluar dari bilik masing-masing dan membantu menyiapkan apa yang patut. Ada yang mengangkat nasi, sup, qatayif dan macam-macam lagi. Kemudian kami duduk membulat mengadap makanan. Zakuan masih di dapur. Aku mengisi nasi di dalam pinggan. Kemudian, aku cuba untuk menggaul sup. Entah kenapa supnya keras sahaja. Aku cuba sekali lagi. Ya! Aku pasti, ia keras.

“ Zakuan! Kau masak apa ni?” soal aku.

“ Masak sup la!” teriak zakuan.

“ Kenapa keras ni. Apa yang kau masukkan dalam sup?”

“ Aku masukkan suun dalam sup tu”

“ Mana kau dapat suun?

“ Entah, aku dapat dekat dapur ni.”

“ Ada suun ke dekat dapur tu. Setahu aku tak ada. Tak ada siapa yang bawa dari Malaysia.”

“ Ye ke” zakuan mempersoalkannya kembali.

Kemudian kedengaran zakuan ketawa terbahak-bahak. Aku segera ke dapur.

“ Kenapa ? “ aku menyoal.

“ Aku ingatkan suun rupanya agar-agar! “

Kami serumah ketawa terbahak-bahak. Kali pertama aku menikmati sup agar-agar di Jordan dan sampai sekarang tiada siapa yang ingin menjadikannya resepi. Nak tak nak terpaksalah kami menghirupnya dan menikmati sup ayam agar-agar.

Ramadhan itu, aku kenang sampai sekarang. Ia membuatkan aku sering tersenyum. Aku benar-benar terlalu rindukan kenangan itu. Rindukan juga Ramadhan itu. Rindukan pada qatayif. Qatayif menyatukan kami. Menyatukan kenangan kami. Menyatukan perasaan kami. Ia akan terus membeku dalam lipatan ingatan kami. Allah! Kekalkanlah ia disitu.

Ahli rumah bait wizarah! Kamu makan apa, Ramadhan ini. Jika ada qatayif, jemput aku sekali!

1 ulasan:

  1. salam,

    wah, kau masih ingat lagi ya! itu baru sedikit kenangan di darul wizarah yang sekangkang kera. Belum cerita bagaimana boleh hitam dinding dan siling dapur, belum lagi cerita rumah di tingkat satu yang banjir di musim sejuk, belum lagi kisah projek menyemai benih tembikai di bilik Ijai! dan masih ingat tak rumah kita kena potong letrik gara2 pekedai runcit bawah rumah kita (tak ingat namanya) yang tak bayar bil api!? TNB Jordan tu potong litar letrik, saja je depan mata aku. haha..
    Mana dia Abg Rosdi 1972 ni yaa?

    BalasPadam