Isnin, 16 Ogos 2010

Tariqat dari kaca mata orang kampungku….



Restoran kelantan sudah bertukar tangan. Sebelum ini ia diuruskan oleh orang kelantan. Sekarang entah siapa pula yang mengurusnya. Kedai itu sering bertukar milik. Tetapi namanya masih kekal.

Kelihatan beberapa orang perempuan keluar masuk di dalam kedai. Mungkin kali ini, wanita pula yang menguasai ruang kedai tersebut. Patutlah semenjak dua menjak ini, agak ramai kaum adam bersinggah sana disana. Rupanya sudah ada penyeri.

Aku memberhentikan keretaku dibelakang kedai Kelantan. Tempat biasa aku mempakir kereta. Pelanggan kedai masih tidak ramai petang itu. Mungkin sekejap lagi , kedai ini akan dibanjiri. Aku segera mendapatkan pekerja kedai. Kelaparan sudah membelengguku.

“ Akak, bagi saya nasi goreng kampung satu ya! “ aku meminta.

“ Tunggu kejap ya dik” pohonnya.

Aku sekadar berdiri. Mungkin aku sangka tidak lama. Lagi pun pelanggan tidak ramai petang itu.

“ Ustaz ! Marilah duduk dulu “ sahut satu suara dari arah belakangku.

Aku menoleh. Aku kenal orang yang memanggilku. Ada dua orang tua yang sedang ngeteh memandang kepadaku. Salah seorangnya tersenyum kepadaku.

“ Marilah duduk dulu ustaz. Nak cepat ke mana? “ dia mencadang kepadaku.

Untuk menjaga hati orang kampung, aku pun bergerak dan duduk semeja dengan mereka. Sambil berbual kosong tentang kampung, aku memesan milo ais. Kecur jugak tekakku bila melihat mereka meneguk air teh.

“ Ustaz, saya tahu tariqat ustaz apa! “sapa salah seorang dari mereka.
Kenyataan itu cukup mengujakan aku. Aku pernah berbicara dengan beberapa orang kampung mengenai isu kerohanian. Namun, kesemuanya menghampakan aku. Banyak yang berselindung dibalik nama tariqat, tetapi sebenarnya bathiniyyah. Menyesatkan.

“ Ustaz akan menjadi orang besar nanti “

Itu memang menakjubkan aku. Aku membalasnya dengan tersengih.

“ Betul ke? “ aku sekadar berbasi-basi.

“ Kenennya tariqat ustaz ni, tariqat orang besar-besar “

Aku menggelengkan kepalaku tanda tidak faham.

“ Ustaz boleh dapatkan dia. Tapi kalau dia bagi, ustaz jangan toleh-toleh lagi. Ustaz ambil saja! “ tegasnya.

Arghhhh…aku bertambah keliru. Tapi aku tidak menyoal. Aku hanya mendengar sahaja apa yang cuba disampaikan. Belum masanya untuk aku masuk campur dalam kata-kata, kerana kata-kata mereka mengelirukan.

Kedua-dua mereka tersengih sesama sendiri.

“ kenennya Ustaz, ustaz kena puasa selama 7 hari berturut-turut. Barulah ustaz boleh keluarkan “ katanya lagi.

Aduh …keluarkan apa ? Aku betul-betul curiga.

“ Keluarkan apa ya ? “ aku mula berkata-kata apabila aku sudah tidak faham lagi.

“ Saya tahu kenennya tariqat ustaz. Tariqat ustaz boleh keluarkan emas dari tanah.” Ujarnya.

Aku sudah tersengih dengan jawapan gila itu.

“ Ish…gila!” aku tempelak di dalam hati.

“ Kalau aku dapat keluarkan emas, tak perlulah aku berkerja dengan kerajaan sebagai seorang ustaz. Lebih baik aku goyang kaki dekat rumah sahaja.” Bisik hatiku.

Apakah yang mereka fikirkan tentang tariqat. Inilah tariqat kedai kopi dan tariqat orang kampung. Jawapan itu sungguh berat padaku. Bukan berat kerana hendak mengeluarkan emas, tetapi untuk mencerahkan semula pengertian tariqah kembali kepada landasan yang betul.

--------------

Malam ini aku akan berqasidah dirumah anak muridku. Tutik sudah lama menetapkan tarikh. Kami semua berbondong pergi ke rumah tutik. Malam itu agak ramai yang menyertai qasidah. Lantunan irama ketuhanan menerkam jiwa-jiwa, merentap ke sanubari. Selawat-selawat dibaca. Kalimah thoyyibah berdendangan.

Rumah tutik yang baru diubah suai, menjadikan ruang tamunya agak besar. Dalam lingkungan majlis, ruang itu masih kelihatan sempit dek kerana ramai yang menghadirinya. Malah qasidah malam itu bukan hanya dihadiri oleh ikhwan husna, namun akhawat husna juga turut serta. Majlis menjadi lebih meriah apabila ikhwan naqsyabndiyyah turut hadir dari Johor Bahru.

Malam itu menjadikan malam yang cukup sempurna. Gawat dan meriah. Penduduk kampung pula berkumpul keliling mendengar gabungan pelbagai irama malam itu. Kemeriahannya cukup terasa. Bagi aku pula, ia menghentam lubuk hati bagi mencapai sebuah rasa.

Usai berqasidah, masing-masing mendapat tempat untuk menikmati juadah yang disediakan untuk ahli kampung yang merewang. Ada beberapa hidangan yang disediakan. Bagi mereka yang belum menjamu makan malam, disediakan hidangan nasi. Bagi mereka yang ingin makan berbentuk supper, ada mihon sup disediakan. Kami semua menikmatinya dengan enak sekali.

Sedang aku berbual- bual selepas makan di khemah yang disediakan, datang seseorang yang aku kenal namanya. Tetapi aku tidak pernah berbual dengannya. Dia duduk disebelah aku. Kemudian aku tersenyum dan menyapanya membuang segala prasangka.

Dia dikenali sebagi seorang bomoh di Tenggaroh. Boleh tahan jugalah kemahsyurannya. Ramai orang luar yang datang berubat dengan dia. Namun, aku sedikit pun tidak berminat dengan hal seperti itu.

Pada mulanya perbualan kami agak baik. Bersangkutan hal-hal agama. Tetapi, sedikit demi sedikit ia mula terpesong dan memesongkan. Aku sendiri menjadi keliru dan tak faham. Kadang-kadang seperti mendengar bahan lelucon pula. Menggelikan hati. Kerana menjaga maruah dan air muka orang itu, aku menahan ketawaku.

“ Saya ni ustaz, keturunan Sultan-sultan. Saya berdarah raja. Saya keturunan Raja Melewar. Itu sebab ramai keturunan dan kerabat diraja menziarahi saya.”
“ Saya juga keturunan Sultan Johor. Kalau ikut pangkat keluarga saya lebih tinggi daripada Sultan Johor sendiri.”

Aku terkedu. Hanya sekadar mengulum senyum. Aku lihat anak muridku, seoarang demi seorang pergi meninggalkan aku sendiri dalam perbualan tersebut. Adakalanya aku ingin keluar dari jerat perbualan tersebut. Sering aku tidak menemui jalan keluarnya. Dia asyik bercakap sehingga tidak mampu aku mencelah. Aku hanya menambah senyumku. Lucu.

Cerita mengenai keturunannya sahaja cukup membinggungkan. Aku pula hilang tumpuan dalam perbualan tersebut. Apa yang aku fikirkan bagaimana aku boleh terjebak dalam perbualan pesong ini.

Kemudian daripada bercerita tentang susur galur keluarganya, beralih kepada cerita tanggung jawabnya.

“ Tanggungjawab saya ini berat. Saya tahu, ustaz mesti tahu tentang tugas saya ini “

Ingin sahaja aku menidakkan.

“ Saya ditugaskan untuk menjaga 3 negara. Negara Malaysia, cina dan Rusia. “

“ Cuba ustaz fikirkan, kalau tak kerana saya bersusah payah tahun 1998 tu, nescaya kita lagi gawat. Sayalah yang kawal duit ringgit Malaysia supaya tak jatuh.”

“ Kalau tak ada saya, pasti duit ringgit jatuh teruk “

“ Gila “ getus hatiku.

“ Saya juga menjaga segitiga bermuda. Jin-jin dekat situ semuanya dibawah seliaan saya.”

“ Berat tugas ini, ustaz. Saya terpaksa menerimanya.”

“ Pernah orang-orang bugis dari Indonesia datang jemput saya pulang ke tanah asal saya. Mereka nak nobatkan saya menjadi pewaris keturunan bugis disana. Tapi, saya tolak. Saya diarah menjaga negara Malaysia. “

“ Saya juga ustaz, sudah berkahwin sebanyak 3 kali. 1 perkahwinan dengan manusia dan 2 lagi dengan puteri bunian.”

“ Dengan puteri bunian itu, saya dah dapat anak. Tapi seorang dah mati. Saya dah kebumikan dia dalam kebun. Anak-anak murid ustaz mesti tahu dalam kebun saya ada kubur. Hah! Itu kubur anak dari puteri bunianlah tu.”

“ Kalau kahwin dengan bunian ni, dia tak sama dengan perkahwinan biasa dengan manusia. Sentuhan dengan dia orang aje sudah boleh berjimak ustaz!.”

“ Memang sah gila “ Hatiku bergetus lagi.

Kemudian beralih kepada topik hantu disekolah. Pernah sebelum aku tiba di Tenggaroh, sekolah tempat aku berkhidmat pernah diserang jin selama seminggu. Ramai bomoh yang datang membantu, tidak ketinggalan juga dia.

“ Sekolah tu keras, ustaz. Kalau tak saya datang bantu, hantu tu tidak mahu keluar.”

“ Ada beribu-ribu jin dekat situ. Saya nampak dengan mata saya sendiri.”

“ Saya dah halau semuanya dah! “

“ Aduh “ aku hanya mampu mengaduh sahaja di dalam hati. Gusar sungguh aku melihat situasi ini. Sebelum dia bercerita dengan aku, pernah rakan sejawat aku menceritakan kisah itu. Malah menurut rakan aku, apa yang diceritakannya lebih teruk lagi. Katanya dia boleh melihat rahmat Allah turun dari langit. Bila seorang ustaz sebelum aku menyangkal dakwaan itu. Dia mengatakan ustaz tu tak banyak belajar. Tak ada ilmu.

“ Saya tahu ustaz ada amalan ustaz sendiri.”

“ Ustaz sendiri ada tugas yang diberikan. Dan saya ada tugas yang saya pikul.”

“ Ustaz ada tariqat ustaz, dan saya ada tariqat saya. Kita kena jaga diri masing-masing”

Hah, aku sudah dapat meng-agak definisi tariqat yang dia jelaskan. Ini jelas bukannya tariqat, tetapi batiniyyah. Berselindung disebalik nama tariqat untuk membenarkan ajaran dan amalannya boleh diterima pakai. Orang seperti inilah yang menjadikan istilah tariqat menjadi satu kebobrokan. Satu nista. Pemfitnahan ini mesti dihentikan.

Kemudian, dia beralih dengan mengajar kepadaku segala amalannya. Kalau nak hujan berhenti, begini ayatnya. Kalau nak halang binatang buas, begini ayatnya. Ayat-ayat suci al Quran bercampur-campur dengan mentera. Kadang-kadang aku menyindirnya, tetapi dia buat macam tak tahu.

“ Dari mana ustaz dapat tongkat ini? “ dia menyoal setelah melihat aku memegang tongkatku. Sebenarnya aku sudah teringin untuk beredar.

“ Yang ini anak murid saya bagi “ aku menjawab pendek.

“ Ustaz dah dapatkan tongkat buluh tu?” soalnya lagi.

Aku menunjukkan wajah mukaku yang keliru.

“ Ustaz dah dapat tongkat buluh tu kan. Saya tahu.”

“ Ermmm…saya memang ada banyak tongkat. Tapi saya tak ada tongkat buluh.”

“ Saya tak tahu dan saya tak pernah dapat dari sesiapa pun.” Aku sudah berani menjawab.

“ Ustaz dah dapat, saya tahu. Ustaz akan dapat lagi pemberian dari dia. Sejadah yang berwarna hijau. “

“ Perempuan yang akan berikan itu pada ustaz. Nama dia Siti Zubaidah.”

“ Ya, pendamping ustaz ialah seorang perempuan.”

Aku menambahkan lagi sengihku. Jika lama aku berborak dengan dia, bukannya aku bertambah “ respect” , malah sudah tentu aku boleh jadi gila.

Pendamping?!! Perempuan?!! Aku belum beristeri lagi. Siti Zubaidah?!! Siapakah dia? Aku mula resah. Memikir jalan untuk keluar dari perbualan gila ini. Berkali-kali aku cuba untuk bangun. Mungkin dia pun sudah faham maksud aku dari tindak tandukku.

“ Ermmm….baiklah ustaz, saya pun ada kerja ni. Ustaz baliklah. Ada orang nak jumpa ustaz! “ dia menganjurkan kepada aku. Peluang yang sememangnya aku tunggu-tunggu.

“ Eh! Ya ke? Macam mana tahu?

“ Ermm…ada orang dah tunggu ustaz dekat rumah tu.” Tegasnya

“ Ustaz, maaf menganggu. Ada orang nak jumpa ustaz. Dia dah lama tunggu dekat rumah “ anak muridku tiba-tiba menerpa ke arah aku.

Aku terpaku. Betul pula kata dia itu.

“ Hah! Kan saya dah cakap ustaz! “ dia bertempik kuat sambil mengetuk meja. Malah ketawa terkekah-kekeh seperti menang besar percaturan denganku.

Aku segera menatap wajah anak muridku. Dia pun terpinga. Mungkin terkejut dengan tindakan dia atau situasi itu.

“ Baiklah. Saya gerak dulu” aku bersegera keluar dengan bersalaman dengannya.

Anak muridku membonceng aku dengan menaiki motornya. Jeda. Aku masih terkesima. Tiada perbualan sepanjang perjalanan pulang sehingga aku tiba diperkarangan rumah.

“ Eh, Padil siapa yang nak jumpa ustaz?” aku bertanya.

“ Mana ada siapa ustaz” jelasnya.

“ Habis tu…?” aku bertambah hairan.

“ Dah tu, ustaz lama betul berbual dengan orang tua tu. Kami pun dah malas tunggu. Saya pun ciptalah alasan ada orang datang nak jumpa ustaz, supaya ustaz dapat balik”

“ Hahhaa…” aku ketawa. Aku mula bercerita kepada anak muridku kejadian yang menimpa diriku. Kemudian kami semua ketawa dari lawak manis yang dicipta oleh dia. Dari orang yang mengaku beramal dengan amalan tariqat. Tetapi ternyata menyimpang. Dia menipu dirinya, masyarakatnya, agamanya, malah Allah pun cuba ditipu. Tapi dia terlupa bahawa Allah juga menipu dirinya. Firman Allah bermaksud : (( Sesiapa yang memainkan Allah, maka Allah mainkan ( tipu ) hati mereka …)

……………

Tuan guruku berkata :

“ Shuhrur Rijal ! Tariqat itu bukanlah bermaksud engkau boleh berjalan di atas udara. Bukanlah engkau berjalan di atas air. Tetapi tariqat itu, ialah engkau berasa tidak mempunyai apa-apa. Engkau hanya memiliki kehinaan dan perasaan hamba.”

“ Bagaimana aku tahu, yang aku sudah mencapai maqam yang tinggi di dalam tariqat, sayyidi ?” aku mencelah.

“ Penghujung kepada tariqat kita ialah kesempurnaan dalam akhlak dan kemanisan dalam beribadah. Sehingga engkau merasai kehadiran tuhanmu dan tuhanku dalam setiap perbuatan. Sama ada Dia melihatmu, atau engkau melihatNya “

“ Kemuncak dalam jalan kita ialah musyahadah”

Tuan guruku juga ada berkata :

“ Shuhrur Rijal ! Dahulu tariqat itu wujud realitinya tanpa nama. Sekarang wujudnya dengan nama tanpa realiti.”

“ Engkau hadam dan lumatkanlah kitab “ Haqaiq al Tasauf “ yang aku berikan kepadamu.”

Aku mendapat ijazah haqaiq tasauf secara munawalah dari guruku.

Sekarang ialah masa untuk membenteras bathiniyyah. Mereka sudah lama bersarang disebalik tasauf dan tariqat. Hapuskan pegangan mereka dan konco-konconya. Masa untuk pencerahan!

1 ulasan:

  1. saya dulu pun,bila sebut tariqat saja,terus fikir karamah...haha...ini semua sebab duduk besembang dengan orang tua2 kg yg bukan ahlinya..
    tp sekarang ni Alhamdulillah...bila dah dtg ke luar negara ni barulah terbuka sedikit mata dan minda dengan izin-Nya..tp masih bnyak yg saya jahil..

    apa pun,memang betul..pemikiran yg tersalah oleh org kita terhadap tariqat dan tasawuf perlu diperbetulkan...

    BalasPadam