Khamis, 5 Ogos 2010

Zawiyah vs Madrasah




“ Arif! Enta hati-hati bila bercakap dengan orang rumah ana! “ Habib berseloroh.

“ Kenapa bib ? “ Arif bertanya.

“ Enta sebut zawiyah, zawiyah. Isteri ana tanya siapa zawiyah tu. “
beritahu Habib sambil tersenyum.

Aku Cuma tersengih memerhati gelagat Habib Husein al Attas berjenaka apabila sidi Arif mengajak beliau ke Zawiyah untuk menghadiri majlis.

…………………….

“ Sayyidi! Aku akan binakan sebuah sekolah untuk engkau di Malaysia, bila aku kembali nanti.” Ujar aku kepada Tuan Guruku Sayyid Hasan bin Ali al saqqaf.

Beliau hanya tersenyum. Tanda menyokong. Dua kali aku lemparkan cadangan kepadanya untuk membina madrasah yang akan menjunjung manhaj beliau dalam memperkasa generasi Islam dengan Islam melalui medium ilmu.

Dua kali itulah, beliau hanya tersenyum.

“ Mereka akan belajar disekolah itu, dan aku akan menghantarkan pelajar-pelajar lulusanku untuk menyambung pelajaran denganmu “

“ Biar mereka menjadi alim sepertimu “ tambah aku lagi.

Sekembalinya aku ke tanah air. Cita-citaku berkobar-kobar. Api keazamanku masih belum padam. Namun, aku perlu meraikan beberapa perkara yang menghalang kemenjadian madrasah yang aku cita-citakan.

Namun, fenomena ruang islami yang terbentuk dalam masyarakat kini, membangkit keghairahanku untuk terus berjuang membina madrasah.

Aku akui kelemahan para ulamak di Malaysia ini khususnya tanah semenanjung, yang kita amat lemah dalam penguasaan ilmu hadis. Bukan tiada tetapi amat kurang. Bahkan pengajian tentang periwayatan hadis, riwayah, dirayah dan rijalnya amat sekali kurang.

Pengkaderan yang dilakukan oleh ulamak terdahulu dalam menjana sistem madrasah lebih tertumpu kepada pengamalan dan penguasaan ilmu feqh tetapi tidak kepada hadis. Jesteru, kemunculan semula para kaum muda dengan versi terbaru yang lebih suka mengwar-warkan ilmu hadis menjebak ulamak kita kepada kancah yang lebih sulit.

Apabila kelihatan kita tidak mampu mempertahankan institusi kita dari serangan golongan reformis ini dengan ketajaman tulisan mereka dibalik-balik hadis rasul telah melumpuhkan sistem kepercayaan umat kepada sistem tradisi.

Jika kita menyorot kembali sejarah, peranan golongan reformis yang berlabel dan berjenama pelbagai ini, sebenarnya telah wujud lama lagi. Yang paling eksterm mereka digelar golongan hanabilah.

Berapa ramai ulamak yang beraliran ahli sunnah wal jamaah dengan erti kata kesepakatan ulamak iaitu golongan asyairah dan maturidiah yang dihalau dan dibuang dalam sistem pemerkasaan ilmu. Contohnya seperti Imam al Ghazali.

Namun, serangan hanabilah itu tidak langsung boleh merobohkan keutuhan institusi Ahli Sunnah wal Jamaah kerana wujudnya ulamak-ulamak muhaddisin yang pakar hadis dan ilmunya yang mempertahankan Islam dari serangan hanabilah.Contohnya seperti Ibnu Salah, Ibn Hajar, Imam al Nawawi, Imam al Suyuti dan ramai lagi.

Tetapi, kemerosotan bilangan para muhaddisin dan kemunduran ulamak menguasai bidang ini, khususnya di Malaysia telah membejat gejala penerokaan golongan reformis kerana kerapuhan ulamak kita dalam mempertahankan konsep dan ilmu hadis itu sendiri.

Jesteru, pembinaan madrasah ke arah penguasaan ilmu hadis perlulah dimulai. Jika kita memandang enteng maka dalam tempoh kurang 20 tahun, negara kita akan menjadi negara wahabi. Kita perlu bertindak. Kalau tidak mampu mewujudkan madrasah, bantulah dari sudut yang kita mampu seperti kewangan dan sebagainya.

Kita mesti bertindak!.





………

Zawiyah bermaksud sudut. Sudut ini bermaksud sudut-sudut tepi di dalam masjid yang digunakan oleh ahli sufi untuk bertawajuh dan beribadah khususnya bersujud kepada Allah. Kebiasaannya mereka akan menetap disudut itu dalam tempoh yang lama. Sehinggakan kadang-kadang sudut itu diberi nama sempena nama mereka itu.

Perkembangan maksud zawiyah itu sentiasa berlaku dengan kemajuan dan perubahan semasa. Zawiyah yang berasal dari sudut itu akhirnya digunakan untuk tempat perkumpulanan orang sufi untuk berzikir dan beribadah kepada Allah. Sama ada ruangnya kecil atau besar.

Penggunaan nama zawiyah digunakan oleh masyarakat timur arab. Tetapi, bagi masyarakat barat arab menggunakan nama ribat atau rabat. Kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.

Nama ibu negara moroko ialah rabat yang di ambil bersempena dengan sudut-sudut itu. Asalnya semua orang sufi membuat tempat beribadah mereka masing-masing. Maka berhimpunlah sebanyak-banyaknya golongan sufi sehingga dapat menarik ramai orang.

Bila ramai orang berada disana, maka hajat juga banyak. Ramai orang mendapat manafaat dari kewujudan rabat ini seperti membuka gerai, warung, kedai-kedai menjual barangan keperluan harian dan juga makanan. Akhirnya majulah rabat dan diisyhtiharkan sebagai ibu negara Moroko.

Tetapi, istilah zawiyah, jarang sekali diguna pakai dalam masyarakat kita. Sehinga timbullah beberapa salah faham terhadap zawiyah. Semasa kecil dahulu, ayah aku sering menunjukkan kepada aku surau-surau kecil milik orang perseorangan atau orang-orang sufi. Termasuk jugalah datukku memiliki surau itu. Mereka menamakannya musolla, surau, belasoh, madrasah dan pelbagainya lagi tetapi tidak digunakan istilah zawiyah. Jesteru, kecillah skop penggunaannya melainkan hanya terdapat pada nama orang.

Bagi tariqah kami, amat jarang kami menggunakan nama zawiyah, kerana dasar tariqah kami ialah ilmu. Setiap mursyid mestilah dia menguasai ilmu alat dan ilmu-ilmu usul. Setengah dari masyayikh kami meletakkan mursyid mestilah seorang ulamak.

Oleh kerana itu, yang digalakkan oleh masyayikh kami ialah membina madrasah dan bukannya zawiyah. Kalau diguna pun nama zawiyah fungsinya tetap seperti madrasah. Didalamnya bukan sekadar pengisian zikir, bahkan pengajian ulum syariah islamiah, seperti di Zawiyah Siddiqiyyah, Tonjah yang dipimpini oleh sadah al Ghumariah. Pengajian hadis seperti pengajian kitab-kitab sunan diajarkan disana.

Zikir hanya salah satu elemen yang mendasari madrasah. Tetapi, ia bukanlah perkara pertama yang menjadi prioriti madrasah, berbeza dengan zawiyah. Para murid mestilah memahaminya dengan jelas. Terkadang madrasah juga adalah zawiyah apabila salah satu sudut atau bangunan di dalam madrasah, dijadikan zawiyah. Maka fungsinya menjadi lebih besar.

Fungsi Zawiyah


Muridku, yang telah dipilih oleh tuan guru kita untuk memimpin zawiyah dan madrasah. Kalian mestilah kukuh dengan kefahaman fungsi jelas zawiyah sufiyyah. Janganlah kalian menyempitkan fungsinya sehingga ia telah mengecilkan skop dakwah dan tujuan ia berdiri. Senarai fungsi zawiyah ialah seperti berikut :

1. Zawiyah adalah madrasah.

Zawiyah kita bukan hanya sekadar berfungsi sekali dalam seminggu sahaja. Iaitu untuk majlis zikir sahaja, bahkan ia mestilah berfungsi secara harian. Setiap hari kelas pengajian mesti dilaksanakan. Pengajian mestilah meliputi 3 perkara asas agama kita iaiti akidah atau tauhid, ibadat dan tariqat.Sebelum pengajian bermula, maka disinilah peranan zawiyah dengan memuatkan zikir-zikir dan hizb-hizb.

Selain dari itu, kehadiran para syuyukh al kiram mengunjungi ke setiap zawiyah sama ada dari sadat al syaziliyyah atau pun ikhwan yang lain akan turut memberkati zawiyah. Keberkatan itu, dipanjangkan kepada muridin dengan mengadakan ceramah dan majlis-majlis ilmu. Maka, para pemimpin zawiyah, silalah mengadakan majlis ilmu tersebut dengan baik. Itulah tuntutan zawiyah sebagai madrasah.

2. Zawiyah ialah pusat perlindungan

Tuan guru kita telah berpesan kepada kita agar menjaga 3 golongan. Golongan tersebut ialah anak yatim, orang tua dan golongan mustada’fin. Jesteru , kita hendaklah menyediakan tempat untuk 3 golongan ini jika mereka menuntut perlindungan daripada zawiyah.

Berilah mereka tinggal di zawiyah. Berikanlah mereka makan. Dan ajaklah mereka mengikuti kelas pengajian dan majlis-majlis zikir. Berikanlah kepada mereka ketenangan. Janganlah menambahkan kekusutan dan kerumitan kepada mereka. Bantulah mereka dengan sewajarnya.

Namun, usaha zawiyah bukan setakat itu sahaja. Bagi golongan remaja, zawiyah juga turut berperanan. Sekarang banyak remaja yang bermasalah. Masalah dengan keluarga mereka dan masyarakat sekeliling mereka. Berikanlah bantuan dan perlindungan, kerana zawiyah ialah tempat perlindungan bagi mereka yang memerlukan. Dan layanlah mereka dengan sebaik mungkin kerana itu merupakan dakwah yang terbaik.

Selain itu, berikalah perlindungan kepada golongan muaalaf yang menghadapi cabaran dalam kehidupan mereka. Berikanlah bantuan tempat tinggal, makanan dan apa sahaja demi untuk perlindungan mereka. Zawiyah ialah tempat yang paling aman dan yang paling selamat. Memberi ketenangan yang bersumberkan ketuhanan dan paling mementingkan kemanusiaan.

3. Zawiyah ialah tempat bersosial

Jadikanlah zawiyah tempat bersosial. Tempat mereka menjalin tali silaturrahim yang syarie’. Jika perlu, rancanglah aktiviti yang berkaitan, yang sesuai dengan pelbagai genre agar boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat dalam memaksimumkan penggunaan zawiyah. Contohnya seperti menyediakan gelanggang futsal untuk golongan muda, kelas menjahit dan memasak untuk kaum ibu, kelas pengajian untuk kaum bapa dan lain-lain lagi.

4. Zawiyah ialah tempat beribadah

Tujuan utama penubuhan zawiyah ialah untuk beribadah kepada Allah. Pastikan zawiyah berfungsi dengan baik sebagai tempat beribadah. Sediakan ruang untuk orang berzikir, bersolat dan pelbagai lagi. Jesteru ia menjadi tempat beribadah, maka pastikanlah suasana beribadah itu mendorong untuk beribadah. Janganlah ada yang membuang bising dengan berbual dengan kuat dan sebagainya.

5. Zawiyah ialah tempat mencari ketenangan


Kebersihan adalah daya tarikan utama untuk membantu seseorang menjiwai ketenangan. Pastikanlah zawiyah sentiasa bersih dan barang-barangnya tersusun. Landskap juga perlu dijaga kerana ia juga turut menyumbang kepada jiwa yang tenang. Kekotoran luaran ialah mengambarkan kekotoran hati. Hairan, apabila kuil-kuil dan tempat-tempat ibadat berhala lebih bersih dan berlanskap yang baik berbanding masjid. Sedangkan kebersihan keindahan itu adalah anjuran Islam.

6. Zawiyah ialah pusat dakwah

Zawiyah ialah tempat orang tertarik kepada Islam. Tempat orang mendekati Allah. Tempat orang akan memahami keindahan Islam. Jadikanlah zawiyah tempat di mana, orang Islam akan sentiasa mengunjunginya dan orang bukan Islam akan suka kepadanya. Antara bentuk dakwah yang terdapat pada zawiyah ialah sebagai pusat ilmu dan kefahaman, perlindungan kepada yang lemah sebagai simbol Islam itu aman dan berbudi pekerti, Kebersihan sebagai keindahan dan keseluruhan aktiviti menonjolkan sifat keislaman.

Semua ahli sewajarnya berjiwa pendakwah untuk memastikan Islam menempati hati orang bukan Islam. Hal ialah dakwah yang paling berkesan.

-------------------




Sudah seminggu aku berulang alik dari Tenggaroh ke Kangkar Tebrau, Johor. Zawiyah Syaziliyyah yang baru ini mestilah disiapkan sebelum Ramadhan, kerana dalam perancangan kami, kami akan mengihyakannya. Jika ia belum dilunaskan dengan segera maka, terbantutlah harapan kami untuk meraih keberkatan dan kerahmatan Ramadhan di Zawiyah Syaziliyyah yang baru ini.

Banyak kerja yang perlu dibuat di sana. Oleh kerana rumah yang diwaqafkan oleh keluarga Ustaz Shahrol Fadli ( moga Allah mengkuduskan rahsianya )itu sudah lama terbiar sejak kewafatan datuk beliau. Ditambah pula, banyak ruang yang ditinggalkan sejak banjir besar dahulu, meninggalkan sisa-sisa lumpur yang memenuhi ruang bawah. Pekat. Mengambil masa yang cukup banyak.

Banyak juga kerosakan yang perlu dibaiki. Wayeringnya cukup membahayakan. Banyak juga tenaga yang perlu dikerahkan. Banyak juga wang yang perlu dilaburkan. Perjalanan dalam tempoh seminggu yang lalu sahaja, menongkah ke aras RM 500.itu belum julah wang dikeluarkan untuk membeli cat dan alat-alat pembaikian yang lain. Aduh! Jumlah itu cukup banyak buat kami.

Kami cukup memerlukan belanja yang besar. Banyak barang –barang yang perlu untuk menjadikan ia sebuah zawiyah. Keperluan kami adalah seperti berikut :

1. Karpet RM 1000
2. Langsir RM1000
3. Aircond RM 1500
4. Peti sejuk RM 700
5. Wayering RM 1000
6. Lampu RM 500
7. Simen RM 400
8. Cat RM 400
9. Rak buku RM 500
10. Landskap RM 500

JUMLAH RM 7500

Bukankah ini satu jumlah yang besar. Tambahan pula, jumlah yang sama diperlukan untuk membuat zawiyah yang baru di Pasir Gudang dan juga Shah Alam. Perjuangan ini memang meragut pengorbanan jiwa yang besar. Menundukkan nafsu dan berjuang untuk menginfaqkan harta, jiwa dan raga demi sebuah kelestarian dakwah dalam menjana keilmuan dan keufukan akhlak seperti baginda.

Wahai Yang Kaya, bantulah!
…………………………

Nama

Nama ialah sunnah. Sunnah Allah, nabi dan alam. Nama bagi zawiyah bukanlah sebuah pilihan, tetapi ia adalah kurniaan. Pilihan nama ditentukan oleh syaikh kami. Jesteru, sepakatlah pada nama yang diberi.

1. Tenggaroh

Nama zawiyah : Rauhatul Qulub
Nama Madrasah : al Madrasah al Islamiyyah al Hasaniyyah

2. Johor Bahru

Nama zawiyah : Raudah
Nama madrasah : Madrasah Ibn Masisyh

3. Pasir Gudang

Nama zawiyah : Darus salam
Nama madrasah : Madrasah Ibn Jazuli

4. Shah Alam

Nama zawiyah : Babus salam
Nama madrasah : Madrasah Abul Hasan

--------------------

Adab-adab berzawiyah

Rasul telah bersabda : (( Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak )).

Rentetan dari sabdaan nabi, para salik dan ahlit tariq mestilah mendepankan akhlak dan adab dalam setiap masa. Terlebih aula pada zawiyah mereka. Antara adab berzawiyah ialah :

1. Menjaga kebersihan


Kebersihan adalah perkara pokok dalam zawiyah. Jika zawiyah itu kotor maka ia mengambarkan hati ahlinya yang kotor. Jika kita mendapatkan ketenangan di zawiyah kerana bersih, suasana yang menyejukkan mata, jesteru lebih cepat untuk mewusulkan diri kita kepada Allah.

Tambahan pula, kebersihan itu berkait rapat dengan iman. Dan iman itu berkait juga dengan ibadah. Janganlah kita merosakkan ibadah dan iman dengan hati dan suasana yang kotor. Bersihkanlah luaran kamu dan kamu dapati kesucian hati kamu.

Janganlah merasa malas untuk memastikan kebersihan zawiyah sentiasa terjaga. Jika perlu menyapunya setiap hari, sapulah demi iman. Bagi tariqah kami, perlu diingatkan kebersihan merupakan asas utama, dan kita perlulah memastikan ia mengikut standart yang ditetapkan. Kebersihan perlulah dirujuk kepada zawiyah di Tenggaroh.

2. Menjaga suara

Rasul bersabda : (( Berkata baiklah atau senyap))

Janganlah kalian mengangkat suara yang tinggi di dalam zawiyah walaupun tiada sesiapa di dalamnya. Ini adalah kerana, bukan kalian sahaja yang beribadah disitu bahkan terdapat makhluk yang bersifat ghaib yang beribadah juga disitu.

Suara- suara yang diangkat tinggi di dalam zawiyah, pasti akan merosakkan kosentrasi mereka yang ingin beribadah kepada Allah. Janganlah mengangkat suara-suara kalian lebih tinggi melainkan jika perlu. Apatah lagi, jika ketawa terbahak-bahak. Ia sudah terkeluar dari lunas Islam. Bermain atau berkejaran di dalam zawiyah pasti akan menghuru harakan keadaan zawiyah. Ingat, tujuan zawiyah dibina ialah untuk beribadah.

3. Meninggalkan perkara yang lagho.

Rasul bersabda : (( Di antara kesempurnaan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang sia-sia ))

Ketika di dalam zawiyah, jauhi perkara yang sia-sia. Seperti berbual kosong yang berpanjangan. Bermain dam dan pun game secara berlarutan. Ia membuang masa dan merosakkan hadaf zawiyah. Perbanyakkanlah zikir dan membuat ibadah nawafil. Sepatutnya berada di zawiyah mendorong untuk melakukan kekerapan amal.

4. Menjalankan aktiviti

Laksanakanlah aktiviti yang dirancang jika berada di zawiyah. Bacaan-bacaan hizib, ratib dan wirid yang lain, mestilah dibuat. Amalkan Hizib al Bahar, Imam Nawawi , ratib al Saqqaf, al Attas, al Iydrus dan al Haddad. Janganlah lupa untuk membaca maulid dan Dalailul Khairat kerana itulah legasi yang ditinggalkan oleh masyayikh kita.

Kelas pengajian mestilah secara berterusan. Mengajar ini umpama berniaga. Jika kedai sering tutup, pelanggan pun akan lari. Jika pengajian kerap tiada, murid pun akan pergi. Jika ada perkara yang tidak dapat dielakkan, maka gantikanlah dengan pembacaan mana-mana hizb atau ratib jika perlu.

5. Menutup aurat.

Perkara menutup aurat ialah perkara minad din biddharurah. Tiada apa yang perlu dibahaskan. Tetapi, manusia sekarang sudah lupa untuk menjaga aurat masing-masing. Kebanyakkannya menyangka zawiyah hanya sekadar bangunan atau pun rumah. Lantas, mereka akan berpakaian yang menyalahi syarak ketika berada di dalam zawiyah.

Zawiyah ialah rumah Allah. Rumah berhimpunnya para pecinta. Rumah yang paling banyak disebut nama Allah di dalamnya. Maka, ia turut menjadi suci. Hormatilah zawiyah dengan menghormati syariat kerana yang mencipta syariat itu, namaNya disebut-sebut di zawiyah.

6. Melayan tetamu

Rasul bersabda : (( Sesiapa yang beriman kapada Allah dan dengan hari kiamat, maka muliakanlah tetamunya ))

Tetamu yang hadir dengan apa sahaja tujuannya, maka layanilah ia, kerana ia adalah tetamu Allah jua. Ucapkanlah salam dan jawablah salam mereka. Gunakanlah sebaik-baik dan serendah-rendah bahasa. Jemput mereka masuk dan hidangkanlah kepada mereka makanan dan minuman. Layanilah mereka dengan penuh kemesraan. Jika mereka memerlukan pertolongan, berikanlah. Jika mereka memerlukan tempat menginap, berikanlah. Besarkanlah tetamu kerana itu adalah tanda kebesaran iman kamu.

7. Berniat ibadah

Apabila kita mendatangi dan berada di dalam zawiyah. Berniatlah untuk beribadah. Beribadah sebanyak-banyaknya. Sesuatu amalan itu dianggap mulia dengan beberapa sebab. Antara sebabnya ialah tempat, masa dan qurbah seseorang.

Beribadah di zawiyah ialah sebab yang pertama iaitu tempat. Zawiyah yang dibina di atas sebab taqwa maka ianya menjadi sesuatu tempat yang mulia. Maka beribadahlah kita dan berniat untuk beribadah jika kita berada di tempat yang mulia.




-------------------

“ Nanti bila zawiyah dan madrasah kita sudah tertegak. Perjalanannya lancar. Pengurusannya terurus. Ustaz akan jemput tuan guru kita”

“ Ramai yang tanya, bila nak jemput tuan guru hadir”

“ Itulah sebabnya, ustaz mesti pastikan madrasah ini berfungsi, barulah ustaz bersedia untuk memanggil tuan guru kita “

“ Ustaz mesti menunaikan janji terlebih dahulu” aku memberitahu anak muridku ketika berbual bersama mereka sebentar setelah berkerja panjang membersihkan zawiyah. Meneguk sedikit air dan memakan sedikit roti buat penghilang lapar dan dahaga.

Allahu Allah! Bantulah kami mencapai cita-cita kami!

Wahai Yang Kaya, bantulah!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan