Rabu, 1 September 2010

Jangan biarkan surau itu kosong.


“ Ustaz, buatlah solat terawih dekat sekolah.” Cadang rakan sekerjaku.

“ Bagus jugak idea tu.” Aku membalas cadangan tersebut dengan keterujaan.

“ Bila ustaz nak mula?” soalnya kembali kepadaku.

“ Kita mulakan malam besoklah.” Aku membuat cadangan.

Malam esoknya berbondonglah anak murid aku dan rakan sekerja denganku datang memenuhi surau. Itulah julung-julung kalinya diadakan solat tarawikh di surau itu. Jika tidak surau itu Cuma menjadi simbol agama sahaja.

Bukan kepalang gembiranya aku bila melihat reaksi anak muridku dan rakan sekerja menerima undangan untuk solat bertarawikh bersama-sama. Dari jumlah yang hadir ia cukup membanggakan. Bersaf-saf yang tersusun memanjang, apabila kami berjemaah isyak.

Yang paling manis ketika itu, apabila aku mendengar perkataan amin yang diucapkan bersama-sama. Malam itu, amin cukup menggerunkan. Kalimah itu menggetarkan hatiku. Aku sendiri tidak tahu, getaran itu punca dari mana? Adakah berpunca dari deruman suara yang bergabung dan berpadu atau pun dari kegembiraan dari jumlah kehadiran.

Situasi itu benar-benar meningkatkan semangatku. Sememangnya mereka menantikan seseorang yang boleh membawa mereka dan membimbing mereka untuk beribadah. Dan aku bertanggung jawab untuk menjadi pemimpin solat buat mereka.

Usai solat isyak. Aku terus meneruskan solat tarawikh. Itulah yang ditunggu-tunggu dalam beribadah di bulan puasa ini. Solat tarawikh ialah klimaks beribadah dalam sehari. Kejayaan seseorang itu dalam puasanya akan dinilai dalam tarawikh. Jika seseorang itu berbuka puasa dengan gelojoh dan lahap, nescaya dia akan gagal untuk menghadirkan diri untuk bersolat tarawikh. Jika, iftarnya bersederhana, sudah pasti ia mampu melaksanakan solat tarawikh. Malah, berpanjangan dalam solat pun, dia akan berjaya.

Aku membaca surah al Fatihah. Bacaanku ala-ala Saad al Ghamidie. Lenggoknya, desirnya dan bunyinya. Aku berharap makmum akan menyukai bacaanku. Aku tambahkan juga dengan sedikit rasa, biar ia khusyuk menghadap tuhan Rabbul Jalil. Kemudian, aku pun membaca ayat-ayat pilihan. Aku membaca hampir 2 halaman. Untuk aku mencukupkan bacaan malam 1, sebanyak 1 juzuk.

2 rakaat yang pertama, sambutan aminnya kuat dan nyaring sekali. Dan ia bertambah berkurangan padunya pada setiap rakaat yang berlalu. Aku semakin menyedari ada sesuatu yang tak kena. Sebagai imam, aku sepatutnya peka dengan perihal makmum. Tetapi, bagi aku, kita Cuma memperbanyakkan bacaan al quran dan mendengarnya hanya dalam bulan Ramadhan. Jesteru, kita tidak perlulah berkira-kira untuk meluangkan masa bersama al Quran.

Aku masih meneruskan sejuzuk pembacaan al Quran dalam tarawikhku. Dengan kesabaran, akhirnya, kami semua dapat menamatkan solat tarawikh. Kami hanya melakukan 8 rakaat sahaja, tetapi masanya habis, sama seperti tariwkh yang dibuat dimasjid, sebanyak 20 rakaat. Pada aku, ia cukup berbaloi. Jadi, kalau ke masjid atau ke surau sekolah, sama sahaja.

Program malam itu, tidak berhenti disitu. Malah kami meneruskannya dengan tadarus. Kami habiskan sejuzuk lagi pada malam itu menyebabkan malam itu sudah lewat. Walaupun lewat, tapi bila aku melihat wajah-wajah mereka yang hadir seolah-olahnya mereka begitu teruja. Mereka memberi partisipasi cukup baik. Aku benar-benar gembira dengan suasana itu. Malam itu kami tutup, majlis dengan menjamah morei.

Esoknya, kami berkumpul lagi di surau sekolah. Tapi, jumlahnya sudah berkurangan. Aku masih meneruskan program sama seperti semalam. Aku bersangka baik dengan anak-anak muridku dan teman-temanku. Mungkin mereka mempunyai hal atau masalah pada malam itu. Keletihan, kesibukkan atau apa sahaja alasannya. Dan malam itu, pengakhirannya tidaklah semeriah malam semalam.

Malam lusanya pula, kami masih berkumpul di surau sekolah. Kali ini, Cuma anak – anak muridku yang setia sahaja yang muncul dan bersamaku menghabiskan sisa Ramadhan disisiku. Kami berjuang untuk bersolat bersama dan menikmati Ramadhan bersama.

Hari-hari berikutnya adalah hari-hari kelam. Tiada siapa lagi yang menjenguk surau itu. Mereka semuanya ke masjid. Katanya, di masjid dibuat dengan laju dan cepat. Mereka lebih suka dengan keadaan itu. Aku pula terpaksa akur dengan kehendak ramai, sekadar membaca ayat-ayat lazim sahaja, bagi mengekalkan jumlah anak muridku yang hadir. Jika aku masih meneruskan pembacaan sejuzuk, nescaya aku juga bakal kehilangan anak-anak murid aku pula.

Aku terpaksa menyerah kepada takdir. Adakah tindakan aku mempertahankan amalan untuk membaca sejuzuk dalam solat tarawikh itu tidak mendapat tempat dihati pendengar, menjadi satu kesalahan atau tidak ? Apa yang aku harapkan ialah, janganlah biarkan surau ini kosong.

….

“ Ermm…”

Puasa di Jordan, adalah puasa yang penuh dengan ingatan dan kenangan. Puasa di Jordan mengingatkan aku dengan musim sejuk. Apa yang baiknya, ketika aku berpuasa di Mu’tah ialah, bulan Ramadhan menyinggah ketika musim sejuk. Ini baik kerana, dimusim sejuk siangnya menjadi pendek dan malamnya menjadi panjang., Maka, aku sememangnya tidak berapa terasa dengan keadaan berpuasa atau tidak.

Kehadiran Ramadhan di Mu’tah mudah dirasa. Bulan pesta ibadah itu mewujudkan suasana yang memberansangkan untuk beribadah. Corong-corong pembesar suara tidak putus-putus memutarkan kaset ayat-ayat suci al Quran. Masjid-masjid dipenuhi dengan jemaah yang membaca dan tekun bertadarus.

Terutama malamnya, ramai yang bertarawikh bersama-sama. Suara Imam Ibrahim masih terngiang-ngiang ditelingaku. Khususnya bila dia melaungkan azan dengan sebutan karakinya.

“ Allahu achber, Allahu achber…”

Seringkali, kami akan tersenyum apabila mendengar jeritan azan yang sebegitu. Tetapi itu kini sekadar sesuatu yang mencuit hati kami bila kami mengenangnya.

Masyarakat pelajar Malaysia pula terpisah-pisah dalam bentuk amalan mereka. Ada yang mengikut aktiviti di masjid. Bersama-sama orang arab mengimarahkan masjidnya dan menghidupkan malamnya. Ada yang beristiqamah sampai ke penghujungnya dengan melaksanakan 20 rakaat. Ada yang mengambil pendapat 8 rakaat. Kesemuanya beramal dengan sandaran masing-masing.

Tidak lupa juga ada yang mengambil inisiatif dengan menganjurkan solat tarawikh sesama pelajar Malaysia. Ada beberapa tujuan mengapa program seperti dianjurkan, antaranya ialah :

1. Mewujudkan suasana dan budaya Malaysia. Ini akan mengembalikan ingatan terhadap tanah air tercinta. Terkadang ingatan tersebut menambah nilai dalam beribadah kerana terkenangkan ibu bapa dan keluarga yang lain.

2. Memautkan tali silaturrahmi dalam kalangan pelajar disana di ruang lingkup suasana kemalaysiaan.

3. Memberi peluang kepada para pelajar untuk mentadbiq ilmu yang dipelajari sebagai generasi yang akan mewarisi ustaz-ustaz, imam-imam dan sebagainya. Latihan sebegini amat perlu sebelum terjun ke medan yang sebenar.

Apa pun caranya, matlamatnya tetap sama. Aku lebih suka mengimarahkan Ramadhan bersama pelajar Malaysia yang lain. Itu pun jika aku tidak ke Amman. Kadang-kadang aku menghidupkan malam aku bersama masyarakat arab yang lainnya di masjid. Jesteru, keseronokan Ramadhan di mu’tah boleh didapati melalui kepelbagaiannya.

Malam itu, agak ramai juga pelajar malaysia yang hadir disalah sebuah rumah akhawat. Kadang-kadang kami akan bertukar tempat, tetapi selalunya adalah rumah akhawat. Kalau rumah milik syabab, maklumlah dari segi kebersihannya dan susun atur yang sungguh misteri. Akan menyebabkan sesak nafas dan keserabutan akal fikiran.

Malam itu ramai yang hadir adalah kerana, jemaah akan diimamkan oleh salah seorang pelajar Malaysia yang hafiz. Dia berkelulusan dari maahad tahfiz yang agak terkenal di negeri Perak. Seruan itulah yang menggalakkan kehadiran yang berbondong ke rumah akhawat pada malam ini. Pastinya bacaan yang fasih, panjangnya sejuzuk, iramanya menikam syahdu, menghadirkan hati untuk bertadabbur, mendekatkan rasa kepada khaliq. Mungkin bacaannya persis imam-imam haramain. Suara menyengau. Mendayu-dayu, menjadikan hati membentak dan merayu-rayu.

“ Solatut tarawikh min qiyami, asabakumullah “ bilal memekik.

“ Lailahaillah “ makmum menjawab.

“ Rapatkan sof “ perintah imam

Kami merapat, tanda akur pada perintah tersebut. Kemudian imam mengemakan sab’ul mathanie. Kami berteriak amin bersama.

“ Bismillahirrahmanirrahim “ imam memulakan bacaan surah.

“ Nuuun. Wal qalami wama yasthurun “

“ Allahu akbar” perintah imam untuk merukuk.

Aku mengulum senyum dalam solatku. Ingin sahaja ketawaku terburai. Nasib baik makmumnya terpelajar. Menjadikan solat cukup profesional.

Untuk rakaat-rakaat seterusnya, imam sekadar membaca ha mim, kaf ha ya ain shod, alif lam ra dan lain-lain lagi hijaiyyah quraniyyah dan diikuti dengan takbir intiqal. Usai tarawikh, kami bersurai dengan penuh mistik dan misteri dari pembacaan imam yang hafiz tadi.

“ Ermm…” itulah reaksiku.

…..

Mereka tetap pergi!

Malam itu berbaki 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Aku bersegera ke masjid. Bernawaitu untuk beri’tikaf. Bersolat berjamaah isyak dan tarawikh. Selalunya aku Cuma bersama anak muridku dan menghabiskan malam-malam Ramadhan di Rauhah. Namun, bila malam-malam pembebasan, aku ingin menghabiskan sisa itu di masjid.

Bila bilal bersedia untuk melaung iqamah isyak, aku memandang ke serata masjid. Semasa di awal Ramadhan, masjid begitu penuh. Kanak-kanak sahaja memakan dua saf. Yang tua pula bersaf-saf. Kini, aku menghitung, Cuma dua saf sahaja yang mewakili sekian ramai masyarakat kampung.

Dahulu, rakan sekerjaku lari dari medan tarawikh di surau dan menuju ke masjid, dengan alasan di masjid cepat habis. Sememangnya aku mengakuinya di masjid proses solat begitu cepat ditunaikan. Aku sememang tidak boleh membayangkan apabila 8 rakaat hanya dibuat dalam masa kurang 15 minit.

Tetapi, alasan apakah lagi yang ingin dibenarkan untuk tidak menghadiri malam-malam agung ini di masjid? Secepat manakah lagi, waktu yang diperlukan untuk mejadi sebab menghadirkan diri ke masjid?

Sebaliknya surau itu, masjid itu, jamaah itu, ditinggalkan kerana hawa nafsu yang masih menjadi raja. Puasa masih belum boleh mengalahkannya. Puasa sudah tewas. Nafsu bermaharajalela.

Yang lelaki tewas pada mencari rezeki lebih untuk menyara sambutan hari raya. Yang ibu dan wanita tewas pada membuat kuih muih pelbagai bentuk dan rasa. Juga tewas pada membeli belah semata-mata. Tewas pada menghias rumah dengan langsir dan perhiasan yang memutih mata.

Ada yang tewas pada jahit menjahit. Ada yang tewas pada siaran televisyen. Yang remaja tewas bermain mercun dan meriam raya. Kita semua sudah tewas. Tewas yang meracuni akal fikiran dalam tujuan hidup. Iaitu penundukan dan ibadah, kepada tuhan Rabbul Jalil.

Alasan apakah yang kita boleh laungkan untuk menafikan segala bentuk ketewasan kita.Wahai jiwa-jiwa yang tewas, jangan tinggalkan surau itu kosong. Wahai jiwa-jiwa yang tewas, jangan tinggalkan masjid itu kosong.

Kuatkanlah diri dan prinsipmu. Jangan terkesan dengan perhiasan duniawi. Hiasilah masjid dan surau-surau kalian dengan para penyujud, para pengamal solih dan para pencinta!

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam