Isnin, 4 Oktober 2010

Takbirrrr…: Allahu akbar!!!!


Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar,
Lailaha illah, huwAllahu akbar,
Allahu akbar walillahil hamd.

“ Ish..padamkanlah takbir raya tu! “ anak muridku, si A mengarahkan anak muridku, si B untuk menutup takbir raya yang dipasang melalui handphonenya.

Tetapi arahan itu, tidak diendahkan. Si B masih degil memasang ritma takbir tersebut.

“ Degil betul la budak ni ! “ tempik si A.

“ Yang kau marah-marah sangat ni kenapa ? “ soal si B.

Aku hanya memerhati sahaja gelagat mereka berdua. Memasang telinga perbualan mereka dan berpura-pura tidak mendengarinya. Tapi, mereka berjaya buat aku tersenyum.

“ Kan tak baik, pasang takbir raya sebelum raya” beritahu si A.

Si B mengerutkan dahinya sehingga jelas kelihatan garis-garis keliru tersebut. Tambah pula bulan puasa, perut lapar, lebih cepat mengundang kemarahan dan terbabas dari kawalan minda yang waras.

“ Kau tak percayakan? Baik kau tanya ustaz.” Aku membiarkan sahaja mereka meneruskan perbualan mereka.

“ Ustaz! Betulkan tak boleh pasang takbir raya sebelum raya? “ tanya si A kepadaku, sekadar ingin meneguhkan jawapannya.

“ Kenapa tak boleh pula ? “ aku bertanya balas dan membuat riak tidak tahu.

“ Mak saya cakap nanti ahli kubur menangis.” Balasnya.

“ Erm…” memang jawapan jika dikait dengan jawapan milik orang tua susah sikit hendak di dangkalkan.

“ Beginilah, pasal penghuni kubur menangis tu, tiada sandaran daripada al Quran, mahupun hadis.”

“ Cuma ada hadis pasal azab kubur diringankan ketika bulan Ramadhan. Jesteru, orang tua-tua kita ada cakap, kalau orang bertakbir maka penghuni kubur akan menangis kerana selepas Ramadhan , mereka akan di azab semula.”

“ itu, mungkin sekadar penggunaan akal sahaja. Atau dalam kaedahnya hukum yang di ambil dari fahwal kalam.”

Kedua anak muridku, memandang tepat wajahku. Mereka benar-benar kehausan pada penjelasanku.

“ Namun dalam kitab feqh yang lain ada juga yang berpendapat sedemikian seperti kitab Matlaul Badrain. Tetapi perkara tersebut tidak ada sama sekali dalam sumber hukum berdasarkan tekstualnya sahaja.” Aku masih menjelas.

……

Beberapa kepentingan bertakbir.

1. Melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah dengan nikmat yang dikurniakan.

2. Mengingatkan kita terhadap kebesaran Allah.

3. Meninggikan syiar Islam dibumi Allah.

4. Menguatkan semangat perjuangan umat Islam dalam mempertahankan serta memartabatkan agama Islam.

5. Menginterpertasikan maksud kemenangan.

……

Apa guna takbirmu?

Takbir membawa maksud jihad. Takbir ialah kemenangan. Takbir adalah perjuangan. Takbir ialah pengorbanan. Sejarah bertakbir yang menunjukkan rasa menang atas perjuangan, jihad dan pengorbanan adalah bermula sejak peperangan Badar yang berlaku ketika bulan Ramadhan.

Umat Islam telah memenangi peperangan tersebut dan mereka bertakbir. Dengan segala kerendahan, setelah mereka telah dibantu mengharungi kepayahan maka mereka mengungkapkan kalimah penyerahan di atas kebesaran Allah.

Mereka adalah orang yang layak untuk melaungkan takbir tersebut kerana mereka telah berjihad, berjuang dan berkorban. Lantas mereka menang. Mereka berkorban, wang, harta, keluarga, dan jiwa mereka.

Pengorbanan mereka dalam harta telah warid, dari kisah yang masyhur dalam kalangan kita iaitu apa yang telah dikorbankan oleh Saidina Abu Bakar dan Umar. Mereka berkorban demi Islam dengan meninggalkan isteri mereka yang dicintai. Meninggalkan kesenangan, ketenangan, keseronokan di Madinah demi Islam. Meninggalkan segala bentuk kecintaan kepada anak-anak mereka demi melestarikan Islam. Meninggalkan kebun-kebun yang mereka usahakan demi Islam. Meninggalkan hawa nafsu mereka demi Islam. Terlalu banyak yang mereka korbankan demi perjuangan Islam.

Tetapi, perjuangan dan pengorbanan mereka dalam peperangan tersebut dinilai sebagai perjuangan yang kecil jika dibandingkan dengan perjuangan mereka selepas itu. Bersesuaian dengan hadis masyhur iaitu : (( Kita kembali dari jihad yang kecil ke jihad yang besar )). Jihad yang besar disitu yang dimaksudkan melalui para muhaqiqin ialah jihad melawan hawa nafsu. Walau mereka mempertaruhkan nyawa mereka, namun ia tetap kecil pada nilaian baginda Rasul.

Sekarang, zaman itu sudah jauh kita tinggalkan. Namun, kita masih bertempik, melaungkan takbir setiap pagi aidilfitri. Mendayu-dayu laungan takbir tersebut untuk menghebahkan kemenangan dan kejayaan kembali kepada fitrah. Namun, adakah kita orang yang berhak atas kemenangan tersebut. Adakah kita telah berjaya menundukkan nafsu kita. Adakah kita telah berjaya mengawalnya. Maka, muhasabah demi muhasabah perlu kita jana sepanjang syawal kerana kita takut, takbir kita bukanlah takbir kemenangan tetapi takbir kekalahan. Kekalahan kepada nafsu yang rakus. Kekalahan menjadikan ibadat kepada adat sahaja. Kekalahan mengatasi diri sendiri.

Antara perkara yang perlu kita muhasabahkan ialah :

1. Berjayakah kita dalam perjuangan kita di dalam Ramadhan sekiranya kita hanya mendaulatkan nafsu apabila sepanjang Ramadhan kita hanya matlamat puasa sekadar menahan lapar dan dahaga.

2. Berjayakah kita apabila ketika berbuka puasa, air minum sahaja sampai 3 jenis. Makanan pula memenuhi meja dan sering bertukar menu saban hari.

3. Berjayakah kita jika perut kita penuh dengan makanan sedangkan masih ada saudara dan jiran kita ada yang kelaparan.

4. Berjayakah kita jika pakaian raya kita berbelas-belas pasang.

5. Berjayakah kita jika kita hanya membaca sejuzuk al Quran sahaja sepanjang Ramadhan atau kurang daripada itu.

6. Berjayakah kita jika hanya dapat beberapa kali sahaja menjengah masjid dibulan Ramadhan.

7. Berjayakah kita jika kita hanya beberapa kali sahaja bersolat terawikh di bulan Ramadhan.

8. Berjayakah kita jika banyak duit yang kita habiskan demi memenuhi hawa nafsu berbanding bersedekah atau infaq dibulan Ramadhan.

9. Berjayakah kita jika mulut kita masih mengumpat dan menabur fitnah di bulan Ramadhan. Makan dan minum yang haram .Telinga asyik dengan umpatan orang dan mendengar perkara yang haram. Mata sering menyaksikan yang haram dibulan Ramadhan.

10. Berjayakah kita jika masih mengekalkan maksiat dibulan Ramadhan.

11. Berjayakah kita jika kita masih menjulang keegoaan kita, dari merendah sebagai hamba tuhan apabila kita melanggar perintahnya dengan tidak menutup aurat dan sebagainya. Kita masih seperti bulan sebelum ketibaan Ramadhan. Tanpa kita mengorbankan kehendak kita, adakah kita berjaya.

12. Berjayakah kita ketika malam-malam terakhir Ramadhan kita masih berselimut dengan lena.

13. Berjayakah kita jika malam lailatul qadar kita biarkan ia pergi begitu sahaja.

14. Berjayakah kita, jika kita banyak mengingati makan dan minum dari kita mengingati Allah.

15. Berjayakah kita jika hanya kita sahaja yang beribadah sedangkan saudara, anak, isteri dan jiran kita sibuk dengan perkara keduniaan.

16. Berjayakah kita, jika kita sibuk dengan ibadah anak kita sibuk bermain meriam buluh, mercun dan isteri sibuk dengan kuih dan hiasan rumah seperti langsir dan lain lagi.

17. Berjayakah kita jika kita masih dengan rasa besar diri tanpa boleh memaafkan kesalahan orang lain.

18. Berjayakah kita, jika kita belum mendapat khusyuk dalam solat.

19. Berjayakah kita jika

............

Malam marhaban di rumah pengurus.

Usai memberi kuliah di surau timur 1, pengurus merapati aku.

“ Ustaz, lepas ni, datang rumah saya ya! “ pinta Tuan Pengurus.

“ Alamak ! Saya ada janji temu pada pukul 9.15 malam ini” aku menolak dengan beradab.

Tuan Pengurus menarik mukanya. Sedikit mencuka. Aku faham makna reaksi tersebut.

“ Bolehlah. Sekejap sahaja.” Dia masih memujuk.

“Insya Allah” apalah daya aku untuk menolak permintaan orang yang benar-benar berhajat.

Selesai bersalaman selepas minum-minum dan bual kosong, segeralah aku ke rumah Tuan Pengurus. Aku disambut dihadapan pintu. Marhaban sedang bergema. Mereka bangun tanda hormat dan cinta kepada baginda. Meluapkan rasa fitrah berkasih dengan senandung selawat berirama. Aku menggemarinya. Sudah membumi budaya marhaban disini. Aneka amalan soleh yang mendekatkan diri kepada kekasih.

Sesudah berdoa menutupi marhaban, aku menikmati juadah. Walaupun ia sedikit tetapi memberkati. Laksa itu begitu enak. Kuih muih pula dikumpulkan dihadapanku. Terharu aku dengan layanan tuan Pengurus kepadaku.

“ Hari raya ini, cuma ada dua keadaan sahaja. Satu ialah gembira dan yang kedua ialah sedih” Ungkapan yang terpacul dari mulut Tuan Pengurus apabila memberi sedikit ucapan selesai berjuadah.

“ Gembira kerana kembali kepada fitrah dan sedih jika kita tidak termasuk dalam golongan yang berjaya kembali kepada fitrah.” Bernas dan menarik kata-kata Tuan Pengurus.

Aku tersenyum gembira. Gembira di atas kata-kata itu. Moga lahirlah lagi pemimpin sebegini yang mendorong masyarakat pimpinannya untuk mendekati Allah.

“ Allahu akbar “ aku bertakbir dengan jeritan sayup di dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan