Rabu, 1 September 2010

Kurniakankan aku, bau semerbak itu!


Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasul bersabda : (( Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu lantaran takutkan Allah melainkan Allah mengurniakan kepada kamu kebaikan daripadanya.))

Macam mana ustaz.


“ Ustaz, saya ada mimpilah semalam.” Anak muridku memberitahuku.

Aku tersenyum. Kadang-kadang aku malas melayan karenah anak muridku. Mimpi mereka kebanyakkannya merapu sahaja. Mimpi landaklah, mimpi hantulah, mimpi jembalanglah dan macam-macam lagi. Dan kebanyakkannya aku tak melayan mimpi-mimpi mereka.

Ada beberapa implikasi yang terhasil, jika aku melayan karenah mereka ini. Tetapi yang paling jelasnya aku akan memakai “title” tukang tafsir mimpi dan tukang tilik. Malah, ada beberapa individu juga hadir bertemu denganku dari kalangan orang tua-tua yang turut memohon tafsir mimpi dariku. Aku sering mangalih jawapan, supaya tidak terjerat dengan keadaan itu.

“ Apa mimpi kamu tu?” aku menyoal sebelum mengambil keputusan untuk mentafsirnya atau tidak.

“ Saya mimpi, saya dan abang saya nak pergi majlis maulid, lebih kurang macam tulah. Saya nak pergi jumpa ustaz. Dalam perjalanan tu, saya jumpa ikan banyak sangat. Berlambak-lambak ikan tu atas jalan dan tanah .”

“ Apa maksud dia ustaz?” pohonnya.

Aku mengorak senyum. Kepalaku ligat berfikir, apakah perlu aku memberitahunya atau tidak. Akhirnya, aku membuat keputusan untuk memberitahunya.

“ Ustaz, boleh beritahu maknanya, tapi kalau kamu boleh ikut syarat ustaz la.”

“ Apa dia ustaz.” Anak muridku mencelah.

“ Boleh tak kamu ikut ?”

“ Macam mana ustaz?”

“ Ermm…syaratnya ialah, kamu tak boleh berhenti dari istiqamah membaca al Quran. Walaupun kamu sudah tahu tafsir maksud mimpi tersebut.”

“ Ustaz risau, nanti kamu sudah rasa besar diri dan sudah rasa cukup! “Aku menyatakan kebimbanganku.

“ Insya Allah tidak begitu.”

“ Kalau begitu, baiklah! “ aku sudah tidak sangsi lagi.

“ Maksudnya ialah, dalam bulan Ramadhan ini, kamu dan abang kamu akan dapat sesuatu dari pemberian dan kurniaan Allah, yang tidak diberi kepada yang lain.”

“ Ermm..., apa yang perlu saya buat? “ dia kembali menyoal.

“ Teruskan istiqamah, kamu akan dinaikkan maqam ! “ kenyataanku membuatkannya terkedu. Bungkam.

……

Mulut saya berbau.

Malam ke 19 menyaksikan banyak yang tumbang dan tewas. Tewas dengan nafsu yang menyerakah. Pada hiburan dimedia massa, pada membeli belah, pada membuat kuih, pada mencari rezeki yang bertimbun, pada bermain meriam dan mercun dan pelbagai lagi.

Namun, masih ada sedikit yang tabah. Tabah dan beribadat dengan penuh istiqamah. Tabah pada melafazkan frasa-frasa suci milik tuhan. Tabah pada menyebut nama kekasih yang dikasihi. Ketabahan itu dibuktikan pada amalan mereka.

Rauhah menyaksikan, mereka yang tabah. Masih ada yang duduk berteleku dengan tekun menatap setiap rangkap huruf yang menyusun. Tekun menyebutnya. Ada yang merangkak-rangkak membacanya. Ada yang separa pro mengalunkannya. Ada yang begitu fasih mendendangkannya. Ada yang membaca secara tartil. Dan ada secara hadar.

Suara-suara itu terkumpul pada suatu masa meledakkan alunan bising seperti sekumpulanan lebah menghurung sarang. Tiada siapa yang akan cuba memberhentikannya, kerana bacaan itu dibaca bersama hati yang merintih dan melirih. Kadang-kadang seolah perlumbaan. Masing-masing berlumba-lumba untuk membacanya, seperti firman Allah :

(( Berlumba-lumbalah pada perkara kebajikan ))

Usai bertadarus, diikuti dengan bacaan beramai-ramai surah al Mulk. Amalan sunnah yang diterapkan menjadikan hati begitu mantap untuk menjamah kelazatan Ramadhan. Bukan setakat itu, Dalailul Khairat diratah sama bagaikan ulam dan sambal menyerikan nikmat rasa pada makan. Tidak cukup dengan itu, bertali arus pula dengan kuliah tafsir.

Mereka begitu tabah untuk menghadapinya saban hari dalam Ramadhan. Tiada mereka lari dan meninggalkan majlis itu. Masih duduk dan menatap wajahku setiap malam untuk mendengar nasihat-nasihatku. Moga mereka termasuk dalam golongan sabdaan nabi junjungan kita :

(( Jadilah orang berilmu, atau yang mempelajari ilmu, atau mendengar ilmu, atau menyukai ilmu. Tetapi janganlah menjadi golongan yang kelima.))

Morei disediakan setiap malam. Aku rela menghabiskan duitku untuk mereka. Mereka yang berkhidmat demi al Quran. Moga-moga aku mendapat syafaat al Quran, walaupun hanya menyediakan makanan untuk orang yang membaca al Quran. Sambil-sambil meragut sedikit nikmat dan rezeki, kami berbual kosong. Bertanya itu dan ini. Bertanya sihat dan tidak sihatkah? Bertanya amal masing-masing, berkurang atau bertambahkah? Juga bertanya tentang sebarang kekusutan dalam sebarang masalah.

“ ustaz, saya ada soalan.” Abang kepada anak muridku yang bertanya tentang mimpinya menyapa aku.

“ Ya, saya! Silakan! “ aku membenarkan untuk bertanya.

“ Entahlah ustaz. Semalam saya baca al Quran, mulut saya berbau kasturilah.”

“ Lagi banyak saya baca, lagi kuat bau kasturi tu.! “

“ Macam mana nak buat ustaz?” soalnya.

Aku membalasnya dengan senyuman. Sekali lagi aku berfikir, sama ada perlu atau tidak aku menjawabnya. Dan aku memilih untuk menjawab dengan jawapan yang mudah.

“ Hal ini kamu boleh tanya adik kamu.”

“ kamu termasuk orang yang dimaksudkan dalam mimpi adik kamu! “ aku menjelaskan.

“ Apa mimpi adik saya ustaz?” Dia kembali menyoal.

“ Itu kamu kena tanya adik kamu.” Aku tersenyum dan membiarkan dia terkeliru begitu.

…..

Membau seperti kasturi.

Mulut orang yang berpuasa akan menjadi busuk disebabkan oleh fungsi perut yang tidak beroperasi telah merembeskan bau yang bertakung padanya. Ia ditambah lagi, apabila perintah agama yang melarang untuk bersiwak atau bersugi. Menjadikan bau mulut bertambah busuk.

Ulamak telah menyatakan hukum bersugi adalah makruh, malah ada yang mengatakan ia tidak disunatkan. Ada juga yang berpendapat, makruh itu hanya pada waktu yang menghampiri waktu berbuka. Namun, bagi syafieyyah, menyatakan makruh bersugi setelah gelincir matahari pada hari tersebut.

Bau busuk tersebut, mendatangkan kabaikan. Antaranya ialah :

1. Bandingkan kebusukan tersebut dengan busuknya taik. Taik yang busuk itu, secara fitrahnya perlu dikeluarkan. Kalau tidak dikeluarkan ia akan mendatang penyakit dan pasti akan memudaratkan tuannya. Begitu juga, busuk yang keluar dari mulut adalah sesuatu yang perlu dikeluarkan secara fitrahnya. Jika tidak kerana busuk tersebut, diri kita terdedah kepada penyakit.

2. Merendahkan diri. Allah telah menunjukkan kelemahan kita pada bulan puasa dengan mulut yang berbau busuk. Pengzahiran itu akan menjadikan kita rendah diri sesama manusia. Seseorang akan menjadi bongkak dan besar diri, apabila mendapati dirinya melebihi daripada orang lain atau tidak ada kelemahan dalam dirinya.

3. Mulut yang busuk akan menjadikan seseorang itu lebih banyak senyapnya berbanding bisingnya. Kerana busuk mulut akan menganggu orang lain, maka Allah telah membantu kita untuk berpuasa secara maknanya pada anggota mulut.

Tetapi, impak yang paling besar pada kebaikan mulut busuk tersebut ialah nilai yang diganti hasil dari mujahadah menanggung mulut yang busuk tersebut. Mulut yang busuk sememangnya tidak disukai oleh manusia. Tetapi tidak pada Allah.

Itu bukanlah memberi makna yang Allah sukakan busuk. Itu adalah pernyataan yang sama sekali salah, kerana bagi Allah semuanya adalah baik dan cantik. Semua yang diturunkan Allah adalah baik dan nikmat. Ia dianggap sebagai rahmat. Cuma pada manusia, istilah itu sudah berubah. Allah menjadi tiap sesuatu itu berpasangan di dalam dunia. Maka, busuk dan wangi juga adalah berpasangan. Jika ada wangi dalam dunia, maka sudah tentu ada busuknya.

Jika kita keluar dari bumi sahaja, kita sudah tiada siang dan malam. Jadi, baik dan buruk itu hanya istilah yang mempengaruhi bumi dan makhluk yang bernama manusia. Pada Allah, tentu sama sekali tidak.

Kebusukan itu pula pada Allah adalah merupakan kebaikan kerana ianya berpunca dari pancaran dan ledakan kegigihan seseorang dalam mujahadahnya untuk menuntut keredhaan Allah. Allah mengantikannya dengan wangian tersebut, kerana mereka telah membuktikan sesuatu demi Allah. Begitu jugalah halnya yang boleh dikaitkan dengan wangian ini ialah darah para syuhada, apabila dibangkitkan akan terus mengalir dengan wangian kasturi. Kasturi ialah sebuah simbol perjuangan dan mujahadah.

Dalil-dalil dari Rasul :

1. Di dalam Sohihain, Rasulullah telah bersabda :

(( Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dinamakan baginya : al Rayyan yang hanya dimasuki oleh orang yang berpuasa dan tidak dimasuki oleh orang yang selain mereka.))

2. Rasulullah bersabda :

(( Bagi syurga itu mempunyai pintu yang dinamakan dengan al Rayyan. Tidak masuk dari pintu ini melainkan orang-orang yang dijanjikan akan bertemu dengan Allah sebagai balasan puasa yang dikerjakannya.))

3. Diriwayatakan oleh Ibnu Abi al Dunya daripada Anas secara marfu’:

(( Orang-orang yang berpuasa semerbak ( keluar ) dari mulut mereka bau kasturi, dihidangkan bagi mereka hidangan di bawah arasyh dan mereka makan darinya sedangkan manusia yang lain sedang dihisab.))

4. Firman Allah dalam hadis Qudsi :

(( Bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bau harum kasturi.))

5. Makhul berkata : “ Ditiup ahli syurga dengan suatu bau, lalu mereka berkata : Tuhan kami ! Semenjak kami memasuki syurga kami tidak pernah mendapati bau yang lebih harum daripada bau ini. Maka dikatakan kepada mereka : Ini adalah bau mulut orang-orang berpuasa.

6. Di dalam hadis al harith al Asyh’arie daripada Nabi: bahawa nabi Zakaria berkata kepada bani israel : Aku memerintahkan kamu supaya berpuasa, kerana orang yang berpuasa diibaratkan seperti seseorang yang berada di dalam satu kumpulan. Bersama sebuah kantung yang berisi wangian kasturi. Maka tentunya semua orang yang berada di sekitarnya merasa amat kagum dengan bau tersebut. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.

Hadis ini diriwayatkanoleh Ahmad di dalam al musnad ( 4 / 130 ), al Tarmizi di dalam al Amthal ( 5 / 148 / 2863 ), al hakim ( 1 / 118 ) dari hadis al harith al Asyh’arie.

7. Sebahagian ahli salaf menyatakan bahawa Allah telah menjanjikan kepada Nabi Musa akan bercakap dengannya selepas 30 hari Nabi Musa berpuasa dan melakukan ibadat khususi seperti berkhalwat, berzikir, bertafakkur dan lain-lain, sebagai persediaan untuk berkata-kata dengan Allah. Maka dalam tempoh tersebut Nabi Musa pun berpuasa. Didapati bau mulutnya amat tidak enak. Nabi Musa berasa tidak senang bermunajat dalam keadaan tersebut, maka diambilnya siwak dan Nabi Musa bersugi dengannya. Tatkala Allah datang untuk menunaikan janjiNya, Allah berfirman :

(( Wahai Musa! Apakah kamu tidak mengetahui bahawa bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisiKu daripada bau kasturi? Kembalilah semula dan berpuasalah kamu selama 10 hari lagi.))

Hadis ini marfu’ pada maknanya, dan dirafa’kan dari Ibnu Abbas melalui al Dailami di dalam musnadnya ( 3 / 474 / 5349 ). Hadis ini tidak sah seperti yang dipegangi oleh kebanyakan para muhaddis. Perkara ini telah dinyatakan oleh Ibnu Kathir dan sebahagian ahli tafsir.
Makna

Secara umumnya, hadis kasturi bagi mulut orang berpuasa ini membawa dua maksud.

1. Puasa ialah ibadah yang menjadi rahsia antara Allah dengan hambaNya di dunia ini.Ini dapat dikenal melalui hadis Nabi yang bermaksud :

(( Semua amalan anak Adam adalah baginya, melainkan puasa. Maka ia adalah untukKu dan akulah yang akan membalasnya.))

Jesteru, Allah akan mengzahirkannya di akhirat secara terang-terangan kepada makhlukNya untuk menunjukkan kepada mereka bahawa hamba tersebut telah berjuang dan berkorban demiNya di dunia dan memberitahu kepada semua tentang pembalasan yang disembunyikan di dunia. Ini telah dibuktikan melalui sabdaan nabi melalui hadis qudsi :

(( Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya ia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya hanya kerana Aku.))

2. Dalam sunnah nabi dan mereka yang mengikut dengan jalan perjuangan nabi, seseorang yang bermujahadah kerana Allah, pasti tidak akan disukai oleh kebanyakkan orang. Begitulah yang dihadapi oleh Nabi dan sahabat baginda. Maka, puasa pun juga dimaknakan begitu, apabila mereka bermujahadah untuk melunaskan perintah tuhan dan menggarap kota taqarrub ilahiyyah, pasti tidak disukai orang dari mulut-mulut yang busuk menahan diri dari makan dan minum.

Jesteru, Allah mengkhabarkan jaminan wangian kasturi sebagai penenang dan utusan menggembirakan orang yang beramal di dunia ini, agar mereka tidak sedih, tidak senang dan gelisah berhadapan ujian dan rintangan dalam melaksanakan tuntutan Allah di dunia.

Manifestasi kasturi.

Kadang kala bau mulut orang yang berpuasa dimenifestasikan dengan kewangian kasturi di dunia lagi, dan ia terbahagi kepada 2 jenis, seperti yang dinukilkan oleh para ulamak. Bahagian tersebut ialah :

1. Bau yang boleh dihidu dengan anggota yang zahir.

Menurut satu riwayat, bahawa Abdullah ibn Ghalib merupakan seorang hamba yang tekun melakukan ibadah sembahyang dan berpuasa. Selepas beliau dikebumikan, didapati tanah kuburnya berbau wangi seperti bau kasturi. Maka, pada satu hari, beliau ditanya tentag bau harum yang semerbak dari kuburnya itu.

Maka beliau menjawab : Bau itu ialah bau bacaan al Quran dan bau mulutnya akibat menahan dahaga ( puasa ) yang dikerjakannya semasa di dunia.

2. Bau yang dapat dihidu oleh roh-roh dan hati-hati. Orang –orang yang ikhlas berpuasa akan dikasihi dan disukai oleh orang-orang yang beriman seperti mereka suka kepada bau kasturi.

Rasul bersabda : (( Tidak menyembunyikan seseorang akan suatu rahsia, melainkan akan dizahirkan oleh Allah secara terang-terangan.))

Seharum kasturi.

Kisah ini aku petik dari blog “ Zaid Akhtar “ . Aku mengenali di Jordan.

Subjek Bahasa Arab Kertas 2. Lokasinya kelas Tingkatan 6 An-Nawawi. Kami sedang berbincang tentang sebuah puisi moden Arab yang dinukilkan oleh raja penyairnya, Ahmad Syawqi berjudul al-Jazirah. Dalam salah satu baitnya, Syawqi mengungkapkan keindahan al-Jazirah yang terletak di bahagian barat Sungai Nil dengan pelbagai tasybih (simile) dan salah satunya dengan perumpamaan kijang serta haruman kasturinya.

Saya tergerak untuk bertanya, apakah dia kasturi? Ramai yang menjawab, kasturi itu sejenis haruman. Benar sekali. Lantas saya menambah, kasturi dalam bahasa Arab disebut misk, manakala bahasa Inggeris yang baharu maju kemudiannya pula meniru bunyi sebutan orang Arab lalu disebut musk. Contohnya, wangian yang saya pakai ini disebut al-Misk al-Abyadh (kasturi putih) atau lebih dikenali sebagai White Musk (terutamanya di bawah jenama Body Shop).

Kemudian saya bertanya, siapa tahu dari mana asalnya kasturi? Rupa-rupanya tiada yang tahu. Saya menjelaskan, ia berasal salah satu puncanya dari bahagian bawah kelengkang kijang. Semua ternganga terkesima tidak percaya. Masakan dari tempat sesulit itu menghasilkan bau yang amat wangi, balas mereka. Lalu saya berpesan agar mereka segera mencari maklumat tentang kasturi di Google dan bukan sekadar melayari Facebook di internet.

Oh ya, kembali kepada persoalan asal-usul kasturi; sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang istimewa ini? Bagi yang keliru, biasanya kasturi disangkakan ekstrak pati bunga, buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri pembuatan minyak wangi. Sebenarnya, istilah kasturi merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil kelenjar kijang jantan.Walaupun kerap ditemukan di bahagian antara perut dan genital, kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala.

Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras. Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian beralkohol.

Dalam sepotong hadis, Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Bahawa dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi." (Hadis riwayat Al-Bazzar).

Perhatikanlah !

Perhatikanlah dengan matamu, basirahmu, akalmu, qalbumu, perasaanmu tentang kebesaran dan huruf-hurufNya, yang Allah bina untuk memaksudkan sesuatu.

Kita dijadikan dari air yang keluar dari tempat yang busuk. Menjadi seorang manusia sebaik-baik kejadian. Dari tahi-tahi yang keluar dari dubur setiap makhluk dan melupus, menjadikan tanaman hijau dan bunga yang mewangi. Keluarnya kasturi yang mewangi dan disebut-sebut dalam setiap syair dan gurindam, dari tempat yang busuk iaitu genitil kijang. Dari kebobrokan dan kebusukan akhlak manusia, disitulah keluarnya Rasul yang menyeri.

Maka dari mulut yang busuk jugalah akan mengeluarkan segala rahsia dan kebajikan yang tiada kita mengerti. Cuma kasturi sebagai galang ganti dan imbuhan buat dibanding berseni. Dari dosa yang mencemarlah keluarnya insaf dan taubat. Air mata yang berjujuran menjadi penganti perisai buat kepanasan neraka tiada terperi.

Perhatikanlah dengan amthal ( perbandingan ) yang Allah beri. Hanya mereka yang mempunyai basirah dan hati, bisa mengerti!

1 ulasan:

  1. Promotional clothing Abercrombie and Fitch for sale or Abercrombie as a gift, will always be beneficial to Abercrombie Sale any business. This is Cheap Abercrombie a great way to impress consumers Abercrombie outlet and grow brand loyalty abercrombie Jeans and popularity. This is a quite flawless form of marketing. Your imprinted Abercrombie Pantslogo provides instant recognition. Abercrombie Tees These eye-catching articles of clothing are a foolproof way to increase profits and a cost Abercrombie Shorts effective form of marketing. Some use this plan to earn profits and then save them for future expenses. Abercrombie Sweaters You can get a huge range of promotional gifts or other promotional items on It is encumbered with a wide range of designs, styles and colours of assorted promotional items. These items can be used as promotional gifts and resourcefully distributed to the target customers to have a long lasting impression on them and make a huge profit in exchange.

    BalasPadam